OLEH : Muhammad Izzat Al-Kutawi
Sebenarnya, pembahagian tauhid kepada dua atau tiga tidak pernah menjadi isu dalam kalangan tiga firqah yang memakai gelaran Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā’ah. Mengatakan kaum musyrikin Arab beriman kepada tauhid rubūbiyyah, yakni bahawa Allah SWT adalah satu-satunya Tuhan Yang Maha Pencipta, sebagai tafsiran ayat “Dan sekiranya kamu bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan langit-langit dan bumi...” juga tidak dipertikaikan oleh mana-mana ulama dalam kalangan mereka.
Meskipun sebahagian mereka menyamakan antara kalimah “rabb” dengan “ilāh” secara mutlak dan menggunakan kedua-duanya secara berganti-ganti, namun prinsip yang mendasari konsep Tauhid Tiga iaitu bahawa Allah wajib ditauhidkan bukan sahaja pada iktikad, malah juga pada amalan disepakati. Jadi, khilaf dalam menyamakan atau membezakan antara “rabb” dengan “ilāh” lebih kepada khilaf dalam peristilahan dan konsepsi – seperti khilaf tentang perkataan “mursal” dan “munqaṭi‘” dalam ilmu hadis, dan tentang “fardu” dan “wajib” dalam fiqh.
Perkara ini mula menjadi isu kerana munculnya pemuja wali dan kubur (yang kini masyhur dipanggil Qubūriyyūn) dalam kalangan ahli kiblat. Mereka mendakwa perbuatan mereka menyeru wali dan mengagung-agungkan kubur tidak menjejaskan tauhid kerana mereka masih dan tetap beriktikad bahawa Allah SWT adalah satu-satunya Tuhan. Perbuatan mereka diingkari dan disifatkan oleh ulama-ulama Salafī-Wahhābī sebagai menyamai musyrikin Arab yang, menurut mereka, juga mengakui ketuhanan dan keesaan Allah, tetapi pada masa yang sama mensyirikkan Allah dengan menyeru dan menyembah selain-Nya. Tauhid dan syirik itu bertentangan, jadi untuk menjelaskan bagaimana tauhid dan syirik boleh berlaku pada masa yang sama, mereka mengibaratkannya sebagai “tauhid pada rubūbiyyah, tetapi syirik pada ulūhiyyah.”
Disebabkan Salafī-Wahhābī bersusur-galur daripada madrasah Ibnu Taymiyyah dan konsep rubūbiyyah-ulūhiyyah tadi ditemui dalam kitab-kitab Ibnu Taymiyyah, maka para pemuja wali dan kubur yang sudah lama berdendam dengan Ibnu Taymiyyah, menuduhnya sebagai punca. Mereka mengambil kesempatan daripada kegagalan mereka menemukan konsep tersebut dinyatakan secara jelas dalam athar Salaf dan kitab-kitab ulama sebelumnya untuk membidaahkan dan menyesatkan konsep rubūbiyyah-ulūhiyyah.
Hakikatnya, seperti yang disebut di awal tadi, konsep rubūbiyyah-ulūhiyyah atau Tauhid Tiga disepakati ketiga-tiga aliran, dan Ibnu Taymiyyah bukanlah ulama pertama yang mencetuskannya. Konsep ini sudah lama diterima dan diguna pakai oleh ulama-ulama Ahli Sunnah sebagai kesimpulan daripada al-Quran, sunnah, dan athar Salaf berkenaan tauhid. Perbezaan yang wujud hanyalah dari sudut cara penyampaian, susunan ibarat, dan pemilihan istilah (seperti yang digunakan oleh Imam al-Turkistānī, ulama bermazhab Māturīdī yang sezaman dengan Ibnu Taymiyyah, dalam rajah yang dipaparkan - iaitu menjelaskan Tauhid Tiga dengan cara menjelaskan lawannya, iaitu syirik), tetapi maknanya tetap mendukung konsep yang sama. Cuma, disebabkan konsep ini popular dalam kalangan Salafī-Wahhābī kerana diberi lebih tumpuan, penekanan, dan penegasan serta mesra penghujahan mereka ketika berdebat dengan pemuja kubur, maka konsep ini dinisbahkan kepada Salafī-Wahhābī.
Krisis semakin meruncing kerana Salafī-Wahhābī adalah musuh tradisi mazhab Ash‘arī-Māturīdī, aliran akidah yang dianuti oleh majoriti pemuja wali dan kubur. Tindakan Salafī-Wahhābī menyerang kaedah penyusunan kitab-kitab akidah Ash‘arī-Māturīdī yang berteraskan Sifat 20 mengundang serangan balas yang luar biasa daripada pemuja wali dan kubur, sampai ke tahap mereka mendakwa Tauhid Tiga menyamai konsep Triniti dalam agama Kristian!
Kesimpulannya, pembahagian tauhid kepada rubūbiyyah dan ulūhiyyah (serta asmā’ wa-ṣifāt) adalah seperti pembahagian rukun solat kepada tiga dan pembahagian maqāṣid sharī‘ah kepada lima yang merupakan kesimpulan istiqrā’ nas al-Quran dan sunnah. Isu yang timbul hari ini berasal usul daripada reaksi pemuja wali dan kubur untuk membela amalan mereka yang dihangatkan lagi dengan sentimen permusuhan antara aliran akidah.
Comments
Post a Comment