OLEH: Ustaz Suhili Nain
New Age Movement adalah satu fahaman yang percaya bahawa dalam diri ada satu potensi tanpa batasan (unlimited) yang merupakan sebahagian daripada unsur ketuhanan dan memfokuskan untuk membangunkan potensi itu dengan idea-idea daripada falsafah Timur, khususnya Hindu Buddha serta falsafah Kuno, seperti falsafah Yunani dan Mesir Kuno.
New Age Movement menggabungkan ajaran kerohanian daripada pelbagai agama, kerana pada pandangan mereka, kebenaran itu ada dalam semua agama. Ini adalah konsep Pluralisme yang merosakkan aqidah. Seperti mana kata seorang tokoh New Age Movement, "Tiada agama yang lebih tinggi daripada kebenaran."
Dengan dakwaan mampu meningkatkan potensi diri, terdapat segelintir daripada kalangan umat Islam yang terpesona dengan ajaran New Age Movement, lalu mereka cuba membawa masuk ajaran New Age Movement dan berusaha menyesuaikannya dengan ajaran Islam.
Para pengkagum New Age gagal memahami bahawa adalah mustahil untuk Islam menerima ajaran New Age Movement, kerana teras New Age Movement adalah syirik dalam sudut pandang Islam. Ia adalah dua perkara yang berlawanan.
Disebab kejahilan pengkagum New Age Movement terhadap Al-Quran dan As-Sunnah, mereka menyangka mereka berjaya menapis ajaran New Age Movement agar selari dengan Islam, namun sebenarnya apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Telah berlaku sinkritisme di tangan pengkagum ajaran New Age Movement, lalu menatijahkan terhasilnya satu ajaran baru yang menyelewengkan Al-Quran dan As-Sunnah, konsep doa diubah maknanya dan akhlak Islam disusun semula agar selari dengan New Age Movement.
Kini ajaran New Age Movement dibawa dalam masyarakat oleh golongan motivator, dan ada juga golongan bergelar ustaz ustazah yang terjebak mempromosi ajaran ini, kerana jahil dan keliru mengenai hakikat sebenar New Age Movement.
Antara ajaran New Age Movement yang popular dan disebarkan dalam masyarakat:
- Hukum Tarikan (Law of Attraction)
- Meraga Sukma (Astral Projection)
- Tenaga dalam Aura dan Chakra.
- Numerologi, Rahsia Tarikh Lahir.
Golongan pembawa ajaran berunsur New Age Movement terkadang tidak menggunakan nama asal di atas. Mereka memberikan nama baru, dengan isi yang diubah suai sedikit dan menggunakan perkataan yang kedengaran Islamik untuk menarik perhatian orang ramai.
[Gerakan PENA Malaysia]
Comments
Post a Comment