Penuntut Ilmu Yang Sejati




OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Penuntut ilmu yang sejati ialah mereka yang menumpukan sepenuh perhatian kepada penyampaian ilmu yang disampaikan oleh guru.

Seorang ulama bernama Yahyā bin Yahyā Al-Laitsi, yang merupakan salah seorang perawi kitab Muwatta’ dari Imam Mālik bin Anas, pernah melakukan kembara dari Andalus menuju kepada Imam Mālik yang berada di Madinah.
Ketika Yahyā sedang duduk dalam majlis ilmu yang disampaikan oleh Imam Mālik, tiba-tiba seorang lelaki menjerit : “Ada seekor gajah datang” !
Maka semua yang berada dalam majlis tersebut keluar untuk melihat gajah tersebut, kecuali Yahyā seorang sahaja.
Imam Mālik pun bertanya kepada Yahyā :
ما لك لم تخرج وليس الفيل في بلادك
“Mengapa kamu tidak keluar, bukankah gajah tidak terdapat di negara kamu”.
Jawab Yahyā Al-Laitsi رحمه الله :
إنّما جئت من الأندلس لأنظر إليك، وأتعلّم من هديك وعلمك، ولم أكن لأنظر إلى الفيل
“Tujuan aku datang dari Andalus tidak lain tidak bukan hanyalah untuk bertemu denganmu, dan supaya aku dapat belajar dari petunjuk dan juga ilmumu. Aku tidak datang ke sini untuk melihat gajah”.
Imam Mālik berasa kagum dengan kenyataan tersebut, seraya berkata :
هذا عاقل الأندلس
“Ini merupakan orang cerdik dari Andalus”.
Rujuk Nafh Al-Thīb, Ahmad Al-Maqqari Al-Tilmisāni (2/9)
✍🏻 Muhammad Fahmi Rusli


Comments