Pendapat Imam Ibnu Taymiyyah Dalam Masalah Qada Solat Fardhu

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Pendapat Imam Ibnu Taymiyyah dalam masalah qada solat fardu yang ditinggalkan dengan sengaja mungkin tepat mungkin tidak. Tetapi, menggelar orang yang berpendapat begitu dengan gelaran “Wasabi” dan seumpamanya bukan adab ahli ilmu. Namun, begitulah yang berlaku dalam sebuah artikel bertajuk “SINGA MIFTAHUL ULUM SRI PETALING” bertarikh 3 Julai 2019.

Sebagai golongan yang mendakwa faqīh, mereka sepatutnya pandai membezakan antara golongan Kaum Muda, Taymī, Salafī, dan Wahhābī. Ini tidak, semuanya hendak dilonggokkan di bawah kelompok Wahhābī, seakan-akan mereka tidak pernah mendengar firman Allah, “maka berlaku adillah, (kerana) ia lebih dekat dengan ketakwaan” dan “Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”
Di hujung artikel tersebut, penulis menukilkan tulisan seorang ustaz bertajuk “ANTARA FAQIH DAN NAQIL...” yang memuji-muji “Singa Muftahul Ulum” tadi sebagai faqīh dan dalam tulisan itu, ustaz berkenaan memetik kata-kata yang disandarkan kepada Imam Sufyān b. ‘Uyaynah, "menyerahkan (urusan hukum-hakam) kepada para faqīh adalah keselamatan dalam agama"

Kata-kata tersebut diriwayatkan oleh Khatib al-Baghdādī dalam Tārīkh Baghdād daripada ‘Alī b. Abū ‘Alī al-Baṣrī, daripada ayahnya, daripada Abū Bakr Muḥammad b. Ḥamdān b. al-Ṣabbāḥ al-Naysābūrī, daripada Aḥmad b. al-Ṣalt, daripada Bishr b. al-Walīd al-Qāḍī, katanya:

كنا نكون عند ابن عيينة، فكان إذا وردت عليه مسألة مشكلة يقول: هاهنا أحد من أصحاب أبي حنيفة؟ فيقال: بشر، فيقول: أجب فيها، فأجيب، فيقول: التسليم للفقهاء سلامة في الدين.
“Kami berada di sisi (Sufyān) b. ‘Uyaynah. Apabila didatangkan masalah yang sulit, beliau bertanya ‘ada sesiapa murid Abū Ḥanīfah di sini?’ Ada yang menjawab, ‘Bishr.’ Katanya, ‘jawablah.’ Maka saya menjawab. Beliau lalu mengatakan, ‘menyerahkan (urusan hukum-hakam) kepada para faqīh adalah kesejahteraan dalam agama.’”

Riwayat ini sebenarnya palsu. Aḥmad b. al-Ṣalt atau nama lainnya, Aḥmad b. ‘Aṭiyyah pendusta yang mencipta hadis palsu. Kata Khatib al-Baghdādī yang meriwayatkan kisah tadi, “beliau meriwayatkan daripada Thābit b. Muḥammad al-Zāhid, Abū Nu‘aym al-Faḍl b. Dukayn... hadis-hadis yang kebanyakannya batil. Beliaulah yang menciptanya.” Selain itu, beliaulah yang dituduh oleh Imam al-Dāraquṭnī memalsukan kitab Mukram b. Aḥmad tentang kelebihan Imam Abū Ḥanīfah seperti yang diceritakan sebelum ini.

Kepalsuan kata-kata ini makin terserlah kerana kononnya diucapkan oleh Sufyān b. ‘Uyaynah untuk memuji Imam Abū Ḥanīfah dan murid-muridnya, sedangkan “yang mahfūẓ daripada Ibnu ‘Uyaynah ialah mencela Abū Ḥanīfah,” sebagaimana kata Khatib al-Baghdādī lagi. Dalam riwayat yang sahih – yang diriwayatkan daripada dua jalan, pertama daripada al-Ḥumaydī dan kedua daripada Muḥammad b. Abū ‘Umar – beliau mengatakan:

ما ولد فِي الإسلام مولود أضر على الإسلام من أبي حنيفة.
“Tidak lahir dalam Islam bayi yang lebih menimbulkan kemudaratan kepada Islam daripada Abū Ḥanīfah.”

