Sunnah Kopiah Atau 'Sunnah' Janggut?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Saya pernah ditegur semasa sedang solat kerana memakai jubah atau menyimpan janggut, tetapi tidak berkopiah. Saya juga pernah ditegur selepas solat kerana tidak menyelak rambut daripada menutup dahi semasa sujud, katanya solat saya tidak sah.

Saya tidak mahu menyentuh hukum memakai kopiah. Saya sendiri meskipun sekarang jarang berkopiah selepas bekerja di syarikat biasa, dulunya sangat menjaga kopiah. Yang hendak dijelaskan di sini, janggut tidak wajar dibandingkan dengan kopiah.

Hal ini demikian kerana janggut ada disebutkan dalam hadis qawlī yang sahih, dan sebahagian ulama mewajibkan lelaki menyimpannya atau sekurang-kurangnya tidak mencukurnya sebagai tuntutan syarak melalui nas, bukan semata-mata kerana 'urf.

Dan saya pelik, bagaimana ramai orang yang memakai jubah dan serban kerana mahu mengamalkan sunnah, pada masa yang sama memotong janggut, selain melabuhkan jubah atau kain, sedangkan memanjangkan janggut dan menyingkatkan pakaian, lebih sunnah dan lebih dituntut.

Pernahkah kita mendengar Rasulullah SAW mengancam sesiapa yang tidak memakai serban atau jubah dengan azab sekian dan sekian? Saya rasa tidak, tetapi untuk melabuhkan pakaian, ada banyak hadis mengenainya, walaupun ulama berselisih pendapat antaranya adakah larangannya secara mutlak atau khusus untuk orang yang melakukannya kerana sombong.

Berkenaan sujud di atas rambut pula kerana tidak memakai kopiah pula, hukumnya sah di sisi mazhab selagi ada mana-mana bahagian dahi - walaupun sedikit - terkena tempat sujud. Dalam al-Umm dinaskan bahawa sekiranya seseorang sujud di atas kain yang koyak rabak dan ada sesuatu daripada dahinya menyentuh lantai, sujudnya sah.

Jika diperhatikan, orang yang tidak berkopiah dan tidak menyelak rambut semasa sujud, sebahagian dahinya tetap menyentuh lantai, maka tidak ada masalah dalam hal ini.


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments