Al-Jassasah

OLEH: Saufy Jauhary

Al-Jassasah/الجساسة

Al-Jassasah adalah antara binatang misteri yang diciptakan Allah SWT. al-Jassasah bermaksud "pengintip". Binatang ini berbulu lebat lagi kasar. Kelebatan bulunya hingga tidak diketahui yang mana depan dan yang mana belakang.

Di dalam hadis, bagi merujuk kepada binatang ini perawi menggunakan kalimah Dabbah/دابة. Dabbah di dalam kamus Syeikh Idris al-Marbawi merujuk kepada sejenis binatang yang merangkak di bumi (haiwan melata). Ajaibnya al-Jassasah ini mampu berbicara dengan manusia!

Binatang inilah yang berjumpa dengan sahabat Nabi iaitu Tamim ad-Dari ketika beliau dan 30 orang anak kapal terdampar di sebuah pulau yang di dalam pulau itu terdapat Dajjal yang sedang dibelenggu kuat. al-Jassasah ini yang berkata kepada mereka:

أيها القوم! انطلقوا الى هذا الرجل في الدير. فإنه إلى خيركم بالأشواق.
"Wahai kaum! pergilah menemui lelaki di dalam ad-Dayyr (Biara/tempat pertapaan). Dia ingin sekali mendengar berita dari kalian."

Hadis penuh tentang al-Jassasah adalah seperti berikut:-

Fatimah binti Qais radhiallahu anha menceritakan:-

“Aku pernah solat bersama Rasulullah -Sallallahu alaihi wa sallam-. Aku berada   di saf wanita yang berada dekat dengan punggung kaum lelaki. Tatkala Rasulullah -Sallallahu alaihi wa sallam- telah menyelesaikan solatnya, maka baginda duduk di atas mimbar sambil tertawa. Kemudian baginda bersabda, “Hendaknya setiap orang melazimi tempatnya”, lalu bersabda lagi, “Tahukah kalian kenapa aku kumpulkan kalian?”

“Hanya Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu”, kata mereka.

Baginda bersabda, “Demi Allah, sesungguhnya aku tidaklah mengumpulkan kalian kerana keinginan (dalam membahagi ghonimah) dan tidak pula kerana takut (terhadap musuh). Akan tetapi aku kumpulkan kalian, kerana Tamim Ad-Dari dahulu seorang yang beragama Nasrani. Kemudian dia datang berbai’ah dan masuk Islam. Dia telah menceritakan kepadaku sebuah kisah yang sesuai dengan kisah yang pernah aku ceritakan kepada kalian tentang Al-Masih Ad-Dajjal. Dia telah menceritakan kepadaku bahawa dia telah berlayar dalam sebuah perahu besar bersama 30 orang lelaki dari Suku Lakhm dan Judzam. Mereka dipermainkan oleh ombak selama sebulan di lautan. Kemudian mereka berlabuh pada sebuah pulau di tengah lautan ketika terbenamnya matahari. Mereka pun duduk di perahu kecil, lalu memasuki pulau itu.

Mereka dijumpai oleh binatang yang lebat bulunya; mereka tak tahu mana depan dan belakangnya kerana banyak bulunya. Mereka berkata (kepada binatang itu), “Celaka engkau, siapakah engkau?” Binatang itu menjawab, “Aku adalah Jassasah (pengintip)”. Mereka berkata, “Apa itu Jassasah?” Binatang itu berkata, “Wahai kaum, pergilah menemui lelaki ini di dalam Biara itu. Dia ingin sekali mendengar berita dari kalian”.

Dia (Tamim) berkata, “Tatkala ia (si binatang) menyebutkan seorang lelaki kepada kami, maka kami khuatir jangan sampai binatang itu adalah syaitan betina”. Tamim berkata, “Kami pun pergi dengan  cepat sampai kami memasuki biara tersebut. Tiba-tiba di dalamnya terdapat orang yang paling besar  kami pernah lihat dan paling kuat ikatannya dalam keadaan kedua tangannya terbelenggu ke lehernya antara kedua lututnya sampai kedua mata kakinya dengan besi”. Kami katakan, “Celaka engkau, siapakah engkau?” Dia menjawab, “Sungguh kalian telah tahu beritaku. Khabarkanlah kepadaku siapakah kalian?” Mereka menjawab, “Kami adalah orang-orang Arab. Kami telah berlayar dalam sebuah perahu besar. Kami pun mengharungi lautan saat berombak besar. Akhirnya, ombak mempermainkan kami selama sebulan. Kemudian kami berlabuh di pulau engkau ini. Kami pun duduk-duduk di perahu kecil, lalu masuk pulau. Tiba-tiba kami dijumpai oleh binatang yang lebat bulunya; mereka tak tahu mana depan dan belakangnya kerana banyak bulunya. kami berkata (kepada binatang itu), “Celaka engkau, siapakah engkau?” Binatang itu menjawab, “Aku adalah Jassasah”. Kami bilang, “Apa itu Jassasah?” Binatang itu berkata, “Wahai kaum! Pergilah menemui lelaki di dalam biara. Dia ingin sekali mendengar berita dari kalian”. Lalu kami menghadap kepadamu dengan cepat, kami takut kepadanya dan tak merasa aman jika ia adalah syaitan betina”. Dia (Dajjal) berkata, “Khabarkanlah aku tentang pohon-pohon kurma Baisan (nama sebuah tempat di Jordan)!”. Kami bertanya, “Engkau tanya tentang apanya?”. Dia berkata, “Aku tanyakan kepada kalian tentang pohon-pohon kurmanya, apakah masih berbuah?”. Kami jawab, “Ya”. Dia berkata, “Ingatlah bahawa hampir-hampir ia tak akan berbuah lagi”. Dia berkata, “Khabarkanlah kepada aku tentang Danau Thobariyyah!!”. Kami katakan, “Apanya yang engkau tanyakan?” Dia berkata, “Apakah di dalamnya masih ada air?” kami menjawab, “Danau itu masih banyak airnya”. Dia berkata, “Ingatlah, sesungguhnya airnya hampir-hampir akan habis”. Dia bertanya lagi, “Khabarkanlah kepada aku tentang mata air Zughor!” kami bertanya, “Apanya yang engkau tanyakan?” Dia berkata, “Apakah di dalam mata air itu masih ada air? Apakah penduduknya masih menanam dengan memakai air dari mata air.

Apakah penduduknya masih menanam dengan memakai air dari mata air itu?” Kami jawab, “Ya, mata air itu masih banyak airnya dan penduduknya masih bercucuk tanam dari airnya”. Dia berkata lagi, “Khabarkanlah aku tentang Nabinya orang-orang Ummi (ummi : buta huruf, yakni orang-orang Quraisy), apa yang dia lakukan? Kami berkata, “Dia telah keluar dari Kota Makkah dan bertempat tinggal di Yathrib (Madinah)”. Dia bertanya, “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Kami katakan, “Ya”. Dia bertanya, “Apa yang dia lakukan pada mereka?” Lalu kami khabarkan bahawa sungguh dia (Nabi itu, yakni Nabi Muhammad -Sallallahu alaihi wa sallam-) telah berkuasa atas orang-orang yang ada di sekitarnya dari kalangan Arab dan mereka mentaatinya”. Dia berkata kepada mereka, “Apakah hal itu sudah terjadi?” Kami menjawab, “Ya”.

Dia berkata, “Ingatlah bahawa hal itu lebih baik bagi mereka untuk mentaatinya. Sekarang aku khabarkan kepada kalian bahawa aku adalah Al-Masih (yakni, Al-Masih Ad-Dajjal). Sungguh aku hampir diberi izin untuk keluar. Aku akan keluar, lalu berjalan di bumi. Aku tak akan membiarkan suatu negeri, kecuali aku injak dalam waktu 40 malam, selain Makkah dan Thoibah (nama lain bagi kota Madinah). Kedua kota ini diharamkan bagiku.

Setiap kali aku hendak memasuki salah satunya di antaranya, maka aku dihadang oleh seorang malaikat, di tangannya terdapat pedang terhunus yang akan menghalangiku darinya. Sesungguhnya pada setiap jalan-jalan masuk padanya ada malaikat-malaikat yang menjaganya”

Dia (Fatimah bint Qais) berkata, “Rasulullah -Sallallahu alaihi wa sallam- bersabda seraya menusuk-nusukkan tongkatnya pada mimbar, “Inilah Thoibah, Inilah Thoibah, Inilah Thoibah, yakni kota Madinah. Ingatlah, apakah aku telah menceritakan hal itu kepada kalian?”

Orang-orang pun berkata, “Ya”.

[HR. Muslim dalam Kitab Asyroot As-Saa’ah, bab : Qishshoh Al-Jassasah (no. 2942), Abu Dawud dalam Kitab Al-Malaahim (4326), At-Tirmidziy dalam Kitab Al-Fitan (2253) dan Ibnu Majah Kitab Al-Fitan (4074)]



Banyak persoalan timbul dari hadis ini seperti:

Apakah al-Jassasah itu memang binatang ataupun Jin?

Apa hubungan al-Jassasah itu dengan Dajjal?

Bagaimana Dajjal boleh dibelenggu di Pulau itu?Apa sejarahnya?

Dan banyak persoalan lagi tetapi tidak ada maklumat dari al-Quran dan sunnah tentang hal tersebut. Wallahu a'lam





* Gambar sekadar hiasan

___________________________
~
Saufy Jauhary
~
Lajnah Makalah Agama
_____________________________

Comments