Perdebatan Ringkas Sifat Uluw Allah Yang Dinukilkan oleh Shaykh Ibn Taymiyyah

 OLEH: Abdullah Izzat


Shaykh al-Islām ibn Taymiyyah menukilkan sebuah kisah perdebatan ringkas berkenaan dengan sifat ʿUluww bagi Allāh antara Imām Abū Jaʿfar al-Hamdānī – seorang ulama ahli hadis bermanhaj salaf – yang menghadiri sebuah kuliah Imām al-Ḥaramayn Abū al-Maʿālī al-Juwaynī – seorang ulama berakidah Ashāʿirah. Kata Abū Jaʿfar al-Hamdānī:

Saya pernah mendengar Abū al-Maʿālī ditanya [dalam majlisnya] tentang firman Allāh taʿālā: “Yang Maha Pemurah itu, di atas ʿArsh Dia bersemayam” [Sūrat Ṭa-Ha, ayat 5]. Dia (al-Juwaynī) menjawab: “Dulu Allāh [satu-satunya] yang ada, tanpa ʿArsh”. Lalu dia mula bercakap secara semberono.

Maka saya (al-Hamdānī) bertanya: “Baik, saya faham apa yang kamu nyatakan itu, tapi adakah kamu boleh berhelah dengan fitrah”?

al-Juwaynī memberi respon: “Apa maksud kamu”?

Saya menjawab: “Tidaklah orang yang mengenali [Allāh] itu berkata “wahai Tuhanku” melainkan sebelum lisannya menuturkan, hatinya terlebih dahulu menuju ke atas, tidak ke kiri dan tidak ke kanan. Jadi adakah kamu mempunyai helah bagi [menolak] keinginan fitrah ini? Tolong jelaskannya untuk kami supaya kami boleh melepaskan diri daripada [menginginkan kepada] yang atas ini”.

[Ketika itu] saya menangis dan para hadirin pun menangis.

Dia (al-Juwaynī) pun memukul-mukul hujung lengan bajunya pada tempat duduknya, dia berteriak kehairanan, dia merobek-robekkan pakaiannya sehingga tertanggal, dan masjid itu menjadi riuh rendah.

Kemudian dia bangun meninggalkanku dan tidak menjawab pertanyaanku melainkan dia berkata: “Ya Ḥabībī! Hairan, bingung, bingung”!

Setelah itu, saya dengar anak-anak murid dia berkata: Kami mendengar dia (al-Juwaynī) berkata: “al-Hamdānī membuatkanku kehairanan”.

Selesai nukilan.


Kerana peristiwa inilah Imām al-Dhahabī berkata tentang al-Hamdānī “Beliau inilah yang bangkit bertanya dalam majlis nasihat Imām al-Ḥaramayn dan mengajukan kepada dia persoalan berkenaan dengan [sifat] al-ʿUluww”.

Peristiwa ini juga diriwayatkan dengan sanadnya yang lengkap oleh al-Dhahabī dalam Siyar Aʿlām al-Nubalāʾ dan juga dalam kitab al-ʿUluww lil-ʿAliyy al-ʿAẓīm tetapi dengan versi yang lebih ringkas.

Lihat:

al-Ḥarrānī, Aḥmad ibn ʿAbd al-Ḥalīm ibn Taymiyyah, Bayān Talbīs Jahmiyyah fī Taʾsīs Bidaʿihim al-Kalāmiyyah, j. 1, h. 51-52, taḥqīq: Dr. Yaḥyā bin Muḥammad al-Hunaydī. Madīnah: Majmaʿ al-Malik Fahd li-Ṭibāʿat al-Muṣḥaf al-Sharīf, 1426H.

al-Dhahabī, Muḥammad bin Aḥmad, Kitāb al-ʿUluww lil-ʿAliyy al-ʿAẓīm wa Īdāḥ Ṣaḥīḥ al-Akhbār min Saqīhimā, j. 2, h. 1347, taḥqīq: Prof. Dr. ʿAbd Allāh bin Ṣāliḥ al-Barrāk. Cetakan pertama. Riyāḍ: Dār al-Waṭan lil-Nashr, 1999M/1420H.

al-Dhahabī, Muḥammad bin Aḥmad, Siyar Aʿlām al-Nubalāʾ, j. 18, h. 477 dan j. 20, h. 102, taḥqīq: Shuʿayb al-Arnāʾūṭ dan rakan-rakan. Cetakan pertama. Bayrūt: Muʾassasat al-Risālah, 1985M/1405H.


[Gerakan PENA Malaysia]

Comments