Hukum Memakai Pakaian Hitam Ketika Berlaku Kematian



Menukar pakaian kepada warna tertentu apabila berlaku kematian itu termasuk dalam perbuatan yang dilarang. Ini diikat sekiranya ia dipakai dengan tujuan untuk menzahirkan rasa tidak reda dengan ketetapan Allah SWT.

Dalam perbahasan tentang perkara yang diharamkan saat berlaku kematian, Syaikh ‘Abdullāh bin ‘Abd Al-Rahmān Bā Fadl رحمه الله dalam Al-Mukhtasar Al-Latīf menyebutkan :
Dan haram bersedih dengan memukul dada, melepaskan rambut, mengoyakkan pakaian, menaburkan tanah ke atas kepala, dan 𝐩𝐞𝐫𝐛𝐮𝐚𝐭𝐚𝐧-𝐩𝐞𝐫𝐛𝐮𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐬𝐞𝐮𝐦𝐩𝐚𝐦𝐚 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚
Al-Imām Al-Ramli رحمه الله (w. 1004 h.) menambah :
كتغيير اللباس بسبب الموت للخبر المار
Terjemahan : 𝐒𝐞𝐩𝐞𝐫𝐭𝐢 𝐦𝐞𝐧𝐮𝐤𝐚𝐫 𝐩𝐚𝐤𝐚𝐢𝐚𝐧 𝐝𝐢𝐬𝐞𝐛𝐚𝐛𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐦𝐚𝐭𝐢𝐚𝐧 berdasarkan hadis yang telah disebutkan.
Rujuk Al-Fawā’id Al-Mardiyyah Syarah Al-Mukhtasar Al-Latīf, Al-Ramli (Halaman 195)
Hadis tersebut adalah sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
ليس منا من لطم الخدود وشق الجيوب ودعا بدعوى الجاهلية
“Tidak termasuk dalam kalangan kami mereka yang menampar pipi, mengoyakkan pakaian, serta menyeru dengan seruan jahiliah.”
Riwayat Al-Bukhari (1294) dan Muslim (103)
Dr. Labīb Najīb حفظه الله dalam syarahan beliau menyebut : Contoh menukar pakaian itu adalah mereka yang 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐤𝐚𝐢 𝐩𝐚𝐤𝐚𝐢𝐚𝐧 𝐡𝐢𝐭𝐚𝐦 𝐚𝐩𝐚𝐛𝐢𝐥𝐚 𝐛𝐞𝐫𝐥𝐚𝐤𝐮 𝐤𝐞𝐦𝐚𝐭𝐢𝐚𝐧.
Namun sebagaimana yang saya sebutkan, pemakaian tersebut hendaklah dilihat kepada tujuannya. Imām Al-Haramain Abū Al-Ma’āli Abd Al-Malik Al-Juwaini رحمه الله mendatangkan sebuah dābit (ukuran) dalam hal ini dengan kata beliau :
كُلُّ فِعْلٍ يَتَضَمَّنُ إظْهَارَ جَزَعٍ يُنَافِي الِانْقِيَادَ وَالِاسْتِسْلَامَ لِقَضَاءِ اللَّهِ تَعَالَى فَهُوَ مُحَرَّمٌ
“Semua perbuatan yang mengandungi penzahiran kesedihan yang menafikan ketundukan dan penerimaan terhadap ketetapan Allah SWT maka ia adalah diharamkan”.
Rujuk Mughni Al-Muhtāj, Al-Khatīb Al-Syirbīni (2/43)
Kesimpulan, mana-mana warna pakaian baik putih atau hitam yang 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢 𝐚𝐝𝐚𝐭 𝐦𝐚𝐬𝐲𝐚𝐫𝐚𝐤𝐚𝐭 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐤𝐚𝐢𝐧𝐲𝐚 pada hari kematian dan 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐛𝐞𝐫𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐦𝐞𝐧𝐳𝐚𝐡𝐢𝐫𝐤𝐚𝐧 𝐫𝐚𝐬𝐚 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐫𝐞𝐝𝐚 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐒𝐖𝐓 semua ini tidak termasuk dalam kategori haram. والله الموفق

Oleh : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Comments