OLEH: Ustaz Idris Sulaiman
# Menjaga lisan
# Menulis di media sosial
Barang siapa menjaga lisannya maka dia akan merasa tenang. Menyesal kerana berdiam lebih baik daripada menyesal kerana berkata.
Perbuatan berdiam akan merehatkan akal manakala berkata-kata akan mengejutkannya. Tidak ada kebaikan dalam kehidupan melainkan bagi dua orang; orang yang berdiam dalam keadaan peka dan orang alim yang berbicara.
Menjadi kewajipan atas orang yang berakal supaya tidak beradu dengan orang lain dan tidak menyampuk dalam bicara mereka. Ini kerana walaupun berkata-kata ada faedahnya tetapi berdiam pada masanya akan meletakkan seseorang itu pada kedudukan yang tinggi.
Seseorang itu boleh disifatkan sebagai jahil kerana berdiam tetapi jika dia banyak berkata-kata maka hal tersebut pun boleh menampakkannya sedemikian.
Allah ﷻ meninggikan darjat lisan atas sekalian anggota yang lain. Tidak ada mana-mana anggota badan yang boleh menjana pahala yang lebih besar daripada lisan sekiranya ia melakukan hal-hal ketaatan. Demikian sebaliknya jika ia melakukan hal-hal kemaksiatan.
Adalah menjadi kewajipan atas orang yang berakal supaya mempelajari cara berdiam dan hanya bercakap apabila perlu.
Betapa ramainya orang yang menyesal kerana berkata-kata dan jarang sekali orang menyesal kerana berdiam. Orang yang paling banyak sengsara dan paling banyak mendapat musibah ialah orang yang diuji dengan lisan yang tidak ditambat dan hati nurani yang tertutup.
Lisan orang yang berakal berdiri di belakang akal budinya. Sekiranya dia mahu berkata-kata maka dia akan merujuk kepada hati jantungnya dahulu. Jika terdapat keperluan maka dia akan berkata-kata. Jika tidak maka dia akan berdiam. Sedangkan orang jahil akal budinya terletak di hujung lisannya. Apa sahaja yang terlintas dalam fikirannya maka dia akan mengungkapkannya.
Seseorang itu tidak akan dapat menjaga agamanya sekiranya dia tidak dapat menjaga lisannya. Kerana itu jika lisannya baik maka kesannya akan nampak pada seluruh anggota badan yang lain. Demikian jika sebaliknya.
Orang yang berakal akan menjaga tindak-tanduknya jangan sampai ada kecacatan atau keaiban pada dirinya. Sesungguhnya kecacatan yang paling besar yang akan merosakkan hati nurani dan menghilangkan kebaikan yang ada pada diri ialah perbuatan banyak bercakap sekalipun dalam hal-hal yang diharuskan.
Tiada jalan bagi seseorang itu untuk mengawal percakapannya (supaya lebih banyak berdiam daripada berkata-kata) kecuali dengan dia meninggalkan bual bicara yang harus baginya.
Orang-orang Salaf dahulu sangat prihatin supaya dapat mengurangkan bercakap melainkan dalam apa yang bermanfaat.
Kata Abu ad-Dardaa’ RA:
تَعَلَّمُوا الصَّمْتَ كَمَا تَعَلَّمُونَ الكَلامَ.
“Belajarlah diam seperti mana kamu belajar bercakap.”
[Riwayat al-Kharaiti, Makarim al-Akhlak, no. 397]
Sabda Nabi ﷺ:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ.
“Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik atau diam.”
[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]
Firman Allah ﷻ:
مَّا يَلۡفِظُ مِن قَوۡلٍ إِلَّا لَدَيۡهِ رَقِيبٌ عَتِيدٞ
“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan mencatatkannya).”
CATATAN:
Pada hari ini kebanyakan bicara tertumpu di media sosial seperti Facebook, Twiter dan sebagainya. Sedangkan ini lebih berbahaya khususnya jika melibatkan tulisan jelek yang barangkali akan terus kekal dan dapat dibaca oleh ramai orang. Kesudahannya ia menjadi dosa jariah, waliyazubillah.
Comments
Post a Comment