Doa Ketika Banjir?

 OLEH: Ustaz Idris Sulaiman



Hantaran seperti dalam tangkap layar di bawah perlu dibetulkan.

Ayat Al-Quran dalam surah Hud, ayat 44 tidak boleh dijadikan sebagai doa untuk meminta dari bumi menelan air dan langit menghentikan curahan hujan kerana ia merujuk kepada perintah Allah ﷻ ke atas kedua-duanya sesudah ditimpakan air bah ke atas kaum Nabi Nuh.

Masakan manusia boleh meminta di alam ghaib kepada selain Allah ﷻ atau memerintahkan bumi dan langit untuk melakukan ini dan itu.

Hanya Allah ﷻ sahaja yang berkuasa ke atas bumi dan langit, yang mampu mengarah dan memerintahnya.

Justeru dalam apa jua situasi dan keadaan Muslim hanya menyeru dan meminta kepada Allah ﷻ, bergantung dan berharap daripadaNya.

Seyogianya di musim tengkujuh dan dalam kekhuatiran berlakunya banjir dihidupkan sunah Nabi ﷺ dengan dibacakan doa yang diajarkan oleh baginda ﷺ iaitu:

اللَّهُمَّ ‌حَوَالَيْنَا، ‌وَلَا ‌عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ ‌وَالجِبَالِ وَالآجَامِ وَالظِّرَابِ وَالأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ.

Ya Allah, (turunkanlah hujan) di sekitar kami dan bukan ke atas kami. Ya Allah, (turunkanlah hujan) ke atas dataran tinggi, gunung-ganang, bukit-bukit, perut lembah dan tempat tumbuhnya pepohonan.”

[Sahih. Riwayat Bukhari]

Sumber tangkap layar:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=284662953704682&id=100064829375273

CATATAN

Berilmu sebelum beramal.

Demikian ada pihak yang mengajarkan zikir-zikir tertentu untuk mengalihkan hujan dan seumpamanya sedangkan realitinya ia merupakan amalan yang direka-reka dan ditokok tambah dalam Agama semata-mata. Tiada contohnya daripada Nabi ﷺ mahupun generasi awal umat Islam. Perlu dielakkan.

Idris bin Sulaiman

Kajang

14 Jamadilakhir 1443H /

19 Disember 2021





Comments