Macam Mana Nak Betul-Betul Kenal Seseorang?

OLEH: Zulfikar Egar

Kata ulama: "Kita tidak akan benar-benar mengenali seseorang itu melainkan setelah bermusafir dengannya".

Kerana safar itu terdapatnya kepenatan, kepayahan dan lain-lain.

Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A di mana baginda S.A.W bersabda :

"Permusafiran itu adalah sekelumit daripada azab. Ianya menghalang kamu daripada tidur dan makan. Apabila telah selesai menunaikan hajat daripada permusafiran tersebut, maka segeralah kembali kepada ahli keluarganya.” 
[HR. Bukhari & Muslim]

Di sini Nabi S.A.W menyatakan bahawa permusafiran adalah salah satu azab. Lihat sahaja diri kita ketika bermusafir ke tempat yang jauh.

Sudah semestinya berasa payah dan letih. Itu belum lagi kurang makan dan minum yang pasti akan menjengah.

Dari segi maknawi hadis itu juga. Pastinya kita juga akan berjauhan daripada ahli keluarga, hingga menerbitkan rasa rindu kepada orang yang tersayang, disebabkan jarak yang jauh memisahkan kita yang bermusafir ini dengan keluarga.

Kata ulama juga berdasarkan nukilan Dr. Kamilin Jamilin:

"Mengembara dinamakan sebagai safar, disebabkan permusafiran membongkar serta menonjolkan karakter, sikap dan akhlak seseorang, kerana ketika itu bermacam cabaran dan kesukaran yang dilalui bersama".

Justeru itu dengan safar inilah, kita boleh tahu "true colors" sahabat-sahabat kita. Kerana sahabat sebenar akan kita ketahui ketika kita melalui kesusahan.

Setakat selalu sembang di kedai kopi tidak boleh dikira akrab atau tidak hubungan persahabatan itu.

Kerana sembang kencang seseorang itu, Gunung Kinabalu pun boleh bergoncang. Ahaks.😁

Wallahualam.



___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments