Setiap kali berlaku isu yang menyentuh soal bangsa Melayu di Facebook, akan ada saja komen-komen yang mengungkit tentang kehebatan orang Melayu zaman dahulu.
Antaranya, lebih kurang begini:
“Jangan cabar kesabaran orang Melayu! Kalau tak mau tengok parang terbang masa peristiwa 13 Mei, jangan biadap!”
Saya sebenarnya tidak berminat untuk masuk terlalu jauh dalam persoalan sama ada parang terbang itu benar-benar pernah berlaku atau tidak.
Persoalan yang lebih menarik bagi saya ialah:
Kalau seseorang datang kepada kita dengan cerita yang luar biasa macam ni, bagaimana seorang Muslim patut menilainya?
Adakah kita terus menolak kerana ia nampak mustahil?
Atau kita terus percaya kerana ia cerita orang-orang terdahulu?
Apa itu Parang Terbang?
Dalam cerita-cerita yang beredar dalam masyarakat Melayu, khususnya berkaitan pendekar dan orang-orang yang dikatakan memiliki ilmu tertentu, terdapat pelbagai kisah tentang kehebatan luar biasa.
Ada cerita tentang ilmu kebal, ada tentang kemampuan menghadapi senjata, ada tentang orang yang dikatakan mempunyai ilmu tertentu sehingga mampu melakukan perkara yang di luar kemampuan manusia biasa.
Cerita-cerita seperti ini kadang-kadang pula dikaitkan dengan sejarah pergaduhan antara orang Melayu dengan kumpulan bersenjata selepas Perang Dunia Kedua, termasuk konflik dengan Bintang Tiga dan gerakan komunis.
Nama-nama seperti Kiai Salleh, Sungai Manik dan Selempang Merah juga muncul dalam pelbagai cerita dan ingatan masyarakat mengenai zaman tersebut.
Apabila sejarah, cerita lisan, kepahlawanan dan kepercayaan terhadap ilmu kebatinan diwariskan dari satu generasi kepada generasi yang lain, sempadan antara apa yang benar-benar berlaku dalam sejarah dengan apa yang diceritakan tentangnya kadang-kadang menjadi semakin kabur.
Kemudian muncul pula cerita-cerita yang mengaitkan kehebatan tersebut dengan peristiwa 13 Mei 1969.
Jadi apabila seseorang hari ini berkata:
“Orang Melayu dulu ada ilmu parang terbang.”
Soalan kita bukan semata-mata:
“Betul ke parang boleh terbang?”
Tetapi kita patut bertanya dahulu:
Cerita ini datang dari mana? Apa sebenarnya yang dikatakan? Bagaimana kita menilai kisah ini dari perspektif Islam? Dan sejauh mana kita patut mempercayainya?
Islam tidak mengajar kita menolak semua perkara luar biasa
Saya rasa disini kita perlu berhati-hati.
Kalau seseorang menolak sesuatu hanya kerana ia kelihatan luar biasa, dia sebenarnya belum memahami akidah Islam dengan baik.
Islam memang mengakui berlakunya perkara-perkara luar biasa.
Mukjizat para nabi adalah perkara yang wajib diimani.
Contohnya peristiwa Isra’:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى...
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa...”
Allah sendiri mengkhabarkan perkara tersebut dalam al-Quran.
Begitu juga Islam mengakui kewujudan karamah para wali Allah.
Antara kisah yang dinukilkan oleh para ulama ialah kisah Washlah bin Usyaim. Dalam kisah tersebut, kudanya mati ketika berada di medan perang. Beliau berdoa kepada Allah, lalu Allah menghidupkan kembali kudanya sehingga beliau dapat pulang ke rumah. Selepas sampai, kuda tersebut kemudiannya mati kembali. Kisah ini dinukilkan dalam perbahasan tentang karamah wali-wali Allah.
Maka, apabila seseorang menceritakan sesuatu yang luar biasa, kita tidak boleh terus berkata:
“Mustahil! Islam tidak percaya benda macam tu.”
Tidak.
