Konflik Nama Nabi Yaakub dan Israel

 OLEH: Ustaz Muhmmad Izzat Al-Kutawi

Izinkan saya mencelah mengenai isu nama Israel yang diperdebatkan sekarang. 

Isrā’īl adalah nama seorang nabi iaitu Ya‘qūb ‘alay-hi al-salām. Tentang maksud sebenar perkataan Isrā’īl, saya tidak tahu, namun yang pasti ia bukan daripada bahasa Arab dan berdasarkan athar salaf, -‘īl merujuk kepada Allah ‘azza wa-jalla. Imam al-Nawawī mengingkari pendapat yang mengatakan –‘īl merujuk kepada Allah malah mengatakannya “batil tiada asasnya”, namun Ḥafiẓ Ibnu Ḥajar menolak pengingkaran tersebut dan ini boleh dilihat dalam Ajwibah al-Ḥafiẓ Ibni Ḥajar al-‘Asqalānī.

Sebaris dengan nama-nama nabi dan rasul yang lain, Isrā’īl adalah nama yang mulia. Jika membaca kitab-kitab hadis, kita akan menemui beberapa rawi bernama Isrā’īl, dan dua daripadanya bertaraf thiqah iaitu Isrā’īl b. Yūnus dan Isrā’īl b. Mūsā. Isrā’īl b. Yūnus ini antara rawi yang masyhur dan mukthir dengan hampir seribu periwayatan. 

Atas asas ini, para ulama mengingkari tindakan Yahudi-Zionis menamakan negara mereka sebagai Israel. Perkara ini tidak diketahui ada khilaf dalam kalangan ulama-ulama Salafī. Syeikh Rabī‘ al-Madkhalī, Syeikh Ṣāliḥ al-Fawzān, Syeikh Mashhūr Ālu Salmān, dan lain-lain semuanya mengatakan penamaan tersebut mungkar, tidak benar, mencemarkan nama yang mulia, dan bersifat propaganda. Dan rentetan daripada itu juga, mereka melarang umat Islam menggunakan perkataan Israel dalam celaan dan doa laknat.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka tidak mengambil kira langsung makna Israel merujuk negara haram Yahudi di Palestin sebagaimana yang digunakan dan difahami secara meluas pada hari ini. Dalam artikel yang disiarkan dalam laman sesawang Islam QA, sebagai menjawab isu hukum menamakan anak dengan nama Isrā’īl dijelaskan bahawa hukum asalnya harus, tetapi berubah menjadi sebaliknya pada hari ini dengan dua alasan: pertama, anak tersebut akan berdepan dengan penghinaan dan cemuhan; dan kedua:

تنوع المعاني الدلالية لهذا الاسم " إسرائيل " ، واشتهارها في هذا الزمن ، مما يُخفي المعنى الحقيقي له الذي أطلقه الله سبحانه على نبيه يعقوب عليه السلام .

“Kepelbagaian makna semantik bagi nama Isrā’īl ini dan kemasyhurannya pada zaman sekarang yang menenggelamkan maknanya yang sebenar yang digunakan oleh Allah subḥāna-hu merujuk nabi-Nya, Ya’qūb.”

Sebagai ganti nama Israel, para ulama mencadangkan beberapa nama lain sebagai ganti untuk merujuk negara haram itu, iaitu bani Israel, negara Yahudi, negara Zionis, dan Palestin yang terjajah (al-muḥtallah). Namun, atas dasar ikhbār, bukan iqrār – seperti dalam masalah nama ‘Abd al-Muṭṭalib – dan perbezaan makna antara Israel, Yahudi, dan Zionis – seperti yang jelas ketika menyebut “Benjamin Netanyahu berketurunan/agama Yahudi, berwarganegara Israel, dan berideologi Zionis”, perkataan Israel kadang-kadang dikekalkan sebagai satu istilah. Sebagai contoh, dalam teks fatwa al-Lajnah al-Dā’imah disebutkan:

وبعد دراسة اللجنة - للاستفتاء أجابت : بأنه لا يجوز لمسلم يؤمن بالله واليوم الآخر استعمال ما يحمل شعارات الكفر ورموزه ؛ كالصليب ، ونجمة إسرائيل ، وتمثال بوذا ونحوها...

“Selepas panel meneliti pertanyaan, maka mereka menjawab bahawa tidak harus bagi seorang Muslim yang beriman kepada Allah dan hari akhirat menggunakan lambang-lambang dan logo kekafiran seperti salib, bintang Israel, patung Buddha, dan sebagainya...”

Sebagai penutup, dipetik fatwa yang disiarkan dalam laman Islam Web tentang hukum mencela Israel dengan maksud negara Yahudi-Zionis supaya dapat menjadi pegangan dan panduan kita dalam hal ini:

وما دام هذا الساب لم يقصد يعقوب عليه الصلاة والسلام وإنما قصد دولة اليهود فنرجو ألا شيء عليه وعليه أن يتحرز في المستقبل.

“Selama mana pencela ini tidak memaksudkan Ya‘qūb AS, sebaliknya memaksudkan negara Yahudi, maka kami berharap ia tidak dihukum apa-apa, tetapi ia perlu berhati-hati pada masa depan.”

Semoga Allah mengampuni keterlanjuran kita sebelum ini.


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments