OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Menurut keterangan ulama, akikah boleh dilakukan dengan menyembelih haiwan ternakan (an‘ām) yang merangkumi jenis ibil (unta), baqar (lembu), dan ghanam (kambing dan biri-biri). Ghanam pula terbahagi kepada dua iaitu ma’z (kambing) dan ḍa’n (biri-biri).
Oleh itu, sah akikah dengan kerbau kerana termasuk dalam jenis lembu. Pada masa yang sama, tidak sah akikah dengan kuda, kijang, kancil, rusa, antelop, dan seladang kerana tidak termasuk dalam jenis-jenis haiwan tersebut. Daripada situ, diketahui bahawa tidak semestinya dengan mempunyai empat kaki haiwan menjadi an‘ām.
Walau bagaimanapun, keharusan akikah dengan jenis lembu diragui kerana Rasulullah SAW tidak pernah diriwayatkan mengadakan akikah dengan selain biri-biri melainkan dalam riwayat yang lemah. Seyogia dikhususkan akikah untuk biri-biri sahaja sebelum dibuat qiyās daripada biri-biri kepada jenis kambing. Ini adalah pendapat sebahagian ulama mazhab. Disebukan dalam al-Tawshīḥ ‘alā al-Tanbīh oleh Tāj al-Dīn al-Subkī, sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu al-‘Irāqī dalam Taḥrīr al-Fatāwī:
"Kata Abū al-Naṣr al-Bandanījī (495 H) dalam kitab al-Mu‘tamad dan nasnya, “tidak terdapat nas bagi al-Shāfi‘ī tentang akikah selain dengan kambing (ghanam). Bagi saya, tidak berhasil dengan selain daripadanya”. Abū Naṣr ini antara murid-murid besar Abū Isḥāq al-Shīrāzī (476 H)."
Ibarat ini seolah-olah meredai pendapat berkenaan sekurang-kurangnya sebagai satu pendapat dalam mazhab. Di samping itu, al-Sayūṭī (911 H) secara terang menjelaskan di bawah bab “Perbezaan Korban dan Akikah”:
"(Korban dan akikah) berbeza – dengan binatang korban terdiri daripada unta, lembu, dan kambing (ghanam) sementara akikah hanya dengan kambing (ghanam)."
Wallahualam.
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment