Siapakah Golongan Rabbaniyyun?


Siapakah golongan Rabbaniyyun?

1. Dalil daripada al-Quran

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى:

﴿مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِي مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَكِنْ كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ﴾

\[آلِ عِمْرَانَ: ٧٩\]


Allah Taala berfirman:

“Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab, hukum dan kenabian, kemudian dia berkata kepada manusia: ‘Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku dengan meninggalkan Allah.’ Akan tetapi (dia akan berkata): ‘Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbani, kerana kamu sentiasa mengajarkan Kitab dan kerana kamu sentiasa mempelajarinya.’”

(Surah Ali ‘Imran: 79)


2. أَقْوَالُ السَّلَفِ فِي تَعْرِيفِ الرَّبَّانِيِّينَ

Pandangan Salaf dalam mendefinisikan Rabbaniyyun

Pertama: Perkataan Mujahid

قَالَ مُجَاهِدٌ:

«الربانيون هم الفقهاء العلماء، ومنزلتهم فوق الأحبار».

(تفسير الطبري، عند آل عمران: ٧٩).

Mujahid berkata:

“Rabbaniyyun ialah golongan fuqaha dan para ulama yang mendalam ilmunya. Kedudukan mereka lebih tinggi daripada golongan ahbar (para ilmuwan).”

Rujukan: Tafsir al-Tabari, tafsiran Surah Ali ‘Imran: 79.


Kedua: Pilihan Imam al-Tabari

واختار الطبري أن الربانيين جمع «رباني»، وأنهم الذين يعتمد عليهم الناس في الفقه والعلم وأمور الدين والدنيا.

Imam al-Tabari memilih pandangan bahawa perkataan Rabbaniyyin merupakan kata jamak bagi Rabbani.

Mereka ialah golongan yang menjadi tempat pergantungan manusia dalam urusan kefahaman agama, ilmu pengetahuan serta urusan agama dan dunia.


Ketiga: Perkataan Muhammad bin al-Hanafiyyah

قال محمد بن الحنفية لما مات ابن عباس:

«اليوم مات رباني هذه الأمة».

Muhammad bin al-Hanafiyyah berkata ketika Ibn Abbas meninggal dunia:

“Pada hari ini telah meninggal dunia seorang Rabbani bagi umat ini.”

Hal ini menunjukkan bahawa gelaran Rabbani merupakan gelaran yang tinggi bagi golongan ulama dalam penggunaan mereka.


Keempat: Perkataan Ali bin Abi Talib رضي الله عنه

قال علي رضي الله عنه:

«الناس ثلاثة: عالم رباني، ومتعلم على سبيل نجاة، وهمج رعاع».

(حلية الأولياء لأبي نعيم، ١/٧٩–٨٠؛ وجامع بيان العلم لابن عبد البر).

Ali bin Abi Talib رضي الله عنه berkata:

“Manusia terbahagi kepada tiga golongan:

1. Orang alim yang Rabbani.

2. Penuntut ilmu yang berada di atas jalan keselamatan.

3. Golongan manusia yang hina, tidak mempunyai pendirian dan hanya mengikut orang lain.”

Dalam ungkapan ini, Ali meletakkan golongan ulama Rabbani pada kedudukan pertama.


3. تَفْسِيرُ ابْنِ عَبَّاسٍ لِلرَّبَّانِيِّينَ بِالْأَوْصَافِ الثَّلَاثَةِ

Tafsiran Ibn Abbas terhadap Rabbaniyyun melalui tiga sifat

فسر ابن عباس الربانية بالوصف لا بالاشتقاق، فبين أن الرباني من جمع هذه الخصال:

قال ابن عباس رضي الله عنهما:

﴿كُونُوا رَبَّانِيِّينَ﴾

«حكماء فقهاء».

Ibn Abbas mentafsirkan sifat Rabbani berdasarkan ciri-cirinya, bukan semata-mata berdasarkan asal pembentukan perkataan tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa Rabbani ialah seseorang yang menghimpunkan sifat-sifat berikut.

Ibn Abbas رضي الله عنهما berkata mengenai firman Allah:

“Jadilah kamu golongan Rabbani.”

Maksudnya:

“Jadilah kamu orang-orang yang bijaksana dan memahami ilmu agama dengan mendalam.”


4. مَعْنَى قَوْلِ ابْنِ عَبَّاسٍ: «حُكَمَاءَ فُقَهَاءَ»

Maksud perkataan Ibn Abbas: ‘Orang-orang yang bijaksana dan faqih’

معنى «كونوا ربانيين حكماء فقهاء» أن يكون العالم منسوبا إلى ربه بالإخلاص والتأله، فقيها يفهم عن الله مراده، حكيما يضع العلم في موضعه، حليما يصبر على المتعلمين، ومربيا يتدرج بالناس من واضح العلم إلى دقيقه.

فإذا اجتمعت فيه هذه الخصال استحق وصف «الرباني» الذي أطلقه السلف على ابن عباس نفسه.

Maksud ungkapan “Jadilah kamu golongan Rabbani yang bijaksana dan faqih” ialah seseorang alim itu hendaklah mempunyai hubungan pengabdian kepada Tuhannya melalui keikhlasan dan penghambaan kepada Allah.


Dia juga hendaklah mempunyai sifat-sifat berikut:

1. فقيها – Faqih: Memahami kehendak Allah melalui ilmu dan kefahaman yang mendalam terhadap agama.

2. حكيما – Hakim: Bijaksana dalam meletakkan ilmu pada tempatnya yang sesuai.

3. حليما – Halim: Bersifat penyantun dan sabar terhadap para penuntut ilmu.

4. مربيا – Murabbi: Mendidik manusia secara berperingkat, bermula daripada ilmu yang jelas dan mudah difahami kepada ilmu yang lebih mendalam dan terperinci.

Apabila semua sifat ini terkumpul dalam diri seseorang, maka dia layak mendapat gelaran Rabbani, sebagaimana gelaran tersebut diberikan oleh golongan Salaf kepada Ibn Abbas sendiri.


الخلاصة – Kesimpulan

الرباني هو العالم العامل بعلمه، المخلص لله، الفقيه في دينه، الحكيم في تعليمه، الصابر في تربيته للناس.

Rabbani ialah seorang alim yang beramal dengan ilmunya, ikhlas kepada Allah, mendalam kefahamannya terhadap agama, bijaksana dalam mengajar dan sabar dalam mendidik manusia.


Catatan:

Petikan «حُكَمَاءَ فُقَهَاءَ» dinukilkan sebagai tafsiran Ibn Abbas. Adapun huraian empat sifat pada bahagian akhir ialah penjelasan penulis terhadap maksud Rabbani, bukan petikan literal daripada Ibn Abbas.


Oleh : Ustaz Abid An-Nuriyy

Comments