Saya pernah sebut dalam kuliah, seseorang yang mengikuti pengajian fiqh yang tidak mendalam adalah tidak jauh bezanya dengan seseorang yang langsung tidak pernah mengikuti sebarang pengajian fiqh.
Ini sebagai suatu teguran ikhlas kepada mereka yang meninggalkan majlis pengajian fiqh atas alasan sudah pernah mempelajarinya di peringkat sekolah. Sedangkan yang dipelajari pada peringkat tersebut kebiasaannya hanyalah asas-asas fiqh sahaja [untuk tujuan hafal] tanpa pergi kepada perbahasan yang lebih mendalam [untuk tujuan faham].
Contoh 1 : Secara asasnya, kita tahu bahawa air musta’mal (yang telah digunakan) itu tidak boleh digunakan untuk bersuci dengannya.
Namun adakah kita turut mengetahui perbahasan berkenaan syarat-syarat yang menjadikan air tersebut dikira sebagai musta’mal ? Baik musta’mal pada mengangkat hadas (الماء المستعمل في رفع الحدث) atau musta’mal pada menghilangkan najis (الماء المستعمل في إزالة النجس).
- Adakah air yang telah digunakan untuk siram pokok bunga dikira sebagai musta’mal ?
- Adakah air basuhan anggota wuduk kali yang kedua dan ketiga dikira sebagai musta’mal ?
- Adakah air basuhan yang masih ada pada anggota wuduk dikira sebagai musta’mal ?
- Adakah air yang dicelup tangan ke dalamnya setelah seseorang bangun dari tidur dikira sebagai musta’mal ?
Contoh 2 : Secara asasnya, kita tahu bahawa haram hukumnya mendirikan solat dalam waktu-waktu larangan solat.
Namun adakah kita turut mengetahui perbahasan berkenaan solat-solat yang dikecualikan (boleh dilakukan) pada waktu-waktu larangan tersebut ?
- Adakah larangan solat padanya meliputi solat fardu ‘ain dan fardu kifayah ?
- Adakah larangan solat padanya meliputi solat sunat, baik solat sunat mutlak atau solat sunat muqayyad ?
- Adakah larangan solat padanya meliputi solat sunat muqayyad bi waqt (terikat dengan waktu) dan muqayyad bi sabab (terikat dengan sebab) baik sebabnya terdahulu (متقدم) seperti solat sunat wuduk, tahiyyatul masjid atau sebab yang seiring (مقارن) seperti solat gerhana, atau sebab yang terkemudian (متأخر) seperti solat istikhārah ?
Contoh 3 : Secara asasnya, kita tahu bahawa niat merupakan salah satu rukun solat.
Namun adakah kita turut mengetahui perbahasan tentang perkara-perkara yang wajib ada dalam niat solat ? Dari sudut qasad fi’l, fardiyyah, dan al-ta’yīn ?
- Adakah sama kewajipan niat untuk solat fardu ain dan fardu kifayah ?
- Adakah sama kewajipan niat untuk solat fardu dan solat sunat ?
- Adakah sama kewajipan niat untuk solat sunat mutlak dengan solat sunat muqayyad ?
- Adakah niat solat wajib dilakukan semasa takbiratul ihram ?
Contoh 4 : Secara asasnya, kita tahu bahawa membaca surah Al-Fatihah merupakan salah satu rukun solat.
Namun adakah kita turut mengetahui perbahasan berkenaan syarat-syarat sah bacaan Al-Fatihah yang disebutkan oleh para ulama ?
- Sahkah Al-Fatihah jika dibaca dalam bahasa selain Arab ?
- Sahkah Al-Fatihah jika dibaca tanpa mengikut tertib ?
- Sahkah Al-Fatihah jika dibaca tanpa muwālāt ?
- Adakah seseorang yang bersin semasa membaca surah Al-Fātihah kemudian mengucapkan Alhamdulillāh dikira sebagai memutuskan muwālāt ?
- Apakah wajib membaca keseluruhan tasydīdāt yang terdapat di dalam surah Al-Fātihah ?
Memadailah 4 contoh di atas. Memahami dan menguasai satu-satu isu fiqh secara mendalam ini merupakan suatu usaha untuk beramal dengan nasihat Al-Imām Al-Syāfi’e رحمه الله buat para penuntut ilmu :
مَنْ تعلَّم علمًا فليُدقِّقْ فيه لئلا يضيعَ دقيقُ العلم
“Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu, hendaklah dia bersikap teliti padanya. Agar dia tidak kehilangan ilmu-ilmu yang bersifat halus (mendalam)”.
Silap bagi sebahagian orang yang menyangka bahawa mempelajari ilmu fiqh solat itu memadai sekadar mengetahui yang niat, Al-Fatihah, rukuk, dan sujud itu merupakan rukun solat. Namun dalam masa yang sama, dirinya tidak mempelajari syarat-syarat sah bagi setiap rukun tersebut. وقس على ذلك
Oleh : Ustaz Muhammad Fahmi Rusli

Comments
Post a Comment