Keagungan Nikmat Melihat Rabb di Syurga
Setiap Muslim yang benar-benar mengenal Allah, mengharapkan rahmat-Nya dan merindui pertemuan dengan-Nya tentu akan tertarik dengan khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم tentang kenikmatan melihat Allah di akhirat kelak. Ia bukan sekadar satu berita tentang perkara ghaib, bahkan merupakan janji tentang kenikmatan yang tiada tandingannya bagi orang-orang beriman.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٌ إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ
“Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Mereka melihat kepada Rabb mereka.”
(Surah al-Qiyamah, 75:22–23)
Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga berfirman:
لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَىٰ وَزِيَادَةٌ
“Bagi orang-orang yang berbuat ihsan, ada pahala yang terbaik dan tambahan.”
(Surah Yunus, 10:26)
Dalam hadis, Rasulullah صلى الله عليه وسلم menafsirkan al-ziyadah (tambahan) tersebut sebagai kenikmatan melihat wajah Allah. Ini menunjukkan betapa agungnya ganjaran tersebut sehingga segala kenikmatan yang telah diperoleh oleh penghuni syurga tidak menandingi kegembiraan mereka ketika dapat melihat Rabb mereka.
Dalil-dalil tentang melihat Allah di akhirat
Dalam perkara akidah, khususnya perkara ghaib yang tidak dapat dicapai melalui pengalaman manusia di dunia, sumber utama pengetahuan kita ialah wahyu. Oleh itu, apabila Rasulullah صلى الله عليه وسلم menyampaikan berita bahawa orang-orang beriman akan melihat Allah di akhirat, berita tersebut hendaklah diterima sebagai sebahagian daripada keimanan kepada perkara ghaib.
Antara hadis yang paling jelas dalam persoalan ini ialah sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:
إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لَا تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ، فَإِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَنْ لَا تُغْلَبُوا عَلَى صَلَاةٍ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَصَلَاةٍ قَبْلَ غُرُوبِهَا فَافْعَلُوا
“Sesungguhnya kalian akan melihat Rabb kalian sebagaimana kalian melihat bulan ini. Kalian tidak akan bersesak-sesak dalam melihatnya. Oleh itu, jika kalian mampu untuk tidak terlepas daripada solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenamnya, maka lakukanlah.”
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Jarir bin ‘Abdillah رضي الله عنه.
Perhatikan bagaimana Rasulullah صلى الله عليه وسلم menggunakan perumpamaan melihat bulan untuk menerangkan peristiwa melihat Allah pada hari kiamat. Perumpamaan tersebut menjelaskan bahawa penglihatan itu berlaku dengan jelas dan tidak menimbulkan kesukaran atau kesesakan dalam kalangan orang yang melihatnya. Ia bukan bermaksud Allah menyerupai bulan atau mempunyai sifat yang sama dengan makhluk yang dilihat.
Dalam riwayat Muslim, Rasulullah صلى الله عليه وسلم turut bersabda:
أَمَا إِنَّكُمْ سَتُعْرَضُونَ عَلَى رَبِّكُمْ فَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ
“Ketahuilah, sesungguhnya kalian akan dihadapkan kepada Rabb kalian, lalu kalian akan melihat Rabb kalian sebagaimana kalian melihat bulan ini.”
Hadis-hadis lain turut menguatkan perkara tersebut. Antaranya sabda Baginda صلى الله عليه وسلم:
إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ عِيَانًا
“Sesungguhnya kalian akan melihat Rabb kalian secara nyata.”
Riwayat al-Bukhari.
Demikian juga hadis daripada Shuhaib bin Sinan رضي الله عنه tentang keadaan penghuni syurga. Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda bahawa setelah penghuni syurga memasuki syurga, Allah bertanya sama ada mereka menginginkan tambahan nikmat. Setelah Allah menyingkap hijab, mereka tidak diberikan sesuatu yang lebih mereka sukai daripada kenikmatan melihat Rabb mereka عز وجل.
Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim.
Jika diperhatikan lafaz hadis-hadis di atas, Rasulullah ﷺ tidak sekadar memberitahu bahawa orang-orang beriman akan memperoleh nikmat yang lebih besar di akhirat, bahkan Baginda secara jelas menyebut bahawa mereka akan melihat Tuhan mereka.
Perumpamaan melihat bulan, penegasan bahawa mereka akan melihat-Nya secara nyata, serta hadis tentang penyingkapan hijab, semuanya membawa pembaca kepada pengertian penglihatan yang sebenar. Inilah petunjuk zahir nas yang menjadi asas perbahasan ru’yatullah.
Maka, apabila Rasulullah ﷺ menyampaikan berita tentang perkara ghaib, pendirian seorang Muslim ialah menerima dan mengimaninya berdasarkan wahyu.
Apabila nas dihuraikan melalui kerangka ilmu kalam
Bayangkan seseorang membaca ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis di atas dengan fitrah yang bersih daripada andaian awal. Dia memahami bahawa Allah menjanjikan kepada orang-orang beriman suatu kenikmatan yang sangat agung, iaitu melihat Rabb mereka di akhirat. Dia juga memahami bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri menerangkan perkara itu melalui beberapa hadis yang jelas.
Namun, ketika penghayatan tersebut mula meresap ke dalam jiwanya, dia diberitahu bahawa persoalan ini tidak boleh difahami begitu sahaja. Dia perlu menerima beberapa penjelasan tambahan: melihat Allah tidak berlaku dalam arah mana-mana, tidak melibatkan tempat, dan tidak boleh difahami melalui kaedah penglihatan yang biasa diketahui manusia.
Memang dalam persoalan ru’yatullah ini, golongan Asya‘irah menetapkan bahawa orang-orang beriman akan melihat Allah di akhirat. Namun, mereka menolak pemahaman yang menurut mereka boleh membawa kepada penyerupaan Allah dengan makhluk, lalu menghuraikan penglihatan tersebut dengan menafikan keperluan kepada tempat, arah dan kaifiat yang menyerupai penglihatan makhluk.
Dengan kata lain, mereka tidak menafikan ru’yatullah, tetapi menghuraikannya dalam kerangka teologi yang mereka anggap selaras dengan prinsip penyucian Allah.
Persoalannya, apakah semua perincian tersebut dinyatakan oleh nas? Atau adakah sebahagiannya merupakan rumusan teologi yang dibina untuk menjawab persoalan yang timbul daripada perbahasan akal?
Inilah titik perbezaan yang perlu diperhatikan.
Dari sudut manhaj Salafi, menetapkan bahawa orang-orang beriman akan melihat Allah tidak bermakna kita perlu mereka-reka kaifiat penglihatan tersebut. Kita menetapkan apa yang ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah, menafikan persamaan Allah dengan makhluk sebagaimana yang dinyatakan oleh wahyu, dan tidak melampaui batas dengan menentukan perkara yang tidak diberitahu kepada kita.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
“Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan-Nya, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah al-Syura, 42:11)
Ayat ini menggabungkan dua perkara: penafian persamaan Allah dengan makhluk dan penetapan sifat bagi-Nya. Allah tidak menyerupai sesuatu pun, tetapi pada masa yang sama Dia tetap memiliki sifat mendengar dan melihat sebagaimana yang layak bagi-Nya.
Oleh itu, menetapkan sifat yang dinyatakan oleh wahyu tidak semestinya membawa kepada penyerupaan Allah dengan makhluk. Begitu juga, menyucikan Allah daripada penyerupaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menolak atau mengubah makna nas tanpa dalil.
Dari sudut kritikan Salafi, perbahasan yang panjang tentang arah, tempat dan kaifiat berisiko mengalihkan perhatian daripada perkara yang telah ditetapkan oleh nas kepada persoalan tambahan yang memerlukan penelitian tersendiri.
Lebih penting lagi, perbezaan pendekatan ini turut membawa kepada persoalan lain: adakah sesiapa yang menetapkan bahawa Allah benar-benar dapat dilihat dengan mata pada hari kiamat boleh terus dituduh sebagai mujassimah atau musyabbihah?
Adakah menetapkan ru’yatullah bermaksud menjisimkan Allah?
Saya tertarik dengan satu persoalan yang sering timbul dalam perbahasan akidah, iaitu tuduhan tajsim terhadap Syaikh Muhammad bin Salih al-‘Uthaimin رحمه الله hanya kerana pendirian beliau dalam menetapkan bahawa orang-orang beriman akan melihat Allah di akhirat.
Bagi memahami isu ini dengan adil, kita perlu meneliti terlebih dahulu apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh beliau. Tidak memadai jika kita hanya mengambil satu ungkapan, kemudian menggunakannya sebagai bukti bahawa seseorang telah menetapkan Allah sebagai jisim yang menyerupai makhluk.
Pertikaian antara sebahagian pengkritik Asya‘irah dengan golongan Salafi dalam persoalan ini berkait rapat dengan cara memahami nas sifat dan sejauh mana istilah-istilah ilmu kalam boleh digunakan untuk menghuraikannya.
Sebahagian pengkritik berpendapat bahawa penglihatan secara hakiki semestinya melibatkan objek yang mempunyai dimensi, batasan dan kedudukan dalam sesuatu arah. Oleh itu, apabila seseorang menetapkan bahawa Allah benar-benar akan dilihat dengan mata, mereka menganggap pendirian tersebut membawa kepada tajsim.
Namun, golongan Salafi menolak anggapan bahawa menetapkan penglihatan secara hakiki dengan sendirinya bermaksud menetapkan Allah sebagai jisim yang menyerupai makhluk. Mereka membezakan antara menetapkan perkara yang dinyatakan oleh wahyu dengan menentukan kaifiat atau hakikat zat Allah yang tidak diketahui oleh manusia.
Dalam hal inilah, Syaikh Ibn ‘Uthaimin رحمه الله menjelaskan bahawa istilah jisim tidak terdapat dalam nas al-Quran dan Sunnah sebagai suatu sifat yang ditetapkan atau dinafikan secara mutlak daripada Allah. Oleh itu, istilah tersebut perlu diperincikan terlebih dahulu sebelum seseorang membuat penetapan atau penafian terhadapnya.
Asal perbahasan isu ini ialah pendirian Muktazilah dan Jahmiyah yang menolak ru’yatullah, iaitu melihat Allah di akhirat. Dalam perbahasan ilmu kalam, penolakan ini dikaitkan dengan hujah bahawa penglihatan melazimkan arah, tempat atau sifat jisim, sedangkan mereka menganggap perkara-perkara tersebut mustahil bagi Allah.
Oleh itu, mereka menolak kemungkinan Allah dilihat. Syaikh Ibn ‘Uthaimin membantah hujah sedemikian. Menurut beliau, dakwaan bahawa ru’yatullah melazimkan tajsim tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak berita tentang penglihatan Allah yang disebut dalam nas. Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa Allah tidak menyerupai makhluk-Nya.
Dalam Syarh al-‘Aqidah al-Wasitiyyah (hal 457), beliau berkata:
"...والرد عليهم: أنه إن كان يلزم من رؤية الله تعالى أن يكون جسماً فليكن ذلك، لكننا نعلم علم اليقين أنه لا يماثل أجسام المخلوقين؛ لأن الله تعالى يقول: {لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ} [الشورى: ١١].
على أن القول بالجسم نفياً أو إثباتاً مما أحدثه المتكلمون وليس في الكتاب والسنة إثباته ولا نفيه..."
“Adapun jawapan terhadap mereka (Muktazilah dan Jahmiyah), sekiranya melihat Allah Taala itu dikatakan melazimkan bahawa Dia ialah suatu jisim, maka biarlah demikian. Namun, kita mengetahui dengan penuh keyakinan bahawa Dia tidak menyerupai jisim-jisim makhluk, kerana Allah Taala berfirman:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
‘Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan-Nya, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.’ (Surah al-Syura, 42:11).
Petikan ini memperlihatkan pendekatan Ibn ‘Uthaimin رحمه الله dalam menangani dakwaan bahawa ru’yatullah semestinya membawa kepada tajsim. Beliau tidak menerima dakwaan bahawa penetapan penglihatan terhadap Allah secara automatik bererti menetapkan Allah sebagai jisim yang menyerupai makhluk. Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa Allah tidak menyerupai apa jua jisim makhluk, berdasarkan firman-Nya dalam Surah al-Syura ayat 11.
Petikan beliau mengandungi dua unsur yang mesti dibaca bersama:
إن كان يلزم — “Sekiranya ia melazimkan…”
فليكن ذلك — “Maka biarlah demikian.”
Maka, petikan ini tidak memadai untuk membuktikan bahawa Ibn ‘Uthaimin menetapkan Allah sebagai jisim yang menyerupai makhluk. Beliau menggunakan hujah bersyarat untuk menolak dakwaan bahawa ru’yatullah semestinya membawa kepada penyerupaan Allah dengan makhluk, di samping mempersoalkan penggunaan istilah jisim yang tidak ditetapkan atau dinafikan secara khusus oleh nas.
Oleh itu, kenyataan beliau perlu difahami berdasarkan keseluruhan hujah, bukan hanya melalui ungkapan fal-yakun dzalik yang bermaksud “maka biarlah demikian”. Ungkapan tersebut muncul sebagai jawapan terhadap dakwaan pihak lawan tentang kelaziman ru’yatullah dengan tajsim.
Dari sudut ini, tidak tepat untuk terus menyimpulkan bahawa Ibn ‘Uthaimin menetapkan Allah sebagai jisim yang menyerupai makhluk hanya berdasarkan petikan tersebut. Hujah yang dikemukakannya adalah untuk mempertahankan penetapan ru’yatullah dan menolak dakwaan bahawa penetapan tersebut semestinya membawa kepada penyerupaan Allah dengan makhluk.
Kritikan daripada Sebahagian Ulama Asya‘irah
Walau bagaimanapun, ungkapan fal-yakun dzalik tersebut mendapat kritikan daripada sebahagian pihak yang berpegang dengan pendekatan ilmu kalam, termasuk pengkritik aliran Salafi yang selalu mereka juluki sebagai Wahabi.
Dalam kerangka teologi Asya‘irah dan Maturidiyyah, Allah disucikan daripada ciri-ciri kebendaan, susunan bahagian dan keperluan kepada ruang yang merupakan sifat makhluk. Oleh sebab istilah jisim lazimnya dikaitkan dengan ciri-ciri tersebut, mereka menolak penggunaannya sebagai sifat bagi Allah.
Dari perspektif ini, ungkapan Ibn ‘Uthaimin dianggap bermasalah kerana boleh difahami seolah-olah beliau menerima penetapan jisim bagi Allah, meskipun dengan penafian bahawa Allah menyerupai jisim makhluk. Inilah antara titik yang menjadikan petikan tersebut diperdebatkan.
Namun, perlu dibezakan antara mengkritik ungkapan seseorang ulama dengan membuktikan bahawa beliau benar-benar berpegang dengan akidah tajsim. Kedua-duanya bukan perkara yang sama. Penilaian yang adil memerlukan kita meneliti maksud istilah, konteks hujah dan pendirian keseluruhan orang yang dibahaskan.
Perbezaan Manhaj dalam Memahami Nas Ru’yatullah
Daripada perbahasan ini, kita dapat melihat perbezaan pendekatan antara Asya‘irah dengan Salafi dalam menangani persoalan ru’yatullah.
Ketika berhadapan dengan golongan Muktazilah yang menafikan bahawa Allah dapat dilihat di akhirat, Asya‘irah mempertahankan ru’yatullah berdasarkan dalil-dalil wahyu. Namun, dalam menghuraikan bagaimana penglihatan tersebut berlaku tanpa membawa kepada penyerupaan Allah dengan makhluk, mereka turut menggunakan kerangka ilmu kalam yang membahaskan persoalan arah, tempat, jisim dan kaifiat penglihatan.
Bagi golongan Salafi, nas-nas tentang ru’yatullah merupakan berita yang jelas bahawa orang-orang beriman akan benar-benar melihat Allah di akhirat. Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri menerangkan perkara tersebut melalui hadis-hadis yang sahih, termasuk hadis yang membandingkan penglihatan terhadap Allah dengan penglihatan terhadap bulan pada malam purnama. Perbandingan ini menjelaskan kepastian penglihatan tersebut, bukannya menyamakan Allah dengan makhluk. Oleh itu, pendekatan Salafi menekankan bahawa berita ini hendaklah diterima sebagaimana yang disampaikan oleh wahyu, tanpa menafikan maknanya, menyamakan Allah dengan makhluk atau mereka-reka kaifiat yang tidak diberitahu kepada kita.
Ini tidak bermaksud akal langsung tidak mempunyai peranan dalam memahami agama. Akal tetap digunakan untuk memahami dalil dan menjawab kekeliruan. Namun, akal tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak sesuatu yang telah ditetapkan oleh wahyu hanya kerana perkara itu tidak menepati andaian atau premis rasional tertentu.
Dari sudut manhaj Salafi, kewajipan kita bukanlah memaksa setiap perkara ghaib masuk ke dalam kerangka falsafah yang dibina manusia. Sebaliknya, kita beriman dengan apa yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul-Nya, menyucikan Allah daripada segala persamaan dengan makhluk, dan berhenti pada batas yang ditetapkan oleh wahyu.
Ahlus Sunnah tidak sepatutnya menjadikan kerangka pemikiran yang dibina oleh pihak yang menentang mereka sebagai asas untuk menentukan bagaimana nas mesti difahami. Sesuatu kerangka mungkin dibina dengan tujuan mempertahankan akidah, tetapi tujuan yang baik tidak semestinya menjadikan setiap premis dan kesimpulan dalam kerangka tersebut benar.
Lebih membimbangkan, apabila istilah yang tidak digunakan oleh nas dijadikan ukuran utama untuk menilai akidah seseorang, perbezaan istilah boleh bertukar menjadi pertikaian tentang siapa yang mujassimah, siapa yang musyabbihah dan siapa yang menyimpang. Sedangkan, sebelum sesuatu tuduhan dibuat, maksud istilah, asas hujah dan pendirian sebenar pihak yang dituduh perlu diperiksa terlebih dahulu.
Kesimpulannya, persoalan ru’yatullah mengajar kita supaya membezakan antara perkara yang ditetapkan oleh wahyu, kaifiat perkara ghaib yang tidak diketahui dan rumusan teologi yang dibina oleh manusia. Ketiga-tiganya bukan perkara yang sama.
Menetapkan bahawa orang-orang beriman akan melihat Allah di akhirat tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa seseorang itu menjisimkan Allah. Begitu juga, mengkritik penggunaan sesuatu istilah tidak semestinya membuktikan bahawa orang yang menggunakannya telah menetapkan semua implikasi yang dikaitkan dengan istilah tersebut.
Yang menjadi asas perbincangan ialah kembali kepada dalil, memahami maksud sebenar setiap pendirian dan menilai hujah secara adil. Dalam perkara akidah, kesetiaan kepada wahyu menuntut kita supaya tidak menolak nas kerana andaian yang belum dibuktikan, dan tidak pula menisbahkan kepada seseorang suatu kepercayaan yang tidak benar-benar dipegangnya.
Rujukan
1. Syaikh Muhammad bin Salih al-‘Uthaimin, Syarh al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, jilid 1, hlm. 457 — berdasarkan rujukan yang diberikan.
2. Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jilid 13, hlm. 419, syarah hadis no. 7435.
3. Sahih al-Bukhari, hadis no. 7437; Fath al-Bari, jilid 13, hlm. 419.
Oleh : Mukhtaruddin Bin Sahid

Comments
Post a Comment