Berbangga dengan Kehebatan Nenek Moyang, tetapi Kita Sudah Buat Apa?


Isu Malaysia-Indonesia. Saya tidak sangka perlu menulis begini. Keadaan semakin parah, dan saya risau akan bertambah teruk. Yang memulakan pergaduhan sudah tentu bukan orang yang bijak, dan yang membalasnya juga sama. Tetapi apabila sudah marak, satu Borneo pun bisa hangus.

Tiada yang menang dalam pergaduhan ini. Sama ada menerima bahawa kita serumpun atau sekadar bertetangga, kita tetap bani Adam, diciptakan dari tanah. Tiada sesiapa daripada kita diciptakan daripada emas. Jika seorang Arab tidak lebih mulia daripada seorang Ajam — walhal itu bangsanya Nabi Muḥammad SAW, penghulu segala manusia — mengapa Melayu harus lebih mulia ketimbang Jawa, atau sebaliknya?
Nenek moyang kami lebih hebat, raja-raja kamu berasal dari negara kami, makanan kamu pun dicuri daripada kami, bilang si bocah. Bocah lain pula menjawab, negaramu miskin, rakyat-rakyatnya ber-IQ rendah, padam api sahaja kayak main pistol air! Maka apakah negara kedua-dua bocah itu akan menjadi lebih maju, kaya, dan ternama di mata dunia hanya kerana hujat-menghujat, dan tafākhur dan sukhriyyaḧ, sebegitu? Saya kira tidak.
Kita berbangga-bangga dengan sejarah purba seolah-olah kalau tiada kita, maka Majapahit dan Melaka tidak akan terwujud; dan cuba mengaitkan segala-gala kekayaan dan kejayaan dengan kita seolah-olah kalau tiada kita maka KLCC tidak akan berdiri dan timnas tidak lolos ke Piala Asia; walhal kita sendiri — hei para bocah — tidak berbuat apa-apa pun selain berharap tiba-tiba muncul lagi kajian dan berita untuk kita banggakan.
Kini Indonesia sedang terbakar. Saya kesal apabila ramai yang mentertawakan mereka. Yang berbuat zalim, mengejek dan melecehkan Malaysia itu seberapa ramai pun, tetap bukan kesemua mereka. Di tengah-tengah kampung yang terbakar itu ada ibu-ibu yang tidak tahu apa-apa dan anak-anak yang masih suci pikirannya yang menjadi korban. Saya juga geram dan mula memulau produk-produk mereka sebagai tanda protes kepada keangkuhan sebilangan pempengaruh dan netizen mereka, namun hati-hati, jangan sampai menghukum mereka yang tidak berdosa.
(Dan kepada sahabat-sahabat Indonesia yang bijaksana, mohon sampaikan nasihatkan teman-teman kalian agar berhenti menyemarakkan api kebencian kepada kami. Tolong jangan diam sehingga kami menyangka kalian reda.)
Akhir sekali, pesanan umum kepada semua: Walau seagung mana pun sejarah kita, nenek moyang kita menguasai sepertiga dunia dan segala-galanya berasal-usul dari tanah tempat kaki kita berpijak; atau semakmur, semaju, dan sekaya mana pun negara kita, sekeping wang kita senilai dengan emas dan menara kita tertinggi di alam semesta; jika bukan kerana jasa dan titik peluh kita, berasa malulah untuk mendabik dada. Jadilah seperti penyair yang mengatakan:
لَسنا وَإِن أَحسابُنا كَرُمَت ... مِمَّن عَلى الأَحسابِ يَتَّكِلُ
نَبني كَما كانَت أَوائِلُنا ... تَبني وَنَفعَلُ مِثلَ ما فَعَلوا
“Kami walaupun keturunan kami mulia, tidak akan bergantung harap kepada keturunan. / Kami membina sebagaimana pendahulu-pendahulu kami membina, dan kami melakukan sebagaimana mereka melakukan.”

Oleh : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Comments