Isu "generasi sekarang lemah" sebenarnya bukan perkara baharu.
Bayangkan datuk nenek kita yang pernah hidup zaman perang, catuan makanan, makan ubi kayu dan berjalan jauh untuk urusan harian. Sudah tentu mereka akan melihat generasi selepas mereka sebagai lebih lembut dan kurang tahan lasak.
Generasi mak ayah kita pula membesar dalam keadaan jalan belum bertar sepenuhnya, naik bas ke mana-mana, membeli barang di pasar seminggu sekali, tidur di surau atau masjid ketika bermusafir. Mereka juga akan melihat generasi selepas mereka sebagai semakin selesa dan kurang cekal.
Begitu juga generasi 30-50 tahun hari ini. Membesar dengan elektrik yang tidak semewah sekarang, tidur berlampukan pelita atau lilin di sesetengah tempat, menunggang motosikal jauh, menerima rotan di sekolah, dimarahi guru atau ketua sebagai perkara biasa.
Sebab itu ramai dalam generasi ini merasakan generasi hari ini terlalu sensitif. Sedikit tekanan kerja dianggap burnout. Teguran dianggap trauma. Denda tidak boleh. Rotan tidak boleh. Marah tidak boleh.
Tetapi cuba kita fikir semula.
Bukankah setiap generasi akan berasa generasi selepas mereka lebih lemah?
Sebab ukuran yang digunakan ialah pengalaman hidup mereka sendiri.
Hakikatnya, setiap generasi dibesarkan dalam persekitaran yang berbeza. Cabaran yang dihadapi juga berbeza.
Generasi perang diuji dengan kelaparan dan peperangan.
Generasi selepasnya diuji dengan kemiskinan dan pembangunan negara.
Generasi hari ini pula diuji dengan tekanan hidup yang berbeza, persaingan global, teknologi yang bergerak terlalu pantas dan dunia yang sentiasa bersambung 24 jam sehari.
Yang menariknya, generasi terdahulu apabila dikatakan lemah berbanding generasi sebelumnya, mereka jarang membantah. Bukan sebab mereka hamba atau takut, tetapi kerana mereka menghormati orang yang lebih tua dan mengakui bahawa ada kebenaran dalam kata-kata itu.
Saya sendiri dalam lingkungan generasi 30-50 tahun mengakui bahawa kami juga lebih lemah daripada generasi mak ayah kami dalam banyak perkara. Kami mungkin tidak mampu hidup seperti mereka. Kami mungkin tidak mampu bertahan seperti mereka jika berada dalam keadaan yang sama.
Dan itu normal.
Yang menjadi persoalan hari ini bukanlah sama ada generasi sekarang lebih lemah atau tidak.
Persoalannya ialah mengapa apabila ditegur sebagai lebih lembut atau kurang tahan lasak, ada yang terus marah, melawan, melabel dan memperlekeh generasi yang lebih tua.
Menghormati pandangan generasi terdahulu tidak semestinya bermaksud kita bersetuju dengan semua perkara.
Tetapi sedikit adab dalam perbezaan pandangan tidak pernah merugikan sesiapa.
Kerana akhirnya, setiap generasi ada kekuatan dan kelemahannya sendiri.
Namun rasa hormat kepada mereka yang datang sebelum kita sepatutnya tidak pernah lapuk ditelan zaman.
Oleh : Ustaz Huzaifah Hadis

Comments
Post a Comment