OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Para ulama Rabbani sentiasa menasihatkan anak-anak murid mereka agar tidak mengikat kebenaran dengan individu yang masih hidup.
Suatu hari seorang lelaki minta izin kepada Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Utsaimin - rahimahullah - untuk membacakan qasidah di hadapan beliau. Antara ucapan dalam qasidah tersebut :
مَا دَام فينا بنُ صالح شَيخُ صَحوَتِنا ،
بِمِثْلِهِ يُرْتَجَى التَّأيِيدُ والظَّفَرُ
Maksudnya : Selama adanya Ibn Soleh (merujuk kepada Soleh al-Utsaimin) dalam kalangan kita, Syeikh kebangkitan kami. Dengannya lah diharapkan pertolongan dan kemenangan.
Sebaik mendengarnya, serta merta Syeikh al-Utsaimin menegur lelaki ini dengan katanya :
أنا لا أُوَافِق علَى هَذَا البيت , ربط الحق بالأشخاص
Maksudnya : Aku tak bersetuju dengan bait tersebut. (Aku tak setuju untuk) mengikat kebenaran dengan individu.
Syeikh akhirnya suruh lelaki tersebut buang namanya dari qasidah itu dan menukarnya dengan ucapan : Selama adanya Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya dalam kalangan kami.
Ma sya Allah. Ini sangat penting. Batang tubuh manusia ini ada baik dan buruknya. Selagi hayat dikandung badan, kita tidak akan terlepas dengan fitnah kehidupan. Kerana itu Ibn Mas’ud R.A berkata :
من كانَ مُسْتَنًّا ، فَلْيَسْتَنَّ بمن قد ماتَ ، فإنَّ الحيَّ لا تُؤمَنُ عليه الفِتْنَةُ
Maksudnya : Sesiapa yang nak mengikut jejak langkah seseorang, ikutilah jejak langkah mereka yang telah meninggal dunia. Kerana orang yang masih hidup itu tidak aman dari fitnah.
Rujuk Jami’ Bayan al-Ilm wa Fadhlih, Ibn Abd Al-Bar.
[Gerakan PENA Malaysia]
Comments
Post a Comment