Benarkah Rasulullah Memberikan Barang Kemas kepada Fatimah yang Diambil Daripada Perigi

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Isteri saya bertanya tentang cerita di bawah:

“Sayyidah Fatimah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahwa dia ingin seperti wanita wanita lain yang berhias dengan barang kemas. Lalu Rasulullah SAW membawa Sayyidah Fāṭimah ke satu perigi dan menimba ke dalam perigi tersebut. Setelah diangkat naik timba tersebut maka kelihatanlah barang-barang perhiasan emas di dalam timba tersebut. Sabda Rasulullah SAW, ‘ambillah Fāṭimah!’ Oleh kerana teringin berhias seperti wanita yang lainnya, Sayyidah Fatimah pun mengambil. Tapi cuma satu saja. Diambilnya pun dalam keadaan malu-malu. Rasulullah SAW kemudian bertanya kepada Fāṭimah, ‘cukupkah Fatimah?’ ‘Cukup, ya Rasulullah,’ ujar Fāṭimah. Kemudian Rasulullah berkata pada Fatimah, ‘ketahuilah olehmu wahai anakku, Fāṭimah, walaupun kamu mengambil hanya satu emas itu, ia sudah mengurangkan kebahagiaan dan kelazatan kamu nanti di akhirat.’ Sayyidah Fāṭimah terkejut. Tanpa berfikir terus segera memulangkan emas itu kembali kepada Rasullulah. Beliau tidak sanggup menukarkan akhiratnya dengan dunia yang sedikit.”

Gambar Hiasan Semata-Mata


Jawab saya:

“Cerita ini karut.”

Hujahnya seperti berikut:

1. Tidak dijumpai sanad bagi cerita ini.
2. Terdapat keganjilan pada jalan cerita dan lafaznya, seolah-olah ia drama TV3.
3. Dalam hadis yang diketahui sanadnya dan disahihkan oleh al-Ḥākim dan al-Mundhirī, Rasulullah SAW pernah melihat Fāṭimah RA memakai gelang emas. Baginda berkata kepadanya, “Fāṭimah, tidak kisahkah Fāṭimah kalau orang mengatakan anak Rasulullah SAW ada gelang api/neraka di tangannya?” Fāṭimah menjual gelang tersebut, lalu sabda baginda, “alhamdulillah yang telah menyelamatkan Fāṭimah daripada api/neraka itu.”

Wallahualam.
___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments