Syarat-Syarat dan Halangan-Halangan Hukum Kafir

 OLEH: Dr Idris Sulaiman


1. Berakal, bukan gila;


2. Baligh, bukan anak kecil;

Kerana sabda Nabi ﷺ:

رُفِعَ ‌الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحتَلِم وَعَنِ المجْنُونِ حَتَّى يَعْقِل.

“Diangkat pena buat tiga golongan; orang yang tidur sehingga dia terjaga, anak kecil sehingga dia baligh dan orang gila sehingga dia berakal.”

[Sahih. Riwayat Abu Daud, no. 4403]


3. Berilmu, bukan jahil;

Firman Allah ﷻ:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبۡعَثَ رَسُولٗا

“Dan tiadalah Kami akan mengazabkan sesiapapun melainkan sesudah Kami mengutus seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

[Al-Quran, al-Israa’, 17:15]


4. Rela, bukan terpaksa;

Firman Allah ﷻ:

مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنۡ أُكۡرِهَ وَقَلۡبُهُۥ مُطۡمَئِنُّۢ بِٱلۡإِيمَٰنِ

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab Allah) kecuali orang yang dipaksa (melakukan perbuatan kufur) sedangkan hatinya tenang tenteram dengan iman.”

[Al-Quran, al-Nahl, 16:106]

Sabda Nabi ﷺ:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي ‌الْخَطَأَ ‌وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ.

“Sesungguhnya Allah memaafkan buat umatku apa yang dilakukan kerana tersalah, lupa dan dipaksa.”

[Sahih. Riwayat Ibnu Majah, no. 2043]


5. Sedar, bukan tersalah / tersilap;

Sebagaimana dalam peristiwa si lelaki yang kehilangan haiwan kenderaannya bersama segala bekalan makanan minumannya di tengah padang pasir yang kering kontang lalu apabila dia menemuinya semula, dia berkata:

اللهُمَّ أَنْتَ عَبْدِي وَأَنَا رَبُّكَ.

“Ya Allah, Engkaulah hambaku dan akulah tuhanMu!”

Nabi ﷺ menjelaskan:

‌أَخْطَأَ ‌مِنْ ‌شِدَّةِ ‌الْفَرَحِ

“Dia tersalah cakap kerana terlalu gembira.”

[Sahih. Riwayat Muslim, no. 2747]


6. Tiada syubhah / takwilan.

Perlu dipastikan orangnya tiada syubhah takwilan yang menurutnya ialah dalil benar dalam apa yang menjadi pegangannya.

Ternyata Imam Ahmad terus mendoakan rahmat keampunan buat khalifah-khalifah pada zamannya yang terpengaruh dengan fahaman sesat Jahmiah mengatakan Al-Quran makhluk sedangkan ungkapan ini adalah kufur.

Ini kerana beliau memahami bahawa khalifah-khalifah itu terpengaruh dengan syubhah-syubhah yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu pada zaman itu.

[Majmuk Fatawa Ibnu Taimiyah, 23/349]




CATATAN

Demikian halnya dengan hukum bidaah, fasik dan sama ada orangnya berdosa atau tidak. Perlu dipastikan syarat-syarat di atas dipenuhi dan tiada sebarang halangan yang menghalang.


[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments