Damailah Wahai Komuniti Sunnah

OLEH : Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya

Allaahul Mustaan. Dari isu bacaan Yasin malam Jumaat, meletus marak bak letupan paip gas Putra Heights. Banyak kalau saya nak #intoscene mengulas. Tapi saya rasa yang terbaik adalah saya bersama dalam arus mendamaikan kesemua pihak. Sudah pasti saya secara peribadi ada pendirian saya kepada yang saya lebih cenderung. Namun untuk maslahah komuniti Sunnah yang sudah sedia kecil dan masih pun kecil lagi minoriti, saya doakan ada pihak ketiga yang lebih dihormati oleh semua pihak mampu kedepan untuk mendamaikan.

Dan saya yakin lagi pasti in shaa Allah, penyokong-penyokong bagi pihak-pihak yang berselisih ini pun majoritinya tak gembira dengan perselisihan di media sosial yang terus berlanjutan ini. Talbis Iblis itu benar yang mana kita semua komuniti Sunnah dah hadam pengajian tentangnya. Ikut nafsu memang saya dan ramai dari kita nak muntahkan komen dan kritikan yang konon kita rasa ilmiah dan adil lagi bijaksana. Namun hakikatnya, rasa itu tidak lebih sekadar hiasan dari iblis yang inginkan para mukminin sentiasa bertelagah walau hanya kerana perbezaan kecil.
Sahabat-sahabat, beza kita tidak banyak. Beza kita juga hakikatnya bukan kerana ilmu bukan juga kerana manhaj kecuali sedikit. Dalam banyak usul dan asas kita bersama dan kita semua faham kita semua takkan pernah consensus dalam semua perkara. Allah sebut jelas hal ini dalam Al-Quran. Ia hanya bermula dengan hal duniawi yang diapi-apikan dari bara yang malap kemudian ditiup oleh angin-angin hearsays, dan disemarakkan lagi dengan talbis iblis yang berjaya mendidik sikap ego kita. Tolong jangan nafikan kita semua ada ego. Ego yang besar terkadang lebih besar daripada sesetengah mereka yang mempromosikan amalan bidaah.
Lalu kita nak ke mana dengan pertempuran yang tiada untung ini? Nak menang sorak kampung dakwah kita terbakar dek api ego kita yang rakus?
Saya doakan sahabat-sahabat sekalian yang saya kasihi kerana Allah.. jentiklah fitrah kasih sayang yang Allah cipta dalam diri masing-masing. Berlembutlah, berislahlah dan berdamailah. Jika pun bukan untuk kekal bersama dalam baki perjalanan ini, paling tidak untuk bersetuju agar tiada lagi perselisihan yang tidak perlu dizahirkan pada khalayak mad'u yang terpaksa memerah benak otak mereka bukan kerana nak hadam ilmu yang kita sampaikan, tapi nak faham apa sebenarnya kemelut dan konflik yang sedang kita tontonkan buat mereka.
أسأل الله لكم دوام العون والتوفيق والسداد

Comments