Sekali lagi diulangi bahawa kata-kata yang dinukilkan oleh ustaz dan dinukilkan semula oleh penulis artikel adalah palsu. Kepalsuan kata-kata ini tidak akan dapat diketahui oleh faqīh yang tidak mempelajari ilmu hadis dan athār. Maka, sebagaimana mereka mahu menyebut “menyerahkan (urusan hukum-hakam) kepada para faqīh adalah keselamatan dalam agama,” maka saya juga ingin mengatakan:

“Menyerahkan (urusan riwayat) kepada ahli hadis itu juga keselamatan dalam agama.”



Antara pendapat yang diingkari umum ialah pendapat tidak perlu qada solat yang ditinggalkan dengan sengaja. Pendapat yang masyhur sebagai pendapat Imam Ibnu Ḥazm (456 H) dan Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah (728 H) tersebut cuba ditonjolkan sebagai syaz dan bercanggah dengan ijmak yang muktabar oleh golongan yang kurang cermat dalam bidang riwayat dan nukilan pendapat ulama. Dalam laman KTMFWdM disebut:

“Satu lagi ciri Wahabi ialah mereka menolak pendapat jumhur ulama empat mazhab yang mewajibkan qada solat yang ditinggalkan dengan sengaja.”

Mereka membawakan petikan daripada kitab al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab oleh Imam al-Nawawī (676 H) yang menyebutnya sebagai pendapat yang diijmakkan ulama yang pendapat mereka diambil kira secara taklid buta, tanpa mengetahui bahawa pendapat ini telah didahului oleh beberapa orang ulama yang muktabar di sisi Ahli Sunnah. Selain ulama mazhab Ẓāhirī yang pendapat mereka diabaikan oleh ulama, mereka ialah:


Pertama, Ḥasan al-Baṣrī (110 H), tabiin terkenal.

Kedua, Imam Ḥumaydī (219 H), pengarang Musnad al-Ḥumaydī, murid Imam al-Shāfi‘ī.

Ketiga, al-Jūzajānī (259 H), penulis Aḥwāl al-Rijāl, ahli hadis.

Keempat, Ibnu Binti al-Shāfi‘ī (295 H), cucu Imam al-Shāfi‘ī. Beliau termasuk dalam kalangan ulama mazhab Shāfi‘ī tetapi terdapat beberapa pendapatnya yang ganjil dan bercanggah dengan empat mazhab, termasuk pendapat ini.

Kelima, al-Barbahārī (329 H), penulis Sharḥ al-Sunnah, bermazhab Ḥanbalī.

Keenam, Ibnu Baṭṭah (387 H), penulis al-Ibānah, bermazhab Ḥanbalī.

Menariknya, walaupun bercanggah dengan kesepakatan empat mazhab, pendapat ini dirājiḥkan oleh Imam Ibnu Rajab al-Ḥanbalī (795 H) walhal beliau pernah menulis risalah al-Radd ‘alā Man Ittaba‘a Ghayr al-Madhāhib al-Arba‘ah (Sanggahan ke atas Orang Yang Mengikut Selain Mazhab Empat). Katanya mempertikaikan ijmak dalam masalah ini:

وكيف ينعقد الإجماع مع مخالفة الحسن، مع عظمته وجلالته، وفضله وسعة علمه، وزهده وورعه؟
“Bagaimana berlaku ijmak dalam keadaan Ḥasan (al-Baṣrī), orang yang hebat, mulia, tinggi, mempunyai ilmu yang luas, zuhud, dan warak itu menyalahinya?”

Namun begitu, saya lebih cenderung kepada pendapat yang mewajibkan qada khususnya jika solat yang ditinggalkan tidak banyak. Saya menyenaraikan nama-nama ulama ini hanya sebagai amanah ilmu, kerana kita perlu berlaku adil walaupun terhadap musuh.

Dan harus diingat bahawa pendapat tidak mewajibkan qada ini walaupun nampak ringan, tetapi hakikatnya berat kerana pertama, solat tersebut bukan sahaja tidak wajib, malah tidak sah jika dilakukan yang bererti solat yang terlepas waktunya tidak boleh dilaksanakan semula selama-lamanya.
Dan kedua, ada kemungkinan ia berasaskan pendapat bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja sudah murtad dan orang yang murtad tidak perlu mengqada ibadat yang ditinggalkan.
Wallahualam.
___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments