Bosan Dengan Media Sosial, Maka Kami Bina Alternatif





Saya mendapati Facebook hari ini sudah jauh berubah. Hampir setiap postingan diiringi gambar. Sebahagiannya pula janaan AI. Serabut. Video – yang baik dan yang nakal – pula dipaksa muncul walau berkali-kali dipangkah. Cadangan kawan baharu terus muncul walaupun kuota sudah penuh.

Gambar-gambar dan video-video pula banyak yang mengajak manusia masuk neraka. Yang tua bangka dan bergelar prof pun masih berkongsi gambar yang tidak syarii. Yang cenderung kepada agama, ustaz, dan wanita “solehah” pun sudah “progresif” (seperti Lembaga Penapisan Filem) dalam bab ini.
Ini di Facebook.
Di Threads pula ada ramai anak-anak muda dan mak cik-mak cik yang menagih kasih sayang di situ. Seperti orang gila mendapat mikrofon, mereka meracau dan mengacau ketenteraman yang awalnya ada di situ. Threads kini hampir sama dengan abangnya, Twitter, segenap ruang ada tulisan golongan B40 tier terendah dalam kewarasan, yang haus akan perhatian. Perhatikan contoh-contoh segar dan rawak di bawah:
- “Perempuan tertarik dgn lelaki kerana duit..saya setuju..boleh belanja air kopi satu???”
- “laki ni mati ke klau tak ajak perempuan tu hs tk boleh ke sayang orng tu gunakan hati kenapa nak kene suruh orng tu bgi badan jugak baru kau nak sayang?”
- “Sehina-hina lelaki melayu, tak pernah lagi kami kapel dngan perempuan bangladesh/rohingya.”
Yang paling baik antara mereka mungkin yang menulis “Condifent keluar tak pakai makeup . Bare face je thanks to this supplement” dengan video memaparkan dirinya dan “Gemuk tutup aurat. Kurus pun tutup aurat. Sebab aurat bukan ikut saiz badan. No compromise, No excuses.🤍” dengan gambar perempuan, mungkin si penulis, dalam keadaan berniqab!
Perkongsian yang baik dan bermanfaat tetap juga ada di Facebook mahupun Threads, namun ibarat membaca akhbar, belek-belek jumpa info yang bermanfaat, belek-belek lagi jumpa gambar bohsia (kadang-kadang dipanggil “anak seni”), belek-belek lagi jumpa artikel agama, dan belek-belek lagi jumpa keputusan nombor ekor.
Keupayaan untuk merespons pula membuat kita geram untuk menekan suka atau memberi komentar. (Jika tidak terus di postingan, kita akan membuat postingan lain.) Sebenarnya, media sosial memang sengaja dicipta begitu untuk memaksimumkan interaksi. Kenapa? Kerana di situlah mereka ingin mengumpul data yang diperlukan untuk iklan dan menyuap sebanyak mana mungkin kandungan yang menyebabkan kita terperangkap lama di dalamnya, dan kerana itulah juga ramai yang suka membikin konten yang dapat menarik perhatian walaupun tidak berfaedah.
Sampai bila begini? Adakah kita akan tua dengan segala "kebodohan" dan "kelaghaan" ini?
Benci dan serabut, lari ke portal berita dengan harapan jika terlepas isu-isu penting terus dari lapangan pun, ada maklumat-maklumat bermanfaat yang boleh dijejaki di situ. Hasilnya mengecewakan, iklan di serata tempat. Klik itu klik ini hanya untuk menghabiskan sebuah artikel. Ini tidak termasuk gambar-gambar dan tajuk-tajuk berita (yang sebahagiannya hanyalah “perangkap klik”) yang melimpah ruah dan berita-berita hiburan dan sampah sehingga mengganggu fokus untuk membaca.
Jadi, apa solusinya?
Dari situ saya mula membina sebuah portal. Adjung Brief diberi nama. Tiada gambar. Di sini tiada tempat untuk segmen hiburan. Artis setaraf Bangla dan Rohingya (mengikut sentimen netizen masa kini) di sini. Hanya ada tulisan. Tiada iklan. (Kalau ada pun nanti, hanya logo penaja atau pendana. Saya tidak menerima “infak” percuma. Harap maklum.) Perempuan miang tidak boleh berjoget di sini. Tiada gambar lelaki bajet hensem, atau perempuan yang perasan lawa. Hanya info, info, dan info; ilmu, ilmu, dan ilmu. Lebih 300 berita dalam satu-satu masa.
Supaya tiada info terkini dan penting yang terlepas, ringkasan berita semasa diambil langsung daripada sumber-sumber berita arus perdana melalui suapan RSS, juga tanpa gambar. Lebih daripada itu, berita-berita berkaitan ilmu, kajian dan penyelidikan, buku, produk digital berteraskan Islam, dan sebagainya yang biasanya terlepas di portal-portal berita arus perdana akan disiarkan di sini, tempat yang lebih bermaruah. Pengguna boleh mendapatkan makluman berkenaan kemas kini Maktabah Shamilah, kitab baharu terbit, glif skrip Arab yang baru dikeluarkan terpapar dalam Adjung Brief, insya-Allah.
Ini adalah salah satu projek yang diusahakan, dan masih belum beroperasi dengan sesungguhnya kerana kami hanya mempunyai dua editor manusia yang aktif buat masa sekarang. Ada lagi projek yang akan menyusul, insya-Allah, demi menjayakan misi “Membina Semula Peradaban” yang rosak oleh media sosial dan dunia siber. Ini cara kami, mewakili kita yang sehati dan sejiwa, bertindak. Ini cara kami, mewakili kita yang cinta akan agama, mengamuk. Tidak perlu cadangan, keluhan, dan bebelan seperti mencurah air ke daun keladi, kali ini kita tunjukkan sendiri. (Walau tiada yang peduli!)

Oleh : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Comments