Gelaran Ahli Sunnah Wal Jamaah Menjadi Rebutan

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Gelaran Ahli Sunnah Waljamaah menjadi rebutan antara aliran Salafiyyah-Athariyyah dengan Ashā’irah-Māturidiyyah. Bagi Ashā’irah-Māturidiyyah, ini gelaran mutlak mereka yang cuba dicuri oleh Salafiyyah-Athariyyah. Sebagai bukti, mereka memetik ungkapan Syeikh al-Murtaḍā al-Zabīdī (1205 H) rahimahullah dalam Itḥāf Sādah al-Muttaqīn, syarah Iḥyā’ ‘Ulūm al-Dīn:

إذا أطلق أهل السنة والجماعة ، فالمراد بهم الأشاعرة والماتريدية.

“Apabila disebut ‘Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah’ maka yang dimaksudkan ialah Ashā’irah dan Māturīdiyyah.”

Sebenarnya begini, Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah adalah istilah yang digunakan oleh banyak pihak dengan maksud golongan yang benar. Oleh sebab masing-masing mendakwa mereka adalah golongan yang benar, maka masing-masing mendakwa mereka adalah Ahli Sunnah Waljamaah. Ashā’irah-Māturidiyyah mengaku mereka Ahli Sunnah, Salafiyyah-Athariyyah pun mengaku Ahli Sunnah – dan masing-masing mengeluarkan golongan yang menyelisihi mereka daripada nama Ahli Sunnah.

Namun, jika mengkaji sejarah perkembangan ilmu akidah dan kemunculan firaq dalam Islam, kita akan mendapati bahawa istilah ini antara paling awal dinukilkan dalam sumber yang sabit daripada:

1. Sufyān al-Thawrī (161 H), salah seorang imam di sisi semua pihak yang menisbahkan diri kepada sunnah. Dalam akidahnya yang diriwayatkan dengan sanad yang kuat disebutkan:

يا شعيب! لا ينفعك ما كتبت [لك] حتَّى ترى الصَّلاة خلف كلِّ برٍّ وفاجر، والجهاد [ماضٍ] إلى يوم القيامة، والصَّبر تحت لواء السُّلطان جَارَ أم عَدَلَ .قال شعيب: فقلت لسفيان: يا أبا عبد الله! الصَّلاة كلّها؟ قال: لا، ولكن صلاة الجمعة والعيدين، صلِّ خلف من أدركت، وأمَّا سائر ذلك فأنت مخيَّر [أن] لا تصلِّيَ إلَّا خلف من تثق به، وتعلم أنَّه من أهل السُّنَّة والجماعة.

“Wahai Shu‘ayb, apa yang aku catatkan kepadamu tidak memberi manfaat sehinggalah engkau menerima solat di belakang setiap yang baik dan jahat, jihad berterusan sehingga hari kiamat, dan bersabar di bawah panji sultan yang zalim atau adil. Kata Shu‘ayb, ‘Abū ‘Abd Allāh, semua solatkah?’ Jawabnya: tidak, cuma solat Jumaat dan hari raya. Solatlah di belakang orang yang kamu jumpa. Adapun solat-solat lain, kamu boleh memilih untuk tidak bersolat kecuali di belakang orang yang kamu percaya dan tahu bahawa ia daripada Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah.”

Dalam riwayat yang terdapat seorang rawi yang tidak dikenali beliau menyebut:

إذا بلغك عن رجل بالمشرق صاحب سنة وآخر بالمغرب فابعث اليهما بالسلام وادع لهماما أقل أهل السنة والجماعة

“Jika sampai berita kepada kamu daripada seseorang di sebelah timur yang merupakan Ahli Sunnah dan seorang lagi di sebelah barat, maka kirim salam dan doakan mereka. Alangkah sedikitnya Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah.”

2. Imam Muḥammad b. Naṣr al-Marwazī (294 H) dalam Ta‘ẓīm Qadr al-Ṣalāh:

وَقَالَتْ طَائِفَةٌ ثَالِثَةٌ وَهُمُ الْجُمْهُورُ الْأَعْظَمُ مِنْ أَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ وَأَصْحَابِ الْحَدِيثِ: الْإِيمَانُ الَّذِي دَعَا اللَّهُ الْعِبَادَ إِلَيْهِ، وَافْتَرَضَهُ عَلَيْهِمْ هُوَ الْإِسْلَامُ الَّذِي جَعَلَهُ دِينًا...

“Dan kata golongan ketiga dan mereka merupakan golongan majoriti terbanyak daripada Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah dan ahli hadis: iman yang diseru oleh Allah kepada para hamba dan yang difardukan ke atas mereka ialah Islam yang Dia jadikan agama...”

3. Imam al-Ājurrī (360 H) dalam al-Sharī’ah:

... فَأَثْبَتَ اللَّهُ تَعَالَى الْحَقَّ مَعَ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ وَمَنْ كَانَ عَلَى طَرِيقَتِهِ وَأَذَلَّ اللَّهُ تَعَالَى الْمُعْتَزِلَةَ وَفَضَحَهُمْ وَعَرَفَتِ الْعَامَّةُ أَنَّ الْحَقَّ مَا كَانَ عَلَيْهِ أَحْمَدُ وَمَنْ تَابَعَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، أَرْجُو أَنْ يُعِيذَ اللَّهُ الْكَرِيمُ أَهْلَ الْعِلْمِ مِنْ أَهْلِ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ مِنْ مِحْنَةٍ تَكُونُ أَبَدًا.

“Lalu Allah taala mengisbatkan kebenaran bersama Aḥmad b. Ḥanbal dan orang-orang yang berada di atas jalannya, Allah taala merendahkan Muktazilah serta mengaibkan mereka, dan orang ramai tahu bahawa kebenaran adalah yang dipegang oleh Aḥmad dan pengikutnya sehingga ke hari kiamat. Aku bermohon supaya Allah al-Karīm menjaga ahli ilmu daripada kalangan Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah daripada sebarang ujian selama-lamanya.”

Dan ketiga-tiga nama ini – sebagaimana yang antaranya boleh dilihat dalam kitab al-‘Uluww oleh Imam al-Dhahabī – adalah pengikut manhaj salaf. Yang pertama hidup sebelum Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari rahimahullah lahir, yang kedua meninggal semasa Abu al-Hasan berusia 24/34 tahun, manakala yang terakhir berusia 44 tahun ketika Abu al-Hasan meninggal dunia.

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]


Comments