Isu Rogol Dalam Kalangan Pelajar: Cerminan Krisis Moral & Akhlak Generasi Muda

 OLEH: Ustaz Huzaifah Hadis

Isu rogol yang berlaku dalam kalangan pelajar bukanlah sesuatu yang terjadi secara tiba-tiba. Perbuatan sedemikian pasti mempunyai perancangan dan pengaruh tertentu, apatah lagi jika dilakukan di dalam kawasan sekolah, tempat yang sepatutnya menjadi benteng keselamatan dan akhlak.
Keberanian pelaku melakukan jenayah sebegitu menunjukkan betapa tenatnya keruntuhan moral dan akhlak dalam kalangan generasi muda hari ini.
Kepintaran dan kecerdikan seseorang tidak menjamin dirinya bebas daripada maksiat. Pandai dan genius bukan ukuran sebenar nilai diri jika akhlak dan iman diabaikan.
Justeru, kita perlu meneliti apa yang membentuk pemikiran anak-anak muda masa kini.
Lihat sahaja bahan bacaan yang laku dalam pasaran remaja, adakah kandungannya membina nilai atau sekadar menghiburkan nafsu dan emosi semata-mata?
Apabila buku, media dan hiburan yang membentuk minda mereka disuntik dengan nilai yang songsang, maka rosaklah akhlak dan cara berfikir mereka.
Sebaliknya, jika bahan bacaan yang sampai kepada mereka dihasilkan oleh penulis yang berakhlak dan berilmu, insya-Allah hasilnya juga akan melahirkan generasi yang baik.
Dalam hal ini, tidak adil jika seluruh kesalahan diletakkan di bahu guru semata-mata. Guru hanyalah sebahagian daripada sistem pendidikan yang lebih besar.
Peranan ibu bapa, masyarakat dan media turut sama penting dalam membentuk persekitaran moral yang sihat untuk generasi akan datang.
Selain daripada buku, game dan kartun yang di layari turut memainkan peranan kepada pembentukan akhlak seseorang remaja, begitu juga artis dan influencer yang di follow turut memberi kesan.
Bayangkan, hari tu saya pergi berjalan di pameran buku PBAKL. Di Popular terlalu banyak buku-buku berwarna hitam dgn tajuknya "masyallah" . Saya yakin pihak penerbit tidak berani untuk melabur sebegitu besar buku jikalau tiada pasaran yang "hot".
Itu baru buku.
Belum lagi web yang di layari, hatta jikalau kerajaan "ban" website-website pornografi ini, tetap mudah diakses dgn pelbagai cara.
Belum lagi game yg dimainkan samada benar-benar mematuhi syarak atau paling kurang selamat atau tidak? Sedangkan itulah bahan tontonan dan mainan mereka saban hari.
Tak termasuk circle yang mereka berkawan, bagaimana cara percakapan dsb.
Kenapa pada zaman Rasulullah, kurang berlaku isu ini?
Mereka tiada bahan pembelajaran lain melainkan al-Quran dan as-Sunnah. Mereka tiada idola lain melainkan Rasulullah. Mereka tiada amalan lain melainkan ibadah.
Hatta sesiapa yang tidak datang bersolat secara berjemaah pada waktu Isyak dianggap munafik.
Itu zaman Rasulullah.
Bagaimana pula zaman kini?
Bagaimana pula dgn generasi muda masa kini, itu tak termasuk golongan tua yang taksub parti sampai sanggup maki hamun pemimpin yang tidak se"warna" dalam partinya dlm posting media sosial dan komentar.
Tak termasuk lagi, golongan yang memang rendah akal dan budi yang bahasa carut marut menjadi makanan seharian seolah-olah tanpa bahasa sebegitu ia tidak kenyang pada hari tersebut sedangkan ianya turut dibaca dan didengar oleh generasi muda ini.
Sebegitu dahsyat environment sebenar yang perlu dihadam oleh generasi muda. Jikalau ada panduan daripada ibu bapa, alhamdulillah. Sekiranya duduk didalam circle rakan yang baik-baik, alhamdulillah.
Tetapi jikalau tiada?
Di sana ada golongan kapitalis yang lebih mementingkan keuntungan dunia berbanding moral dan akhlak. Mereka sanggup invest dalam apa sahaja pasaran dan industri yang menguntungkan sekalipun merosakkan remaja.
Mereka tidak peduli keruntuhan moral dan akhlak remaja. Saat seorang guru, seorang ibu dan seorang bapa mengajak anak muda itu ke arah kebaikan, ada ratusan iklan yang lebih menggiurkan mata mengajak ke arah keruntuhan moral dan akhlak. Ada puluhan media yang sanggup "invest" untuk meruntuhkan akhlak remaja di luar pagar sekolah dan kawalan ibu bapa.
Jadi, persoalannya, adakah wajar disalahkan kepada pihak yang tidak bersalah?
Adakah wajar disalahkan kepada sekolah sedangkan artis yang bertindak didalam meruntuhkan moral dan akhlak?
Adakah wajar disalahkan kepada guru semata, sedangkan produser filem, penerbit buku, pencipta games yang bertanggungjawab didalam meruntuhkannya?
Fikir-fikirkanlah...



Comments