Halelujah / Haleluyah Dalam Islam

OLEH: Taufiq Tuah

Baru-baru ini kedengaran pemikiran yang mengatakan Muslim boleh menyebut 'Haleluyah' dalam kehidupan sebagaimana orang Kristian melakukannya.

Perkataan Haleluyah atau Aleluya ialah perkataan dari bahasa Ibrani (Bani Israel) yang bermaksud 'Pujilah Tuhan'. Perkataan ini digunakan oleh agama Yahudi untuk doa tertentu dan digunakan oleh Kristian untuk memuji tuhan mereka.



Perkataan Aleluya ialah dari bahasa latin dengan makna dan fungsi yang sama.



Dari segi bahasa Ibrani, 'Halelu' bermaksud 'pujilah dengan gembiran dan nyanyian'. Hal ini kerana Halelu merujuk kepada bilangan lelaki yang ramai sebagaimana tatabahasa Arab iaitu 'Jama' dan Bahasa Inggeris iaitu 'Plural'. Perkataan 'Halel' juga merujuk kepada orang yang gila dan sasau. Mungkin kerana mereka membacakan Haleluyah dalam keadaan gila isim.

'Yah' pula ialah singkatan bagi nama tuhan orang Yahudi iaitu Yahweh.

Akhirnya perkataan 'Haleluyah' menjadi zikir bagi agama Yahudi dan Kristian dalam ibadah mereka sebagaimana Muslim juga memuji tuhan kita dengan menyebut 'Subhanallah'.

Adakah boleh Muslim juga menyebut 'Haleluyah' kerana ia membawa maksud lebih kurang dengan 'Subhanallah'?

Haleluyah = Pujilah Tuhan
Subhanallah = Segala Puji Bagi Allah

Jawapannya tidak dan haram. Hal ini kerana perkataan Haleluyah ialah perkataan ibadah mereka. Mengapa pula Muslim perlu menyebut Haleluyah sedangkan Rasulullah SAW sendiri mengajarkan cara zikir yang baik2.

Malah, mengapa pula kita lakukan ritual agama lain? Adakah boleh kita Muslim membuat ritual agamai lain seperti membaca nyanyian-nyanyian gereja? Tidak sama sekali. Sama lah juga dengan serangkap 'Haleluyah' ini kerana ia termasuk di dalam ibadah agama Yahudi dan Kristian. Hal ini jelas disebutkan oleh Rasulullah SAW,

Dari Ibn Umar beliau berkata, “RasulullahSAW bersabda,
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Barangsiapa menyerupai suatu kaum maka ia termasuk dari mereka”
 [HR Abu Daud, hasan]

Rasulullah SAW sangat mengambil berat dalam hal ini. Bukan sahaja dalam hal bacaan ibadah mereka, malah pada sekecil-kecil pemakaian juga Rasulullah SAW larang untuk kita ikuti jika pemakaiann itu ialah tanda rasmi bagi agama mereka. Sebagaimana dalil,

خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ وَفِّرُوا اللِّحَى وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ
“Selisihilah kaum musyrikin, biarkanlah janggut, pendekkanlah misai”
 [Muttafaqun ‘alaih]



BUKANKAH NABI PERNAH PAKAI JUBAH ORANG ROM?

Ya, Islam tidak menafikan hal itu sebagaimana hadis,

“Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai jubah Rom –dalam sebahagian hadis disebut jubah syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Nasai dan lain-lain)

Namun pemakaian Rom tidaklah  dikira sebagai pakaian khusus Kristian walaupun Rom pada ketika itu beragama Kristian. Ia hanya pakaian rasmi kaum Rom dan bukan agamanya.

Misal mudah di kalangan Nusantara ialah Baju Melayu. Ia bukanlah baju Rasmi Islam walaupun ramai Melayu mengenakannya ketika solat. Tetapi ia baju rasmi milik bangsa Melayu. Oleh itu, orang Cina dan India yang bukan Islam juga perlu memakai baju Melayu ketika menerima darjah atau gelaran daripada Istana.

Begitu juga Jubah Rom yang hanya milik bangsanya dan bukan agamanya. Namun Kristian mempunyai pakaian rasmi sebagaimana kita biasa melihat para biarawan dan biarawati mereka sering memakainya.




KALAU SEBUT HALELUYAH TAPI TIADA NIAT UNTUK BERIMAN KEATAS PERKATAAN ITU, MAKA BOLEH ATAU TIDAK?


Hukumnya tetap tidak boleh kerana dalil di atas. Dalil menyebutkan, "Man tasyabbaha...." yang bermaksud "sesiapa yang menyerupai....". Jelas bahawa Rasulullah menggubakan perkataan menyerupai dan bukannya menyebut 'iktikad'.

Cukup menyerupai sesuatu agama lain walaupun tanpa iktikad atau keyakinan keatas sebutan tersebut, tetap hukumnya haram.

Akan ada alasan yang kata, makna perkataan 'Haleluyah' bukanlah makna yang syirikkan Allah. Maka mungkin boleh digunakan. Hakikatnya tetapi tidak boleh menghalalkan hal tersebut kerana ia telah menjadi ibadah kepada agama lain. Walaupun maknanya hampir sama dengan zikir agama
 kita, hal itu juga tetap tidak menghalalkan menyebut Haleluyah.

Misalnya seseorang yang bernama ''Abdullah'. Dari segi bahasa 'Abdullah' bermaksud 'Hamba Allah'. Jika ada yang bertanya kepada Abdullah, "Apakah nama kamu?" adakah Abdullah akan jawab, "Nama saya Hamba Allah"?

Sudah tentu Abdullah akan jawab "Nama saya Abdullah" walaupun dia tahu makna namanya itu 'Hamba Allah'. Kerana satu-satu istilah yang khas, kita tidak boleh menyebutnya secara khas jika kita ubah istilahnya. Walaupun istilah itu membawa makna yang sama.

Misal lagi, nama tempat Kota Bharu. Jika kita sebut Bandar Bharu, adakah akan merujuk destinasi yang sama? Tidak, kerana kata Khas perlu disebut dengan istilah khasnya. Walaupun Kota dan Bandar ialah makna yang sama, namun menukar istilahnya
tidak sekali-kali menjadikan ia sama.

Begitulah juga istilah Subhanallah (segala puji bagi Allah) jika kita tukar jadi Haleluyah (pujilah tuhan), ia tetap akan menjadi makna yang berbeza kerana Subhanallah ialah zikir khusus orang Islam, dan Haleluyah ialah zikir khusus orang Kristian. Tidak akan sama di antara dua zikir ini.

Kesimpulannya, Muslim dilarang untuk menyebut perkataan 'haleluyah' samada dengan iktikad mahupun tanpa iktikad. Kecuali bagi menerangkan hukum ini (sistem pengajaran) maka dibenarkan. Mungkin anak-anak muda kita terlalu banyak mendengar lagu-lagu dari luar yang menyebut perkataan ini dan juga filem-filem yang memaparkan perkataan ini akhirnya menjadikan orang kita ada yang terikut-ikut menyebutnya. Terutamanya apabila ada episod dalam drama Mr.Bean  dahulu yang menyebut 'haleluyah' ketika di gereja dengan nada gereja membuatkan ramai kanak-kanak pada masa itu terikut. Kini, anak-anak itu telah pun dewasa dan masih terikut nada 'haleluyah' bawaan Mr.Bean ini di dalam minda mereka secara tidak sedar. Oleh itu perbuatan ini secara sedar atau tidak sedar haruslah dibendung bagi menjaga kesejahteraan akidah kita insyaallah.

Wallahualam

___________________________
 Taufiq Tuah
  ~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments