Minda Penjajah

MINDA PENJAJAH


Oleh : Mukhtaruddin Sahid

Sejauhmana kebenaran dakwaan bahawa kegagalan umat Islam bersatu dan perpecahan terhadap firqah-firqah dalam Islam pada masa ini adalah hasil hasutan penjajah, masih dapat dipertikaikan.
Ini kerana setiap firqah dalam Islam ada interpretasi tersendiri terhadap teks Islam yang melahirkan sifat eksklusiviti tersendiri dalam setiap firqah. Tidak hairan kalau percanggahan dan penolakan itu berlaku antara satu sama lain. Kalau tanpa penjajah pun, setiap firqah ini akan bertembung antara satu sama lain.
Lihat saja pertumpahan darah yang berlaku dalam sejarah kemunculan Muktazilah, Syiah, Asyairah, Khawarij dan pelbagai lagi, peranan penjajah tidak signifikan lansung sebab Islam pada waktu itu amat berkuasa.
Namun sebaliknya kalau kita bercakap tentang politik demokrasi, ia memang ciptaan penjajah dan memang diterapkan oleh penjajah lalu diikuti oleh umat Islam seluruh dunia, termasuk yang bergelar 'Islamis'.
Munculnya politik demokrasi dalam umat Islam, menyebabkan barah yang tak terubat dalam masyarakat, iaitu hilangnya tonggak kekuatan umat Islam iaitu bersatu padu dibawah penguasa yang sah dan saling beramar makruf dalam kerangka syar'ie apabila rakyat menggantinya dengan membangkang dan membenci penguasa atas nama 'proses semak dan imbang' serta beramar makruf dan nahi mungkar dalam kerangka politik yang sempit dan berbaur perkauman.
Racun politik demokrasi tidak kurang parah dari perbezaan firqah kerana demokrasi memecah belahkan masyarakat Islam kepada beberapa golongan sedangkan mereka mempunyai mazhab aqidah dan mazhab feqah yang sama. Sekalipun mempunyai mazhab aqidah dan mazhab feqah yang sama, tetapi hanya kerana berbeza parti maka mereka bermusuhan sesama sendiri. Tidakkah golongan 'Islamis' sedar akan perkara ini?
Lebih ajaib, golongan yang menolak perdamaian sesama umat Islam atas alasan lawan politik mereka 'berkawan' dengan musuh Islam, sedangkan mereka sendiri berpakat dengan non muslim yang sifatnya sama saja dengan lawan yang mereka tohmah.
Bagaimana mereka mahu menyeru kepada kesatuan umat Islam seluruh dunia kalau kesatuan dalam negara sendiri masih terumbang ambing atas alasan 'kebebasan bersuara dalam negara demokrasi' dan alasan 'kami memainkan peranan sebagai semak dan imbang'.
Ringkasnya, demokrasi ni memang dari penjajah, dan memang confirm suatu bentuk hasutan penjajah untuk pecahbelahkan umat Islam. Yang ni confirm....


Oleh - Admin MS

Comments