OLEH : Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Kerana miskin ada yang terpaksa menghantar anak ke sekolah biasa membiarkan anak-anak bergaul bebas lelaki perempuan. Kerana tiada pilihan ada yang terpaksa mengambil peluang bekerja di kedai runcit atau kedai serbaneka yang menjual rokok dan minuman keras.
Lantaran kesempitan hidup, ada yang menangis kerana terpaksa berniaga di pasar malam sampai tidak sempat berjemaah dan mendengar kuliah di masjid seperti orang lain. Ramai juga hanya mampu memendam hasrat menyambung pengajian dalam bidang agama kerana terpaksa menyara adik-adik dan ibu bapa yang uzur.
Disebabkan tidak mampu, ada yang terpaksa menumpangkan keluarga di rumah ibu bapa atau mentua sehingga kadang-kadang terabai soal aurat dan khalwat antara isteri dengan adik-beradik lelaki atau biras sendiri. Ada juga dengan berat hati merelakan isterinya yang cantik bekerja dengan lelaki lain.
Begitulah dugaan hidup: konflik antara kehendak diri menjaga agama dan mencintai ilmu dengan realiti perit getirnya kehidupan.
Orang-orang di sekeliling hanya pandai berlakon simpati, berbasa-basi dengan ayat "Insya-Allah, kalau ada duit lebih nanti...", lalu berpura-pura mendoakan, dan pelan-pelan menghilangkan diri (dengan mobil baru). Atau, secara sinis menghukum, malah mengeji, tanpa memberikan sebarang solusi.
Tidak kurang yang menasihatkan supaya menyerah kalah sahajalah dengan keadaan, jadi seperti mereka, jadi seperti orang kebanyakan - orang-orang yang jahil, yang tidak tahu apa-apa tentang agama selain solat dan puasa.
Hanya Allah yang tahu betapa meronta-rontanya diri ingin lari keluar dari dunia ini.
Photo by Towfiqu barbhuiya on Unsplash

Comments
Post a Comment