Kisah Julaibib Radhiallahuanhu

 OLEH: Abu Aqif

Julaibib رضي الله عنه

Rupanya buruk, hitam, miskin, berbadan kecil dan pendek.

Kecilnya Julaibib hingga Nabi ﷺ boleh mengangkat dan mengendong beliau dengan sebelah tangan sahaja.

Dijumpai mati bersama 7 orang kafir ketika perang.

Maksudnya beliau kuat. Bukti bahawa kekuatan itu bukan pada tubuh tetapi pada roh seseorang.

Nabi sangat sayang Julaibib sehinggakan Nabi sendiri memilih dan melamar calon isteri buat beliau.

Calon isteri Julaibib juga tidak kurang hebat. Walaupun ibu pada awalnya menolak pinangan Nabi dek kerana miskin dan buruknya Julaibib, beliau tetap mahu menikahinya.

Begitu taat gadis ini kepada Nabi, fikirnya mustahil Julaibib pilihan Nabi ﷺ akan mensia-siakan dirinya.

Dengan tegas wanita itu membacakan surah Al-Ahzab ayat 36 lalu berkata kepada ibu bapanya "aku tidak akan menikah kecuali dengan Julaibib رضي الله عنه!"

Mendengarkan itu, bapa itu pun mengadap Nabi ﷺ dan bercerita menyatakan persetujuannya dengan pinangan Rasulullah buat Julaibib bersama anak gadisnya.

Nabi lalu mendoakan kebaikan buat calon isteri Julaibib itu.

"Ya, Allah! Curahkanlah kebaikan untuknya. Dan jangan Engkau menjadikan untuknya kehidupan yang susah."

Hebatnya beliau sehinggakan Nabi sendiri mendoakannya secara khusus.


Mereka pun bernikah. Terasa bahagia Julaibib, insan yang miskin, buruk, pendek dan kecil mendapat seorang isteri yang cantik lagi solehah. Lagi bukti bahawa jodoh adalah ketentuan Ilahi dan terbukti individu yang beriman, jodohnya juga orang yang beriman.

Namun tidak lama sejurus selepas bernikah, Julaibib terpaksa memenuhi panggilan jihad.

Sememangnya menjadi impiannya semua sahabat Nabi untuk syahid di jalan Allah.

Pergilah Julaibib, sahabat Nabi yang kecil pendek itu berperang meninggalkan isteri yang baru sahaja dinikahinya.

Sudah menjadi kebiasaan Nabi ﷺ seusai perang berakhir bertanyakan siapakah di antara sahabat yang syahid.

Mereka pun menjawab si fulan dan si fulan.

Bagaimanapun Nabi tidak mendengar nama yang baginda tunggu.

Nabi pun berseru, "Sesunguhnya aku telah kehilangan salah seorang sahabatku, Jualaibib. Carilah dia."

Mereka pun mencari dan menjumpai jasad Julaibab dalam keadaan tersungkur bersama 7 jasad orang kafir.

Nabi diberitahu akan hal itu.

Nabi lalu menghampiri hingga di sisi jasad Julaibib رضي الله عنه seraya berkata: "Dia telah membunuh tujuh orang ini, kemudian mereka membunuhnya. Sesungguhnya, dia adalah aku, dan aku adalah dia"

Nabi mengulangnya 3 kali.

Dengan lembut dan dengan penuh kasih sayang, Nabi pun mengangkat Julaibib dan meletakkan di lengan baginda.

Jasad Julaibib tetap di lengan Nabi sehinggalah liang lahad siap digali lalu Nabi sendiri meletakkan Julaibib di dalam kubur.

Miskin, hitam, pendek, kecil, buruk, namun itu bukanlah ukuran di sisi ajaran Islam sehinggakan Julaibib yang mempunyai semua ciri-ciri yang dianggao jelek itu menjadi kesayangan Nabi ﷺ.

Janda Julaibib pula bagaimanapun direkodkan menjadi seorang yang kaya-raya, tidak pernah susah hidupnya berkat doa Nabi ﷺ.


Rujukan:

1. https://almanhaj.or.id/3797-julaibib-radhiyallahu-anhu-ia-memilih-berjihad-dan-merindukan-syahid.html

2. https://youtu.be/ezKdnt44oVg

3. https://www.facebook.com/780006162348417/posts/1117602815255415/


[Gerakan PENA Malaysia]


Comments