Ulama Menukilkan Hadis Tandanya Ulama Itu Tidak Anggap Hadis Itu Munkar Atau Palsu?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Ada pihak mendakwa apabila ulama mengamalkan dan menukilkan mana-mana hadis, ertinya mereka mensahihkan atau setidak-tidaknya tidak menganggapnya munkar atau palsu. Dakwaan ini separuh benar walaupun diucapkan oleh seorang ulama, kerana:

1. Secara asasnya, hadis ḍa‘īf boleh diamalkan dalam faḍā‘il al-a‘māl dengan khilaf mengenai mafhum faḍā‘il al-a‘māl dan syarat-syaratnya. Jadi, ada kemungkinan mereka mengamalkannya kerana beranggapan hadis tersebut ḍa‘īf, bukan kerana menganggapnya sahih.

2. Sesuatu hadis mungkin ḍa‘īf secara marfū‘ daripada Nabi SAW, tetapi sahih secara mawqūf daripada sahabat. Jadi, ada kemungkinan mereka mengamalkannya sebagai athar sahabat yang sahih.

3. Boleh jadi mereka betul-betul menerima hadis berkenaan sebagai sahih atau paling kurang ḍa‘īf, namun dalam ilmu hadis, apabila zahir ‘illah yang mencacatkan sesuatu hadis, pensahihan tersebut tidak diambil kira. Kaedah mengatakan, “al-muthbit muqaddam ‘alā al-nāfī”, maka yang mengisbatkan 'illah perlu diutamakan daripada yang menafikan.

4. