Manhaj Rokok Makrukh

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Seorang Instafamous lelaki dari negara jiran yang bermanhaj sufi ditegur oleh seorang kenalan saya kerana menghisap roko dan vape secara terang-terangan. Jawapan yang diberikan agak memeranjatkan: “setahu ana, ulama di Indonesia ramai (meng)hisap rokok atau vape. Habaib pun ada sebab mereka memegang hukum makruh. Hukum fiqh ini terlalu luas kerana banyak pendapat yang boleh (di)ikut.”

Manhaj ini bahaya dan boleh merosakkan. Keluasan fiqh diraikan, tetapi bukan untuk mencari kemudahan seperti ini. Mencari-cari pendapat yang sesuai dengan hawa nafsu dan menjadikannya sandaran taqlīd adalah perbuatan tatabbu‘ rukhaṣ yang ditentang oleh ulama. Kadang-kadang ulama membenarkan menggunakan pendapat yang lemah, walaupun dalilnya tidak kuat, atas dasar maslahat dan hajat, namun menghisap rokok bukan suatu keperluan sama sekali.

Selain itu, kalaupun benar rokok hukumnya makruh dan tidak haram seperti yang didakwa, ia tetap tidak boleh ditonjolkan dan dinormalisasikan sampai menjadi ikutan. Lagipun, sebagai sesuatu yang makruh – yang secara harfiahnya bermaksud dibenci atau tidak disukai – ia sepatutnya mengaibkan untuk ditunjukkan kepada orang lain.

Kemudian, perbuatan ulama bukan hujah untuk melakukan perbuatan yang salah, meskipun ia seorang habib. Bahkan, ijmak ahli bait bukan hujah di sisi Ahli Sunnah. Mencintai ahli bait dan zuriat keturunan Nabi SAW dituntut, namun bukan dengan cara membenarkan kesalahan mereka. 

Akhir sekali, setiap orang ada kelemahan dan kekurangan yang sukar untuk dibaiki. Daripada mencari alasan untuk membela kesilapan, lebih baik mengaku kelemahan diri. Dengan itu, kita sedar siapa kita - serta berazam dan berusaha untuk menjadi lebih baik.

Wallahualam.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments