OLEH: Dr Idris Sulaiman
Alhamdulillah, semalam berkesempatan mengunjungi Masjid al-Quddus al-Salam di taman perumahan berhampiran Universiti Islam Madinah.
Masjid ini terletak tidak berapa jauh dari rumah ulama besar Madinah, Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad al-Badr.
Memang hajat di hati hendak bersua dan bersalaman dengannya, jika beliau ada.
Ternyata Syeikh benar-benar ada dalam masjid di saf hadapan sedang menunggu iqamat dikumandangkan.
Sekalipun berkarpet dan berhawa dingin, secara amnya keadaan dalam masjid adalah sederhana seperti mana gambaran yang dapat diambil dari papan tanda nama masjid yang terletak di tepi pintu utamanya (lihat gambar yang dilampirkan).
Sesudah selesai solat Isyak kami menunggu Syeikh di luar masjid.
Tiba-tiba beliau muncul keluar dengan seorang lelaki yang menolak kerusi rodanya.
Siapa sangka orang yang menolak kerusi roda Syeikh ialah anak beliau sendiri, Syeikh Abdul Razzaq al-Badr hafizahumallah.
Sangat luar biasa.
Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan melihat dua ulama besar ini, si bapa dan anaknya.
Gembira bersalut syahdu.
Syeikh Abdul Razzaq menolak kerusi roda ayahnya begitu laju seperti hendak mengelak sesiapa yang ingin menyapa mereka.
Memahami hal tersebut kami tercegat berdiri, tidak berbuat apa-apa selain daripada melihat dengan rasa kagum kelibat mereka berdua pulang ke rumah (lihat gambar dari jauh yang dilampirkan).
Anak yang luar biasa sedang berbakti kepada orang tuanya yang hebat.
Contoh birrul walidain yang sangat menginsafkan.
Semoga Allah ﷻ merahmati kedua-dua guruku serta membalas mereka dengan pahala yang berlipat kali ganda.
KULIAH SYEIKH ABDUL RAZZAQ AL-BADR
Semalam sebelum pulang ke tanah air, saya sempat hadir ke kuliah Syeikh Abdul Razzaq al-Badr di Masjid Nabawi, Madinah.
Beliau mensyarahkan kitab Riyadhus Salihin karangan Imam al-Nawawi rahimahullah.
Ramai para penuntut ilmu dari pelbagai latar belakang dan negara yang hadir.
Rata-rata mereka tekun mendengar dan mencatat apa yang beliau sampaikan.
Di sini saya berbesar hati mengajak para penuntut ilmu secara amnya dan para pelajar Universiti Islam Madinah secara khasnya supaya memanfaatkan peluang ketika berada di Madinah untuk hadir ke halakah-halakah ilmu di Masjid Nabawi terutamanya yang dijalankan oleh para masyaikh kibar semisal Syeikh Abdul Razzaq di samping Syeikh Sulaiman al-Ruhaili dan juga Syeikh Saleh al-Suhaimi hafizahumullah.
Di samping membaca kitab-kitab, halakah-halakah talaqqi ilmu para ulama juga penting dan tidak boleh diabaikan oleh para tullab al-ilm.
Melalui halakah-halakah ini para penuntut ilmu dapat bertanya langsung kemusykilan-kemusykilan mereka, memantapkan kefahaman, memperbetulkan kekeliruan di samping mempelajari adab serta akhlak yang tidak mungkin dapat diperoleh melalui bacaan kitab.
Kerana mereka merupakan para pewaris Nabi ﷺ sebagai mana dalam hadis.
Justeru mana-mana pendakwah yang tidak memperkenalkan para ulama rabbani kepada masyarakat terutamanya para ulama semasa yang masih hidup maka besar kemungkinannya tumpuan pendakwah itu lebih kepada mengajak masyarakat kepada dirinya sendiri.
Akhirnya dakwah yang disampaikannya bukanlah dakwah ke jalan Allah ﷻ tetapi dakwah kepada dirinya.
Ini tidak baik.
Pendekatan sempit sebegini hanya membawa kepada kesesatan, asabiah dan taasub si murid kepada guru.
[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan KLIK DI SINI
Comments
Post a Comment