Perdebatan Bentuk dan Pergerakan Bumi

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Perdebatan tentang bentuk dan pergerakan bumi sudah sampai ke tahap ghuluww. Kata seorang daripada mereka tentang pendapat yang bertentangan, “(ini) kepercayaan batil dan kufur kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.” 

Saya melihat polemik ini tidak boleh dibiarkan. Banyak khilaf yang bermula antara salah dengan betul, menjadi antara sesat dengan benar, dan bahkan melampaui sehingga ke tahap antara iman dengan kufur. Dalam sejarah, khilaf dalam masalah fiqh pun boleh sampai ke tahap yang serius. Pada tahun 447 H, terjadi pergaduhan sampai ke tahap bunuh-membunuh kerana isu bacaan basmalah dalam solat sama ada jahar atau sirr. Imam al-Ṭurṭūshī (521 H) cuba dibunuh oleh pentaksub mazhab Ḥanafī kerana mengangkat tangan sebelum dan selepas rukuk. 

Supaya sejarah tidak berulang, saya menasihatkan supaya jangan melampau dalam membahaskan isu pergerakan bumi, konspirasi, dan sebagainya. Elakkan berdebat di ruang komen kerana itu hanya menyebabkan perbalahan penuh emosi. Mohon nyahkawan atau sekat akaun orang-orang seperti ini. 

Kita tidak menyekat wacana ilmu, tetapi ilmu mestilah dibincangkan secara beradab, tertib, dan ilmiah. Saya suka dengan cara Sdr. Nawawi Subandi yang mempertahankan pendapat yang tidak saya setujui iaitu pendapat bumi pegun dan tidak beredar, kerana beliau melakukannya secara ilmiah menerusi artikel di laman webnya. Adapun orang lain sekadar mampu melakukan provokasi dengan menyerang status dan menyindir orang. Mereka adalah orang-orang jahil yang tidak layak dilayan.

إذا نطقَ السفيهُ فلا تُجِبْهُ ـــــ فخيرٌ من إجابتِهِ السكوتُ

“Apabila orang bodoh berbicara, jangan jawab kerana lebih baik daripada menjawabnya adalah diam.”

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments