Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


Musuh-musuh Islam tidak akan pernah berdiam diri membiarkan agama terus berkembang dan masyarakat Islam hidup aman damai (Al-Quran, al-Baqarah, 2:120). 

Kerana itu umat Islam diperintahkan supaya menjaga kesatuan agar mereka dapat bersatu padu menghadapi musuh-musuh mereka. 

Sejarah menjadi bukti. 

Pelbagai tipu daya dan muslihat digunakan untuk melemahkan umat Islam serta memecahbelahkan kesatuan mereka termasuklah melalui sistem politik.

Hasilnya sebahagian umat Islam bergaduh dan berbalah antara satu sama lain kerana perbezaan fahaman politik. 

Ini semua tidak wajar dan sama sekali tidak direstui syarak. 

Umat Islam dilarang berpecah belah. 

Firman Allah ﷻ: 

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْ.

“Dan berpegang teguhlah kalian kepada tali Allah (Agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah.” 

[Al-Quran, Aali Imran, 3:103] 

Perbalahan yang berterusan hanya melemahkan umat Islam lalu kekuatan mereka untuk berdepan musuh akan hilang. 

Ini sebagaimana firman Allah ﷻ: 

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ.

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbalah; kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah dan kekuatan kamu akan hilang; dan bersabarlah; sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang sabar.” 

[Al-Quran, al-Anfal, 8:46]

Tiada kekuatan tanpa kesatuan, dan urusan Agama ataupun dunia tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan baik jika umat Islam tidak bersepakat dan bersatu hati.

Atas sebab inilah syariat melarang perpecahan dan perbalahan manakala umat Islam diperintahkan supaya bersatu padu dalam mentaati perintah Allah ﷻ dan RasulNya.  

Ini penting bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara. 


CATATAN 

Ketepikan api asabiah kepartian, sentimen kebencian terhadap sesama saudara Muslim, persepsi dan tuduhan tidak berasas kerana musuh-musuh Islam terus memerhati dan menunggu untuk mencuri peluang.

Muslim harus bertindak bijak.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk. 




[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments