5 Cara Bertasbih, Bertahmid, Dan Bertakbir Yang Sunnah Selepas Solat

OLEH: Ustaz Zulfadhli Bin Mohd Razi



Berdasarkan beberapa hadith-hadith yang boleh diterima dari sudut keshahihannya, dapat dibuat kesimpulan bahawa terdapat 5 cara yang sunnah dalam bertasbih (سبحان الله), bertahmid (الحمد لله)dan bertakbir (الله أكبر) selepas solat. Cara tersebut sebagaimana berikut:

PERTAMA: Menyebutkan Subhanallah (سبحان الله) 10 kali, Alhamdulillah (الحمد لله) 10 kali, dan Allahu Akbar (الله أكبر) 10 kali. Kesemuanya berjumlah 30 kali.

Ini berdasarkan hadith riwayat Abu Daud (hadith no 5065), al-Tirmizi (3410), al-Nasaie (1348) dan Ibn Majjah (926). Sanad hadith tersebut adalah jayyid (baik) dan dinilai shahih oleh al-Tirmizi dan lain-lain.

KEDUA: Menyebutkan Subhanallah (سبحان الله) 25 kali, Alhamdulillah (الحمد لله) 25 kali, Allahu Akbar (الله أكبر) 25 kali, dan La ilaha illah (لا إله إلا الله) 25 kali. Kesemuanya berjumlah 100 kali.

Cara ini adalah berdasarkan hadith riwayat al-Nasaie dalam Sunan beliau (hadith no 1350) dan (hadith no 1351). Himpunan kedua sanad tersebut menjadikan hadith tersebut sebagai shahih.

KETIGA: Menyebutkan Subhanallah (سبحان الله) 33 kali, Alhamdulillah (الحمد لله) 33 kali, dan Allahu Akbar (الله أكبر) 33 kali. Kesemuanya berjumlah 99 kali.

Ianya berpandukan sebuah hadith riwayat al-Bukhari (hadith no 843), (hadith no 6329) dan Muslim  (hadith no 595).

KEEMPAT: Menyebutkan Subhanallah (سبحان الله) 33 kali, Alhamdulillah (الحمد لله) 33 kali, dan Allahu Akbar (الله أكبر) 33 kali. Kesemuanya berjumlah 99 kali dan digenapkan 100 dengan mengucapkan:

لا إله إلا الله وحده لا شريك له له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير.

Cara ini sebagaimana terdapat dalam hadith riwayat Muslim (hadith no 597).

Perhatian: al-Imam Ibn Taimiyyah berpandangan bahawa kedua cara tersebut (ketiga dan keempat) adalah melalui dua hadith berbeza, jadi caranya juga berbeza. Ini juga pandangan al-Muhaddith al-Syeikh 'Abd Allah al-Sa'd hafizhahullah.

KELIMA: Menyebutkan Subhanallah (سبحان الله) 33 kali, Alhamdulillah (الحمد لله) 33 kali, dan Allahu Akbar (الله أكبر) 34 kali. Kesemuanya berjumlah 100 kali.

Sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Muslim (hadith no 596).

Kesemua cara tersebut adalah warid melalui sunnah Nabi shallallahu'alaihiwasallam dan boleh diamalkan. Wallahua'lam.

Sumber: Petikan dan ringkasan daripada buku berjudul الدعوات والأذكار المأثورة عن النبي صلى الله عليه وسلم في اليوم والليلة oleh al-Muhaddith al-Syeikh Abd Allah al-Sa'd hafizhahullah (m/s 142-146. Cetakan pertama, tahun 1438 H. Dar al-Muhaddith, Riyadh)

Catatan: Nombor hadith adalah sebagaimana yang tercatat dalam sumber rujukan tersebut.



___________________________
~Ustaz Zulfahdli Bin Mohd Razi ~
Pendakwah Bebas
_____________________________




Comments