Sepatutnya lelaki sama-sama merasai kesakitan yang terpaksa membiarkan aurat paling berat isterinya dilihat lelaki lain, walaupun atas nama darurat, namun tidak, ada pula yang tidak cerdik dan "bodoh" yang secara melulu mempertikaikannya.
Ghayrah ini terpuji, dan kesakitan ini mulia. Sa'd b. 'Ubadah mengatakan, "Sekiranya aku melihat seorang lelaki bersama isteriku, pastu aku akan memukulnya dengan pedang membunuhnya." Adakah Islam membenarkan kita membunuh lelaki yang sedang bersama isteri kita? Tidak, namun apa kata Rasulullah SAW apabila mendengar kata-kata ini?
أتَعجَبونَ مِن غَيرةِ سَعدٍ؟! واللهِ لَأنا أغيَرُ منه، واللهُ أغيَرُ مِنِّي
"Adakah aku kagum dengan kecemburuan Sa'd? Demi Allah, aku lebih cemburu daripadanya, dan Allah lebih cemburu daripadaku."
Kesakitan ini normal, apatah lagi sebenarnya terdapat pilihan untuk mengelakkan situasi itu terjadi, tetapi apakan daya, kemiskinan menjadi menghalang. Itu yang dimaksudkan oleh sahabat ini. Ia seperti mengatakan sedih kerana belum dapat mengerjakan haji kerana tiada duit, walhal haji tidak wajib bagi yang tidak mampu. Ia juga seperti kesal kerana sampai terpaksa makan babi kerana kebuluran, walaupun makan babi ketika darurat adalah halal.
Saya tidak menyentuh soal aib isteri (kalau betul ia adalah "keaiban" dalam erti kata sebenarnya) yang diceritakan kepada kawan, namun pada zaman lelaki-lelaki menjadi dayus, ada yang mengizinkan isteri menjadi penyanyi menghiburkan orang, ada yang membiarkan isteri selfie dan berjoget di media sosial, bahkan ada yang membiarkan isteri melakonkan babak intim dengan lelaki lain, syabaslah jika anda masih mempunyai ghayrah seperti lelaki ini.
Soal perempuan dirawat lelaki itu makruf dalam kitab-kitab fiqh, namun ia tidak selonggar yang diamalkan sekarang. Kita pada hari ini bermudah-mudahan membiarkan diri dirawat oleh ajnabi, sedangkan ulama meletakkan syarat-syarat yang ketat, antaranya tiada perawat sejenis dan melihat sekadar keperluan. Jika tiada yang sejenis pula, bukan terus boleh dirawat oleh sesiapa sahaja, tetapi ada susunan. Tidak boleh terus dirawat oleh lelaki kafir ketika masih ada lelaki Muslim, dan tidak boleh terus dirawat lelaki Muslim jika masih ada perempuan kafir.
Adakah kita mematuhinya? Tidak! Kita terus membiarkan diri dan isteri dirawat oleh lawan jantina atas alasan harus jika untuk rawatan, walaupun klinik-klinik lain masih ada, berdekatan, dan dengan caj yang sama. Dan kerana itulah kita merasakan apabila ada lelaki yang mengeluh dan mengadukan kesakitannya kerana terpaksa membiarkan isterinya dibidani lelaki lain, kita menganggapnya bodoh walhal kita yang dayus!
Kemudian, sungguhpun melihat dan memperlihat kemaluan kepada orang lain ketika hajat adalah harus, namun pastinya tidak sama antara memperlihat rambut dengan memperlihat faraj, sesuatu yang suami sendiri ulama berselisih pendapat tentang hukum melihatnya. Kata ulama:
ويشترط في النظر إلى السوءات لقبحها من شدة الحاجة، ما لا يشترط في النظر إلى سائر العورات.
"Disyaratkan untuk melihat kemaluan kerana kejijikannya disebabkan hajat yang mendesak apa yang tidak disyaratkan ketika melihat seluruh aurat lain."
Kata Ibnu Hajar:
ومن المعلوم أن العاقل يشتد عليه أن الأجنبي يرى وجه زوجته وابنته ونحو ذلك
"Dan sedia maklum bahawa lelaki yang waras merasa berat kalau ada ajnabi yang melihat wajah isteri, anak perempuannya, dan seumpamanya."
Jika ini melihat wajah, maka apa yang peliknya jika lelaki merasai berat untuk membiar lelaki lain melihat kemaluan isterinya?!
Oleh : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Comments
Post a Comment