Antara Belajar Fiqh Mengikut Mazhab Dan Dalil

OLEH: Ustaz Abu Najla' Fariz Zainal

Belajar Fiqh mengikut salah satu mazhab dari empat mazhab fiqh yang mu'tabar tidaklah bermakna mempelajari fiqh tanpa dalil langsung. Bahkan telah banyak usaha yang dilakukan oleh para ulama' zaman berzaman dalam mengeluarkan dan menyusun dalil-dalil Al Qur'an, Hadith dan Athar bagi menjelaskan keputusan fiqh masing-masing.

Terdapat banyak usaha takhrij hadith-hadith yang menjadi asas dalil kepada hukum hakam sesuatu mazhab, sebagai contoh dalam mazhab Shafi'i, imam yang terkenal dengan usaha takhrij dan banyaknya tulisan beliau adalah Sirajuddin Abu Hafs Umar bin Ali Ibn Al Mulaqqin rahimahullah. Beliau terkenal dengan:

al-Badr al-Munir fi Takhrij Ahadith al-Sharh al-Kabir (khidmat kepada kitab Imam al-Rafi'i),
Tuhfatul Muhtaj ila Ahadith al-Minhaj (khidmat kepada kitab Minhaj al-Tolibin Imam Nawawi),
al-Bulghah fi Ahadith al-Ahkam,
dan banyak lagi.

(Pengajian hadith-hadith hukum mazhab Shafi'i molek jika bermula dengan kedua-dua kitab Ibn al-Mulaqqin di atas yakni Bulghah, diikuti dengan Tuhfah - kerana susunan bab-babnya mengikut susunan kitab fiqh mazhab Shafi'i, sebagaimana mazhab Hanbali kebiasaannya dengan dimulakan dengan Umdatul Ahkam Abd al-Ghaniy al-Maqdisi kemudian al-Muharrar fi'l-Hadith oleh Ibn Abd al-Hadi. Manakala Bulughul Maram karya Ibn Hajar al-Asqalani al-Shafi'i apatah lagi al-Muntaqa oleh Majd al-Din Abu'l-Barakat Ibn Taimiyyah al-Hanbali merentasi semua mazhab, menjadi rujukan utama dengan manfaat sangat banyak kerana khidmat para ulama' mensyarahkannya)


Para ulama' senior masa kini seringkali menasihati agar mempelajari ilmu-ilmu Islam secara bertahap, dan dalam ilmu fiqh, sering juga dinasihati agar dipelajari terlebih dahulu fiqh menurut mazhab yang diikuti umumnya di negara tersebut.

Penuntut ilmu fiqh mazhab Shafi'i zaman kini begitu kenal dengan kitab moden yang mudah dipelajari seperti al-Fiqh al-Manhaji. Malah penulis yang sama (Dr Mustofa al Bugho) mengusahakan syarahan ringkas berserta takhrij dalil-dalil bagi beberapa matan ringkas fiqh Shafi'i iaitu:

al-Tadhhib fi Adillati Matan al-Ghoyah wa'l-Taqrib,
al-Hadiyyah al-Mardhiyyah bi Sharhi wa Adillati al-Muqoddimah al-Hadhramiyah,
dan Tanwir al-Masalik bi Sharhi wa Adillati Umdat al-Salik wa Uddat al-Nasik.

Dalil tetap menjadi keutamaan pada penuntut ilmu, dan belajar fiqh secara bertahap dan mengetahui dalil serta pendalilannya akan mendatangkan manfaat yang banyak - tanpa perlu ghuluw dengan menyisih dan meremehkan mazhab-mazhab yang empat ataupun taksub dengan mana-mana mazhab yang empat sehingga kebenaran bagaikan tidak wujud di tempat lain.

Paling utama bergurulah dengan guru beraqidah Ahli Sunnah wal Jama'ah al-Salafiyah, iaitulah aqidah yang dipegang Imam Shafi'i dan murid-muridnya Imam Ahmad, al-Muzani, al-Buwaiti dan Rabi', rahimahumullahu rahmatan wasi'ah, yang suci murni dari pencemaran falsafah, ilmu kalam dan kesufian golongan terkemudian.

(Ramai sahaja masyaikh dan asatizah Salafiyah di Jordan - Jam'iyah Markaz al-Imam al-Albani menjadikannya silibus fiqh daurat ilmiyyah mustamirrah -, Mesir, Indonesia dan Malaysia yang mensyarahkan Matan Abi Syuja')

Wallaahu'l-Muwaffiq.

___________________________
~Ustaz Abu Najla' Fariz Zainal~
Pendakwah Bebas
_____________________________

Comments