Mengucup @ Mencium Kepala Isteri Selepas Akad

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Bahaya memetik kitab fiqh lalu membuat kesimpulan dan menghebahkannya kepada orang ramai tanpa mengambil kira latar belakang nas tersebut diungkapkan dan tanpa mengambil kira kesan-kesannya pada hari ini. Antara contohnya ialah yang saya baca semalam, artikel tentang mencium kepala isteri di hadapan umum. Penulis memetik nas Shaykh al-Islam Zakariyyā al-Anṣārī (walhal ia kalam al-Bulqīnī dalam Taṣḥīḥ al-Minhāj yang dinukilkan semula oleh Zakariyyā al-Anṣārī) yang berbunyi:

وأما تقبيل الرأس ونحوه فلا يخل بالمروءة.

“Adapun mengucup kepala (isteri dan hamba perempuan sendiri) dan sebagainya itu tidak menjatuhkan maruah.”

Beliau mengatakan, contoh situasi suami harus mencium isteri di muka umum ialah “misalnya, mencium kepala isteri selepas akad nikah dan semisalnya.” Bagi saya, contoh ini melampau. Sebabnya, ulama hanya menyebutkan nas tadi secara umum, dan situasi yang disebutkan oleh beliau sangat khusus.

Ada beza antara بحضرة الأجانب (dengan kehadiran ajnabi) dengan ibarat seperti وهناك أجانب لا يحترزون عن النظر إليها (dan di sana ada ajnabi yang tidak terpelihara daripada memandangnya) dan sebagainya. Dalam masalah menutup muka semasa solat misalnya, aṣḥāb mengatakan wanita makruh melakukannya kecuali di tempat yang tidak terpelihara daripada pandangan ajnabi, maka hukumnya boleh menjadi wajib. Ibnu Ḥajar berpendapat bahawa menutup muka sunat sahaja, tetapi من تحققت نظر أجنبي لها يلزمها ستر وجهها عنه (perempuan yang pasti bahawa ajnabi sedang memandangnya, wajib menutup muka daripadanya). 

Jadi, contoh yang sesuai adalah seperti ketika meninggalkan isteri di lapangan terbang di tempat ramai orang atau menyambut kepulangan isteri di hadapan tetamu, bukan seperti selepas akad nikah di mana pengantin menjadi pusat perhatian orang ramai!

Kemudian, harus diambil kira bahawa ulama mengatakan وأما تقبيل الرأس ونحوه فلا يخل بالمروءة ketika ijmak amali wanita menutup muka ketika keluar rumah dinukilkan. Pada masa itu juga wanita cantik dilarang atau tidak digalakkan keluar solat hari raya. Mereka juga menjaga pergaulan. Mereka tidak bercampur-baur lelaki perempuan baik dalam majlis pengajian mahupun majlis perkahwinan. Pengantin perempuan mereka tidak memakai pakaian ketat dan terdedah. Mereka tidak berkucupan selepas akad nikah di hadapan tetamu, tidak juga berpeluk mesra di hadapan pelukis yang diupah khas untuk merakam hari bahagia mereka. 

Jadi, dengan jauhnya perbezaan antara zaman mereka dengan zaman kita yang dipenuhi kejahilan dan kebabilan, adakah anda berani bertanggungjawab untuk memfatwakan “harus pengantin lelaki mencium kepala pengantin perempuan di hadapan umum” hanya kerana ulama mengatakan mengucup kepala isteri bukan aib yang mencalarkan maruah tanpa sebarang perincian dan persyaratan?!

Tulisan ini sepatutnya lebih panjang kerana ada beberapa lagi isu yang perlu diulas, tetapi penjelasan ini kiranya mencukupi untuk orang-orang yang mempunyai akal dan hati.

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments