Saf Pertama Masjid : Siapa Dulu Dia Dapat

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


Muslim disuruh bersegera ke masjid bagi mendapatkan saf pertama di hadapan apabila mendengar azan berkumandang bagi meraih fadilat kebaikannya.

Sabda Nabi ﷺ:

‌لَوْ ‌يَعْلَمُ ‌النَّاسُ ‌مَا ‌فِي ‌النِّدَاءِ ‌وَالصَّفِّ ‌الْأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا، وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِي التَّهْجِيرِ لَاسْتَبَقُوا إِلَيْهِ.

“Seandainya manusia tahu (kebaikan) apa yang ada pada panggilan solat dan saf pertama lalu mereka tidak dapat meraihnya kecuali dengan mengundi nescaya mereka akan mengundinya. Seandainya mereka tahu apa yang ada pada bersegera melaksanakan solat nescaya mereka akan berlumba-lumba untuk melaksanakannya.”

[Sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim]

Masing-masing disuruh bersegera dan berlumba-lumba ke masjid apabila mendengar azan untuk mendapatkan saf di hadapan.

Justeru barang siapa mendahului mendapatkan tempat di dalam masjid, sama ada di saf pertama atau lain untuk solat, membaca Al-Quran, berzikir, duduk belajar, iktikaf dan sebagainya maka dia lebih berhak kepada tempat itu berbanding orang lain.

Tiada sesiapa berhak untuk menyuruhnya bangun dari tempat itu kerana Nabi ﷺ melarang perbuatan sedemikian.

Daripada Ibnu Omar, bahawasanya Nabi ﷺ:

نَهَى ‌أَنْ ‌يُقَامَ ‌الرَّجُلُ مِنْ مَجْلِسِهِ وَيَجْلِسَ فِيهِ آخَر.

“Nabi ﷺ melarang perbuatan menyuruh seseorang itu bangun dari tempatnya supaya orang lain dapat duduk di tempat itu.”

[Sahih. Riwayat Bukhari]

Demikian jika wuduk seseorang itu terbatal lalu dia bangun dari tempatnya untuk mengambil wuduk kemudian dia kembali semula ke tempatnya maka dia lebih berhak kepada tempat itu berbanding orang lain.

Sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

مَنْ قَامَ مِنْ مَجْلِسِهِ، ثُمَّ رَجَعَ إِلَيْهِ فَهُوَ أَحَقُّ بِهِ.

“Barang siapa bangun dari tempatnya kemudian dia kembali semula maka dia lebih berhak kepada tempat itu.”

[Sahih. Riwayat Muslim]




CATATAN

Tidak ada kasta dalam Islam. Orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa dan siapa dahulu sampai ke saf pertama maka dialah yang berhak kepadanya.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments