Jangan Ukur Kedudukan Seseorang Di Sisi Allah Hanya Dengan Apa Yang Kita Nampak


Apabila ada seorang tokoh agama kata amalan manusia perlu dilihat secara keseluruhannya — dan kita tidak boleh menghukum berdasarkan hanya satu bentuk dosa — saya rasa ramai yang masih tidak faham tentang apa yang sebenarnya diperkatakan.

Isu ini timbul bila beliau ditanya — “Apa hukum orang yang menunaikan solat tapi tak pakai tudung?”

Saya tidak rasa soalan tu berlegar tentang hukum fekah. Sebab dari segi fiqh, semua orang tahu menutup aurat itu wajib! Saya rasa tidak ada keperluan untuk beliau menjawab, “Kalau macam tu kekalkan solat dan pakai je lah tudung!”

Maka asas soalan itu bukanlah dari perspektif hukum fekah, tapi lebih kepada status amalan atau kedudukan orang itu — apakah dia diterima atau tidak? Atau dengan kata lain, Allah redha ke tak dengan orang macam tu?

Senang kata, lebih kurang beginilah maksud soalannya:

“Allah terima tak solat seseorang kalau dia tak pakai tudung?”

— dengan nada skeptis.

Atau boleh kita fahami begini:

“Apa kedudukan orang yang tak pakai tudung tapi dia solat?”

— dengan nada mengharap.

Jika itulah kesimpulan daripada soalan tersebut — sudah pasti seseorang tidak akan mampu menjawabnya dengan kepastian mutlak.

Kerana menentukan kedudukan seseorang di sisi Allah, terutama seseorang yang dalam kehidupannya ada amalan baik dan pada masa yang sama ada dosa, adalah hak Allah.

Dalam erti kata lain, mana mungkin seseorang boleh mengetahui secara pasti apa yang Allah putuskan terhadap makhluk-Nya?

Di sinilah datangnya pertimbangan bahawa kedudukan seseorang tidak boleh dinilai hanya berdasarkan satu sisi amalannya.

Bukan sebab kita mengatakan dosa itu tidak penting.

Bukan juga sebab kita mengatakan satu dosa boleh cover dengan amal soleh yang lain.

Tetapi kerana kita tidak mengetahui keseluruhan keadaan seseorang — amal yang dia lakukan secara tersembunyi, dosa yang dia lakukan secara tersembunyi, taubatnya, keikhlasannya, perjuangannya melawan dosa dan pelbagai lagi perkara yang hanya Allah mengetahuinya.

Dan di sinilah datangnya kemustahilan kita untuk menentukan kedudukan akhir seseorang di sisi Allah.

Hal ini berbeza dalam kes ibadah solat yang tidak memenuhi syarat sah solat dari perspektif fekah seperti tidak menutup aurat dengan sempurna. Maka dalam hal itu kita hukumi dari perspektif fiqh.

Kita boleh kata solat itu tidak sah apabila syarat sahnya tidak dipenuhi — bukan kerana kita Tuhan yang berhak menentukan penerimaan amal seseorang, tetapi kerana Allah dan Rasul-Nya sendiri telah menetapkan batasan dan syarat bagi sesuatu ibadah.

Akan tetapi jika seseorang itu telah menepati syarat sah ibadah, berwuduk, menutup aurat dengan sempurna, melengkapkan rukun solat dan sebagainya, secara ringkasnya kita katakan:

"Ya, mudah-mudahan Allah menerima solat anda."

Tetapi kita tidak mengatakan:

“Aku boleh pastikan Allah menerima solat kau.”

Sebab penerimaan amal itu tetap urusan Allah.

Namun apabila amalan ibadah seseorang cuba diukur atau diimbang dengan kadar dosa yang dia lakukan — maka ini di luar keupayaan manusia untuk menentukan kedudukan akhirnya di sisi Allah.

Saya rasa salah faham terbesar yang berlaku pada sebahagian masyarakat apabila mendengar perkataan beliau ialah: beliau seakan-akan menganggap amalan tidak memakai tudung wajar diberi ruang apabila ia diimbangi dengan amalan soleh yang lain, dengan alasan amalan itu diukur secara keseluruhan.

Padahal bukan itu maksudnya.

Apa yang beliau maksudkan ialah tentang rahmat Allah terhadap orang yang berdosa.

Oleh kerana kita tidak mengetahui bagaimana Allah akan mengadili seseorang secara keseluruhan — maka apabila kita cuba mendapatkan kepastian mutlak tentang status atau kedudukan manusia berdasarkan beberapa amalan yang kita nampak, itu bukanlah sesuatu yang wajar dilakukan.

Apa pun, saya luruskan. Begini —

Kita maklum tentang kewajipan dan apa jua perintah agama terhadap kita. Semua perintah dan kewajipan ini datang dengan ancaman dan balasan.

Ini semua kita sangat maklum.

Allah berfirman:

“Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya serta melampaui batas-batas-Nya, nescaya Dia akan memasukkannya ke dalam neraka; dia kekal di dalamnya dan baginya azab yang menghinakan.”
— al-Nisa’ 4:14

Di sebalik itu, sekalipun kita maklum akan semua kewajipan dan perintah Allah — manusia tetap melakukan dosa.

Nabi ﷺ sendiri bersabda:

“Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat.”

Maka hakikatnya manusia memang mempunyai kelemahan.

Walaupun kita tahu sesuatu itu haram, kita masih boleh terjatuh ke dalamnya.

Walaupun kita tahu sesuatu itu wajib, kita masih boleh gagal melaksanakannya.

Walaupun penat kita ‘berleter’, percayalah — manusia di hadapan kita akan tetap buat dosa.

Sekeras mana pun kita tegaskan larangan dosa — manusia akan tetap buat dosa. Baik itu dosa kecil atau besar.

Malah kalau kita pergi lebih jauh — diri kita sendiri belum tentu selamat.

Kadang-kadang ada orang boleh sangat berkeras dan tegas soal yang dia mampu — tapi dia langgar bila dia sendiri rasa ‘lemah’.

Ambil contoh ada orang tegas bab aurat — dia mampu pakai tudung labuh dan jubah — tapi bila mai bab mengumpat — dia fail.

Lebih teruk dia beri justifikasi terhadap dosa yang dia lakukan.

“Kalau aku tak cerita nanti orang tak tahu...”

Begitulah nadanya.

Ada lagi pulak, bila bersendirian, sunyi sepi — dia buat dosa yang dia tak mampu bendung.

Tapi bila dosa lain berlaku secara terang-terangan — seperti orang tak puasa atau tak solat — dia mampu tegur dengan lantang dan tegas.

Kita semua ada kelemahan.

Kelemahan itu bukan justifikasi dosa. Tetapi ia adalah sebahagian daripada hakikat manusia.

Sebab itu Allah tidak hanya memberitahu kita tentang azab dan larangan. Allah juga membuka pintu taubat dan mengkhabarkan kepada kita tentang keluasan rahmat-Nya.

Allah berfirman:

“Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa.”— al-Zumar 39:53

Sebab itu ada kisah seorang lelaki yang membuang sesuatu yang mengganggu perjalanan kaum Muslimin, lalu Allah bersyukur kepadanya dan mengampunkan dosanya.

Ada juga kisah seorang lelaki kaya pada zaman dahulu yang sering memberikan pinjaman wang kepada orang ramai. Dia sering memaafkan dan menghalalkan hutang orang yang kesusahan - dan dengan sikapnya itu, dia dimasukkan ke syurga. 

Ada juga hadis tentang seseorang yang memberi sedekah secara ikhlas, membantu orang yang susah, memerdekakan hamba dan pelbagai lagi amal yang menjadi sebab datangnya rahmat dan keampunan Allah.

Namun begitu kena ingat — bukan semua kisah keluasan rahmat Allah itu kita boleh ambil mudah. Jangan tertipu!

Kita tidak tahu apakah kita termasuk dalam orang yang mendapat rahmat Allah atau tidak.

Kita hanya boleh mengharap. Tapi di tangan Allah-lah keputusan mutlak!

Kita tidak tahu amal yang mana menjadi sebab Allah merahmati seseorang.

Ambil saja kisah seorang wanita daripada Bani Israil yang memberi minum seekor anjing yang kehausan. Nabi ﷺ menceritakan bahawa Allah mengampunkan wanita tersebut kerana perbuatannya itu.

Jangan pula kita jadikan kisah wanita yang memberi minum anjing tadi sebagai lesen untuk buat dosa.

Jangan ada yang kata:

“Walaupun saya melacur — tapi saya kerap bagi minum anjing terbiar yang dahaga! Walaupun nampak saya begini tapi saya ada belas ihsan pada haiwan dan binatang!”

JANGAN ada yang buat begini hanya kerana ada hadis yang menceritakan kisah tersebut.

Ini bukan soal tidak beriman dengan hadis tersebut.

Tapi soalnya kita tidak tahu apakah kita akan mendapat rahmat Allah dengan cara yang sama!?

Hadis itu memang menceritakan tentang keluasan rahmat Allah, tetapi bukan suruh kita melacur sambil bagi minum anjing untuk cover dosa melacur itu!

Itu bukan cara kita memahami hadis tersebut.

Jadi jangan pula kita faham tulisan ini sebagai usaha untuk soften hukum dosa.

Dosa tetap dosa. Haram tetap haram. Wajib tetap wajib. Cuma rahmat Allah itu datang dengan pelbagai jalan. 

Dan murka Allah juga datang dengan pelbagai jalan.

Ada wanita yang banyak melakukan solat, puasa dan sedekah, tetapi menyakiti jirannya dengan lidahnya. Nabi ﷺ menyebut bahawa wanita itu berada dalam neraka.

Ada orang yang melakukan ibadah, tetapi hatinya dipenuhi kesombongan.

Ada orang yang nampak baik di hadapan manusia, tetapi berani melakukan maksiat ketika bersendirian.

Ada orang yang banyak bercakap tentang agama, tetapi lidahnya tidak berhenti daripada menyakiti manusia.

Kesimpulannya - kita tidak tahu apa yang Allah putuskan terhadap seseorang berdasarkan keseluruhan amalnya.

Kita tidak mempunyai formula untuk mengira:

“Aku ada dosa sekian banyak, tapi amal aku pun banyak. Jadi rasanya masih selamat.”

Tidak!

Kita bukan Tuhan.

Kita tidak tahu bagaimana Allah mengadili seseorang.

Sebab itu saya rasa kita perlu berhenti daripada terlalu sibuk menentukan kedudukan seseorang di sisi Allah hanya berdasarkan beberapa perkara yang kita nampak pada dirinya.

Akhirnya beginilah —

Saya mahu kita jangan fokus untuk mendapat status kepastian mutlak tentang amalan seseorang selagi mana kita tidak mampu menghitung keseluruhan amalannya yang kita sendiri tidak mampu lihat.

Hukum dosa boleh kita tahu. Tetapi kedudukan seseorang di sisi Allah bukan kita yang tentukan.

Jadi bertanya soalan seperti:

“Apa hukum dia solat tapi tak pakai tudung?”

tidak cukup relevan jika soalan itu sebenarnya mahu menentukan kedudukan orang tersebut di sisi Allah.

Kerana boleh jadi dia juga ada bantu anak yatim.

Boleh jadi dia pernah membebaskan seseorang daripada hutang yang membebankan.

Boleh jadi dia menjaga ibu bapanya yang sudah tua.

Boleh jadi dia pernah membantu orang yang berada dalam kesusahan.

Boleh jadi ada amal-amal lain yang kita langsung tidak tahu.

Dan sepertimana diri kita juga — boleh jadi kita sangat menjaga solat, tapi kuat mengumpat?

Boleh jadi daripada sibuk tanya orang, lebih baik tanya diri kita sendiri.


Oleh : Mukhtaruddin Bin Sahid 

Comments