Teladan Dr. Zulkifli dalam Menjauhi Jalan Tohmah

OLEH : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Saya pernah mendengar Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri حفظه الله ورعاه bercerita sebaik beliau pulang dari mesyuarat panel penasihat syariah sebuah institusi. Kata beliau :

“Ana tadi dahaga betul. Tapi mereka hanya sediakan air mineral dalam botol. Tak ada cawan. Ana tak minum sebab nanti apa pula orang kata Mufti minum terus dari botol air”.
Sebenarnya perbuatan beliau tersebut disebabkan terdapatnya sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abū Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata :
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الشُّرْبِ مِنْ فَمِ الْقِرْبَةِ
Terjemahan : Rasulullah SAW melarang perbuatan minum dari mulut kantung air.
Riwayat Al-Bukhāri (5627)
Para ulama menghukum perbuatan ini sebagai makrūh tanzīh. Sebahagian mereka menyatakan , ‘illah larangan adalah kerana dikhuatiri dalam kantung air tersebut terdapatnya haiwan berbisa seperti ular, yang jika kita minum terus darinya tanpa menuang air ke dalam cawan terlebih dahulu, ia akan mendatangkan bahaya dan mudarat kepada peminumnya.
Meskipun saya yakin sebagai seorang Mufti, pasti beliau lebih tahu akan kaedah :
الأحكامُ تدُورُ مع العلة وجودًا وعدما
“Hukum-hakam itu berlegar bersama dengan ‘illah dari sudut ada dan juga tiada”.
Yang bermaksud, jika ada ‘illah ada hukum, jika tiada ‘illah maka tiada hukum.
Namun, beliau yang saya kenali adalah diketahui sebagai seorang yang amat warak. Oleh kerana ada larangan, boleh jadi ada orang yang faham berbeza dengan kefahaman kita. Justeru untuk mengelakkan sebarang prasangka, lebih baik ia ditinggalkan.
Beliaulah juga orangnya yang banyak kali menyebut kepada kami suatu kaedah kehidupan :
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتهم
“Sesiapa yang melalui jalan-jalan tohmah, dia pasti akan ditohmah”.
Semoga Allah SWT sentiasa menjaga dan memelihara guru kami yang mulia Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Allahumma Amen.






Comments