Islam memang mengakui bahawa Allah boleh melakukan perkara yang luar biasa.
Tetapi di sinilah datangnya persoalan yang lebih penting:
Mengakui kemungkinan sesuatu perkara luar biasa berlaku tidak bermaksud kita wajib mempercayai setiap cerita luar biasa yang sampai kepada kita.
Kita masih perlu menilai. Bukan semua perkara luar biasa itu karamah. Ini juga perkara yang penting.
Katakan seseorang benar-benar melakukan sesuatu yang luar biasa. Adakah itu automatik bermaksud dia seorang wali?
Tidak semestinya.
Sebab itu dalam perbahasan tentang karamah, kita tidak boleh sekadar melihat kepada keajaiban yang berlaku. Islam membezakan antara wali Allah dan wali syaitan. Wali Allah ialah orang yang beriman dan bertakwa. Al-Quran sendiri menyebut:
الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ
“Iaitu orang-orang yang beriman dan mereka sentiasa bertakwa.”
Jadi, keajaiban semata-mata bukan bukti seseorang itu wali. Seseorang mungkin melakukan perkara luar biasa, tetapi perkara tersebut boleh mempunyai penjelasan lain.
Contohnya, ia mungkin:
- karamah yang Allah berikan kepada hamba-Nya,
- sihir,
- bantuan jin,
- tipu helah manusia,
- atau sekadar cerita yang telah berubah selepas lama diceritakan.
Sebab itu kita tidak boleh menganggap semua perkara ajaib sebagai karamah.
Kalau seseorang menggunakan jin atau melakukan perkara yang diharamkan untuk menghasilkan sesuatu yang pelik, hakikat bahawa perkara pelik itu benar-benar berlaku tidak menjadikannya karamah.
Begitu juga dengan sihir. Sihir memang diakui kewujudannya dalam nas, tetapi ia bukan bermaksud semua perkara luar biasa yang dikaitkan dengan seseorang itu mesti dianggap sebagai sihir. Sihir pula adalah perkara yang haram, dan sebahagian bentuknya boleh membawa kepada kekufuran.
Jadi kita perlu membezakan antara hakikat sesuatu fenomena dengan hukum dan sumber fenomena tersebut.
Karamah bukan “superpower bangsa”
Saya juga ingin mengingatkan pembaca tentang suatu perkara.
Katakanlah — sekadar andaian — memang pernah ada seorang individu daripada bangsa Melayu yang Allah berikan karamah.
Apa kaitannya dengan bangsa Melayu secara keseluruhan?
Tidak ada.
Karamah, kalau benar ia karamah, ialah kemuliaan yang Allah berikan kepada seorang hamba-Nya. Ia bukan satu bentuk “national superpower” yang diwariskan kepada seluruh bangsa.
Kalau seorang wali Allah daripada bangsa Melayu mendapat karamah, kita boleh bersyukur dan menghormatinya.
Tetapi tidaklah kemudian beberapa generasi selepas itu kita pergi kepada orang lain sambil berkata:
“Hang jangan hina Melayu. Tok nenek kami boleh terbangkan parang!”
Di sinilah kita kena berhati-hati.
Sesuatu yang asalnya mungkin merupakan kisah benar tentang seorang individu, boleh berubah menjadi cerita tentang satu kelompok, kemudian berubah lagi menjadi sebahagian daripada mitologi identiti sesuatu bangsa.
Akhirnya, kita bukan lagi bercakap tentang karamah.
Kita sedang menggunakan karamah sebagai bahan untuk berbangga dengan bangsa.
Padahal karamah bukan diberikan kepada seseorang kerana dia Melayu, Arab, Cina atau apa-apa bangsa sekalipun.
Karamah bukan kelebihan etnik.
Kalau kita lihat dari sudut fizik pula?
Sekarang kita cuba lihat dari sudut yang berbeza.
Bayangkan seseorang mendakwa bahawa sebilah parang boleh terbang sendiri, bergerak tanpa dipegang, kemudian menuju tepat kepada sasaran.
Kita tahu bahawa objek fizikal yang bergerak di udara biasanya memerlukan sesuatu mekanisme yang menerangkan pergerakannya.
Pesawat, misalnya, mempunyai struktur dan sistem tertentu yang menghasilkan daya angkat, daya tujahan dan kawalan penerbangan.
Drone pula mempunyai motor, kipas, sumber tenaga dan sistem kawalan.
Tetapi kalau seseorang menunjukkan sebilah parang biasa yang dikatakan boleh terbang sendiri, berpusing di udara dan mencari sasaran tanpa sebarang mekanisme yang kita nampak, maka kita boleh bertanya:
Bagaimana ia bergerak?
Dari mana datang tenaga untuk pergerakannya?
Bagaimana ia dikawal?
Bagaimana ia menentukan sasaran?
Ini bukan bermaksud kita terus berkata:
“Sains sudah membuktikan benda ini mustahil.”
Tidak.
Itu pun satu bentuk pemikiran yang terlalu simplistik.
Sebaliknya kita cuma mengatakan:
“Dakwaan luar biasa memerlukan penjelasan dan bukti yang sesuai dengan dakwaan tersebut.”
Kalau kita belum tahu bagaimana sesuatu berlaku, jawapannya ialah:
“Aku belum tahu.”
Kita tidak terus menyimpulkan: “Ni mesti elemen ghaib...” Begitu juga kita tidak gopoh mengatakan : “Ni mesti mustahil...”
Tidak tahu bukan bermaksud menolak. Tetapi tidak tahu juga bukan bermaksud kita terus menerima cerita tersebut sebagai fakta.
Apa kata kita cuba gunakan prinsip riwayah dan dirayah pula
Selain berusaha mencari kebenaran berdasarkan penjelasan syarak dan ilmu sains, kita boleh mengambil satu lagi pengajaran daripada disiplin yang telah dibangunkan oleh para ulama Islam sejak dahulu — iaitu ilmu riwayah dan dirayah dalam bidang hadis.
Ilmu hadis riwayah mempunyai kaitan dengan cara sesuatu riwayat diterima, dipindahkan, dipelihara dan dicatat. Manakala ilmu dirayah pula membincangkan kaedah untuk menilai keadaan sanad, perawi dan matan serta menentukan sesuatu riwayat itu boleh diterima atau ditolak.
Saya tidak bermaksud yang orang awam perlu menjadi muhaddith dan mula memeriksa setiap cerita seperti ulama memeriksa hadis Nabi. Itu sudah masuk ke dalam disiplin yang jauh lebih kompleks.
Ilmu hadis memang terlalu kompleks untuk dijadikan prosedur harian orang awam. Tetapi prinsip yang melahirkan disiplin ilmu tersebut tidaklah terlalu kompleks untuk diamalkan.
Contohnya - orang awam boleh belajar:
“Siapa yang berkata? Dari mana dia tahu? Siapa sumbernya? Apa bukti yang menyokongnya? Dan sejauh mana kita patut mempercayainya?”
Kita boleh mengambil prinsip asasnya untuk menapis cerita yang kita dengar setiap hari.
Contohnya, apabila seseorang memberitahu:
“Tok guru aku dulu pernah tengok parang terbang.”
Jangan terus percaya. Jangan juga terus gelakkan.
Tapi, cuba tanya beberapa soalan mudah.
1. Siapa yang cerita?
Bukan semestinya kita perlu mencari nama orang pertama yang mengucapkan cerita itu.
Cukuplah kita tahu:
- Siapa sumber cerita yang sampai kepada kita?
- Adakah dia melihat sendiri?
- Atau dia mendengar daripada orang lain?
- Atau dia membaca daripada sebuah buku?
- Atau dia hanya mengulang apa yang selalu dia dengar?
Ini penting kerana apabila sesuatu cerita sudah berulang dari mulut ke mulut, kita kadang-kadang terlupa bahawa cerita tersebut sebenarnya mempunyai sumber asal yang sangat jauh daripada kita.
2. Dia dapat cerita daripada siapa?
Kalau seseorang berkata:
“Aku dengar orang tua-tua dulu memang ada ilmu parang terbang.”
Kita boleh tanya:
“Orang tua-tua tu siapa?”
Kemudian:
“Dia tengok sendiri ke?”
Kalau jawabannya:
“Dia dengar daripada datuk dia.”
Kita boleh terus bertanya:
“Datuk dia pula tengok sendiri ke?”
Apabila ditelusuri, mungkin akhirnya kita mendapati bahawa cerita itu berpindah dari satu orang kepada orang yang lain: A mendengarnya daripada B, B daripada C, C pula daripada datuknya, sedangkan datuk C mungkin mendapat cerita tersebut daripada orang lain lagi. Semakin jauh kita menelusuri rangkaian ini, semakin sukar untuk kita mengetahui di manakah asal sebenar cerita tersebut.
Semakin panjang perjalanan sesuatu cerita, semakin banyak tempat di mana cerita itu berpotensi berubah, ditambah atau disalahfahami.
Ini bukan bermaksud cerita itu automatik palsu.
Tetapi ia bermaksud tahap keyakinan kita perlu disesuaikan dengan bagaimana cerita tersebut sampai kepada kita.
3. Apa sebenarnya yang dikatakan?
Ini pula sangat penting. Kadang-kadang cerita yang sampai kepada kita sudah jauh berbeza daripada cerita asal.
Contohnya:
“Ada orang kata parang itu bergerak sendiri.”
Kemudian selepas beberapa kali diceritakan:
“Tok Guru X mempunyai ilmu parang terbang.”
Kemudian:
“Pendekar Melayu memang mempunyai ilmu parang terbang.”
Dan akhirnya:
“Orang Melayu dulu menggunakan parang terbang ketika 13 Mei.”
Nampak tak apa yang berlaku?
Cerita asal mungkin cuma mengatakan ada satu kejadian pelik.
Namun, apabila sesuatu cerita diwariskan dari satu generasi kepada generasi yang lain, ia boleh mengalami perubahan sedikit demi sedikit. Apa yang pada asalnya hanya diceritakan sebagai suatu kejadian, lama-kelamaan dianggap sebagai suatu “ilmu”, kemudian dikaitkan dengan kemampuan seseorang, berkembang pula menjadi kemampuan sesuatu kelompok, dan akhirnya diterima oleh generasi kemudian sebagai suatu fakta sejarah.
Jadi kita perlu berhati-hati supaya tidak menerima versi terakhir seolah-olah itulah yang dikatakan oleh sumber asal.
4. Ada sumber lain yang menyokong?
Kalau seseorang berkata:
“Ini fakta sejarah.”
Kita boleh tanya:
“Ada sumber lain yang menyokong cerita ini?”
Bukan sebab kita mahu mencari-cari kesalahan orang.
Tetapi kerana satu cerita yang diulang berkali-kali tidak semestinya menjadi banyak bukti.
Contohnya, kalau sepuluh orang menceritakan perkara yang sama tetapi kesemuanya mendapatkan cerita itu daripada seorang sumber asal, kita sebenarnya belum mempunyai sepuluh bukti.
Kita mungkin cuma mempunyai: satu cerita yang diulang sepuluh kali.
Sebab itu, kalau ada sumber lain yang tidak bergantung kepada cerita tersebut dan turut memberikan maklumat yang sama, keyakinan kita boleh meningkat.
Kalau tiada, kita mungkin perlu meletakkan cerita tersebut pada tahap yang lebih berhati-hati.
5. Sejauh mana kita patut yakin?
Ini mungkin perkara yang paling penting. Kita selalu mempunyai kecenderungan untuk berfikir secara hitam putih:
“Betul atau palsu?”
Jadi apabila kita mendengar kisah seperti parang terbang, kita tidak semestinya perlu terus membuat keputusan, “Aku percaya 100%,” atau sebaliknya, “Benda ini mustahil 100%.”
Sebaliknya, kita perlu faham bahawa sesuatu cerita boleh mempunyai beberapa tahap keyakinan, bergantung kepada sejauh mana bukti yang ada menyokongnya. Contohnya:
- Terbukti
- Sangat kuat
- Munasabah
- Belum pasti
- Lemah
- Tidak berasas
Sebab itulah dalam ilmu hadis, kita dapati para ulama tidak meletakkan semua riwayat pada satu tahap yang sama. Ada hadis yang dinilai sahih, ada yang hasan, ada yang dhaif, dan terdapat juga riwayat yang lebih bermasalah sehingga tidak boleh dijadikan sandaran. Penilaian tersebut dibuat berdasarkan penelitian terhadap sanad, perawi, matan dan faktor-faktor lain yang berkaitan.
Orang awam mungkin tidak mampu melakukan penelitian sedetail itu. Tetapi prinsip asasnya boleh diamalkan dalam kehidupan seharian: jangan menyamakan semua cerita hanya kerana semuanya telah diceritakan kepada kita. Ada perkara yang kukuh buktinya, ada yang mempunyai asas tetapi belum pasti, dan ada pula yang sebenarnya tidak mempunyai asas yang mencukupi.
Orang awam tak perlu menjadi muhaddith
Di sinilah sebenarnya kita boleh nampak keindahan disiplin ilmu hadis.
Para ulama tidak menerima sesuatu yang dinisbahkan kepada Nabi ﷺ hanya kerana seseorang datang dan berkata: “Aku dengar orang kata Nabi pernah bersabda begini.”
Mereka membangunkan disiplin yang sangat teliti untuk menilai periwayatan tersebut. Sudah tentu orang awam tidak mampu melakukan semua pemeriksaan tersebut.
Kita bukan hendak memeriksa jarh wa ta'dil, kesinambungan sanad, 'illah, syaz dan segala istilah teknikal ilmu hadis setiap kali seseorang bercerita kepada kita.
Tetapi kita boleh mengambil semangat asasnya:
- Siapa yang berkata?
- Dari mana dia mendapat maklumat itu?
- Apa sebenarnya yang dikatakan?
- Ada bukti atau sumber lain?
- Dan sejauh mana kita patut yakin?
Itu sahaja pun sudah jauh lebih baik daripada menerima semua cerita tanpa berfikir.
Kesimpulan
Kita tidak perlu menafikan sesuatu yang mungkin berlaku di alam ghaib.
Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak perlu mempercayai sesuatu hanya kerana ia diwariskan sebagai cerita orang dahulu.
Islam mengajar kita untuk beriman kepada perkara ghaib, tetapi Islam juga tidak mengajar kita supaya menjadi manusia yang mudah percaya kepada setiap dakwaan ghaib.
Kalau ia benar-benar karamah, kita tunduk kepada kekuasaan Allah dan tidak menjadikannya bahan kesombongan bangsa.
Kalau ia sihir atau melibatkan bantuan jin, kita menilai hakikat dan hukumnya berdasarkan wahyu.
Kalau ia tipu helah manusia, kita cuba bongkar tipu helah tersebut.
Dan kalau ia sekadar cerita yang diwariskan dari satu generasi kepada satu generasi yang lain, maka kita letakkan ia sebagai cerita yang belum dapat dipastikan, sehingga ada bukti yang mengangkatnya kepada tahap yang lebih kuat.
Kita tidak perlu menjadi bangsa yang membina kebanggaan atas cerita bahawa nenek moyang kita mempunyai parang terbang.
Yang kita perlukan ialah bangsa yang mempunyai kemampuan untuk meneliti setiap dakwaan dengan neraca yang seimbang dan berlandaskan syarak.
Kita perlukan umat yang mempunyai ilmu, tauhid, akhlak dan keberanian yang sebenar. Bukan keberanian yang dibina atas mitos.
Tetapi keberanian untuk mencari kebenaran — walaupun kebenaran itu tidak semestinya sehebat cerita yang kita warisi daripada orang dahulu.
Oleh : Mukhtaruddin Sahid

Comments
Post a Comment