Tidak Sah Bayar Zakat Fitrah Guna Duit Menurut Mazhab Syafie

 OLEH: Abu Aqif

Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz menyatakan mata wang telah pun wujud sewaktu zaman Nabi ﷺ namun baginda tetap mewajibkan zakat fitrah dengan makanan ruji yang ketika itu adalah kurma dan gandum.

Para sahabat رضي الله عنهم juga telah mencontohi Nabi ﷺ selepas kewafatan baginda dan tidak pernah dinukilkan dalam mana-mana riwayat pun yang mereka telah mengeluarkan zakat fitrah dengan dinar mahupun dirham. [Rujuk Majmuk Fatawa Ibnu Baz, 14/208-211].

Ulama bermazhab Malik, Syafie dan Hanbali berpendapat bahawa TIDAK BOLEH mengeluarkan zakat fitrah dengan duit kerana tidak ada satu pun dalil yang membolehkan hal tersebut. [Rujuk Al-Mudawwanah Syahnun, Ad-Din Al-Khash dan Al-Mughni, Ibnu Qudamah].

Hanya ulama bermazhab Hanafi sahaja yang berpendapat bolehnya mengeluarkan zakat fitrah dengan duit.

Bahkan di dalam dalam kitab al-Umm, Imam Syafie lebih suka mengagih-agihkan sendiri zakat fitrah, katanya:


وَأَخْتَارُ قَسْمَ زَكَاةِ الْفِطْرِ بِنَفْسِي عَلَى طَرْحِهَا عِنْدَ مَنْ تُجْمَعُ عِنْدَهُ.

"Aku memilih untuk membahagi-bahagikan sendiri zakat fitrah daripada menyerahkannya kepada pengumpul zakat."


Memang ada riwayat yang menyatakan boleh mengeluarkan zakat fitrah dengan duit walaupun hujah yang lebih kuat adalah sebenarnya dengan makanan ruji, namun isunya di sini ialah, ia bukanlah pegangan dan mazhab Imam Syafie.


Bermakna, mereka yang membayar zakat dengan duit kepada pemungut zakat itu bukanlah 100% mengikuti mazhab Syafie. Rakyat Malaysia tidak boleh mengaku pun yang mereka bermazhab Syafie secara total.


Rakyat Malaysia sebenarnya mazhab bercampur-campur.

Di dalam urusan jual beli harian yang telah maju pada hari ini kebanyakannya menggunakan transaksi online dan vending machine yang juga sebenarnya TIDAK SAH jika mengikut mazhab Syafie kerana tiada akad "saya jual, saya beli" walaupun sah jika mengikut mazhab lain.

Tetapi tidaklah kita jumud dan taasub kepada mazhab. Cuma yang hairannya segelintir mereka ni membantah pula jika kita memilih untuk tidak mengikut mazhab Syafie dalam urusan yang lain, sekiranya dirasakan mempunyai dalil yang lebih kuat.

Pendek kata, prinsip yang mereka pegang adalah "mereka boleh, kita tidak".

Apa pun penulis memilih untuk mengeluarkan zakat beras dan mengagihkan sendiri kepada orang miskin setiap tahun sebagai usaha mendekati petunjuk Nabi ﷺ dalam beragama, إن شاء الله.


Perhatikan:

Zakat fitrah = dibayar dengan makanan ruji

Korban = dengan daging

Zakat atsman = dibayar dengan emas perak dan mata wang

Zakat pertanian = dibayar dengan tanaman

Zakat ternakan = dibayar dengan ternakan


Jika diperhatikan dengan teliti, sekiranya setiap umat Islam melakukan hal-hal semacam ini mengikut tertib yang Agama telah gariskan, ekonomi orang miskin akan meningkat dengan zakat, korban dan sedikit panduan memajukan diri.

Dapur orang miskin akan ada bahan ruji bersama daging sebagai makanan yang berguna, dan mereka akan terima tanaman dan ternakan yang boleh dibiakkan selain duit dari zakat harta dari tuan-tuan sekalian.

Jika aturan ini dipatuhi tidak mustahil keajaiban di zaman Umar Abdul Aziz berulang semula di mana zakat di zaman itu dipulangkan kembali kepada kerajaan kerana semua rakyatnya bukan orang miskin.

Fikir-fikirkan dan selamat beramal. ✌️



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments