Al-Quran Merupakan Hujah

 OLEH: Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


Membaca kata-kata Rasulullah - صلى الله عليه وسلم - di bawah, seharusnya menyebabkan kita berfikir panjang, serta melakukan perubahan dalam hidup. Iaitu :


وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ 

Maksudnya : Dan Al-Quran merupakan hujah buat kamu atau ia akan menjadi hujah ke atas kamu.

Riwayat Muslim (223)

Huraian mudah : Kalau kita membaca Al-Quran, mentadabburinya, beramal dengan intipati kandungan yang terdapat di dalamnya, mengajarkannya kepada orang lain, maka Al-Quran akan menjadi pembela kepada kita di akhirat kelak. Ini maksud bagi kenyataan “ia akan menjadi hujah buat kamu”.

Namun apabila kita meninggalkan pembacaan Al-Quran, melakukan apa yang dilarang di dalam Al-Quran, meninggalkan apa yang disuruh di dalam Al-Quran, maka pada ketika ini Al-Quran akan menjadi hujah ke atas kita.

Cubalah kita teliti dua firman Allah S.W.T yang membenarkan kenyataan di atas, iaitu :

قَالَ رَبِّ لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا

قَالَ كَذَٰلِكَ أَتَتْكَ آيَاتُنَا فَنَسِيتَهَا ۖ وَكَذَٰلِكَ الْيَوْمَ تُنسَىٰ

Maksudnya : Dia (orang yang berpaling dari zikrullah semasa hayat dunia) berkata : Wahai Tuhanku, mengapa Kau bangkitkan aku (di akhirat) dalam keadaan buta sedangkan aku dahulunya di dunia dapat melihat ? Allah menjawab : Demikian itu kerana telah datang kepada kamu ayat-ayat Kami lalu kamu mengabaikannya, demikian pada hari ini kamu diabaikan.

Surah Ta Ha (125-126)

Al-Qurtubi menjelaskan : Zikrullah yang dimaksudkan di situ adalah tilawah Al-Quran !

Rujuk : Tafsīr Al-Qurtubi (11/258)

نسأل الله العفو والعافية


[Gerakan PENA Malaysia]

Comments