Bab Solat Kusuf

 OLEH: Abu Amru Radzi Othman


[Intisari penting dari kuliah Bulughul Maram karya Imam Ibn Hajar Al-Asqalani oled Dr. Idris Sulaiman]

Dari Syu’bah bin Mughirah ra berkata: 

"Pernah ada gerhana matahari pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam saat wafatnya putra Rasulullah, Ibrahim. Orang-orang pada waktu itu berbicara, “Gerhana matahari ini terjadi kerana wafatnya Ibrahim.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak terjadi gerhana kerana kematian atau hidupnya seseorang. Jika kalian mendapati gerhana matahari dan bulan, maka berdoalah kepada Allah dan solatlah hingga pulih kembali.” (HR Bukhari dan Muslim) Di dalam riwayat Bukhari: “Terang kembali.”

(1) Islam menjelaskan bahawa gerhana tidak berlaku kerana kematian atau kelahiran seseorang.

(2) Antara kepercayaan masyarakat Jahiliyyah adalah gerhana berlaku akibat dari kematian seseorang pembesar atau anak pembesar.

Oleh itu Nabi membantah keyakinan sesat tersebut walaupun ketika itu Baginda sedang bersedih kerana kematian anaknya.

(3) Bulan, matahari serta gerhana adalah salah satu tanda kekuasaan Allah. Dan Allah memberlakukan gerhana adalah bertujuan untuk menakut-nakutkan hamba-Nya.

(4) Hadis mengenai disyariatkan Solat Gerhana adalah berstatus mutawatir. Dan solat gerhana dilakukan di masjid secara berjemaah.

(5) Syeikh Al Mubarakfuri menganggarkan peristiwa gerhana yang disinggung dalam hadis di atas berlaku pada 28 atau 29 Syawal tahun 10H

(6) Ibrahim bin Rasulullah saw merupakan satu-satunya anak yang diperolehi oleh Nabi setelah Baginda berhijrah ke Madinah dan merupakan anak bongsu Baginda.

(7) Baginda saw mengucapkan kata-kata di bawah ini setelah kematian anak bongsunya itu:

"Mata berlinangan, hati berduka cita dan kita tidak mengucapkan kecuali apa yang diredai oleh Tuhan"

(😎 Solat Gerhana perlu dilakukan dalam perasaan takut dan cemas, bukan sebaliknya.

(9) Solat gerhana hanya disyariatkan kepada orang yang melihat gerhana dengan mata kepala mereka sahaja. Sementara orang yang tidak melihat maka tidak disyaratkan.

(10) Ahli Nujum adalah orang yang mentafsir kejadian bintang-bintang dilangit memiliki pengaruh kebaikan dan keburukan kepada manusia dibumi

Ucapan Baginda saw di atas tentang kejadian gerhana merupakan sebuah bantahan kepada Ahli Nujum dan semua golongan yang mengimani horoskop.



CATATAN:

(1) Tidak ada azan dan iqamah pada solat gerhana sebaliknya ucapan "As Shalaatu jamaah" - solat ini dengan berjamaah. 

Ucapan "As Shalaatu jamaah" tidak diucapkan kepada solat-solat yang lain kecuali solat Gerhana. 

Ucapan "As Shalaatu jamaah" lantaran gerhana jarang berlaku sehingga masyarakat perlu  diajak dan diingatikan untuk menunaikan solat gerhana secara berjemaah. 

(2) Gerhana Bulan berlaku pada Ayyamul Bidh (Hari Putih) iaitu pertengahan bulan Qamariyah iaitu pada 13, 14 dan 15 haribulan.

(3) Ada khilaf tentang sumber cahaya bulan; sama ada ia merupakan pantulan dari cahaya matahari ataupun bulan itu sendiri memiliki cahayanya sendiri. Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments