Imam Terlebih Rakaat Semasa Solat Tarawih, Apa Perlu Makmum Buat ?

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


1- Dalam tempoh 30 hari solat tarawih sepanjang Ramadan ini, pasti ada berlaku situasi sebegini di beberapa tempat. Pada rakaat kedua, imam tidak duduk tahiyat akhir, sebaliknya terus naik menambah satu rakaat.

2- Sekiranya imam melakukannya dalam keadaan sedar dan sengaja, maka solatnya batal kerana menambah rakaat solat. Namun, biasanya hal ini berlaku secara tidak sengaja.

3- Dalam situasi menambah rakaat disebabkan terlupa, ini menuntut (disunatkan) kepada imam untuk melakukan sujud sahwi. Antara sebab sujud sahwi ialah :

فِعْلُ مَا يُبْطِلُ عَمدُهُ وَلَا يُبْطِلُ سَهْوهُ إذَا فَعَلَهُ نَاسِيًا

Maksudnya : Melakukan sesuatu yang jika sengaja membatalkan solat, dan sekiranya dilakukan kerana alpa, ia tidak membatalkan solat, apabila seseorang melakukannya dalam keadaan terlupa.

4- Makmum pula, sekiranya melihat imam bangun menambah satu rakaat, dia dituntut (disunatkan) untuk menegur imam dengan sebutan ‘Subhanallah’.

5- Jika imam belum sempurna berdiri tegak, hendaklah imam terus duduk.

6- Sekiranya imam telah berdiri tegak, makmum yang dalam keadaan sedar akan bilangan rakaat tidak boleh mengikut imam. Ini kerana, dia akan dianggap sengaja menambah rakaat dalam keadaan sedar, dan ini membatalkan solat.

7- Kata Al-Syaikh Nawawi Banten :

أما لو قام إمامه لخامسة ساهيا فإنه يمتنع على المأموم متابعته 

Maksudnya : Adapun jika seorang imam itu berdiri pada rakaat yang kelima (semasa solat 4 rakaat) dalam keadaan terlupa, maka makmum dilarang untuk mengikutinya.

8- Jadi, makmum ada dua pilihan, jika imam telah berdiri tegak : 

a) Dia mufaraqah dengan imam, lalu dia memberi salam secara bersendirian. 

b) Dia menunggu imam menyelesaikan rakaatnya (kerana imam dalam keadaan terlupa yang dia telah menambah rakaat), lalu dia memberi salam bersama imam.

9- Bagi makmum yang menunggu imam, jika imam melakukan sujud sahwi maka mereka turut dituntut untuk sujud sahwi bersama dengan imam.

10- Sekiranya dalam situasi sebegini imam tidak melakukan sujud sahwi, maka solat mereka itu tetap dikira sebagai sah. 

11- Bacaan yang dianjur semasa sujud sahwi ialah :

سُبْحَانَ مَنْ  لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو

Maksudnya : Maha suci Tuhan yang tidak tidur dan tidak alpa.

والله الموفق

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments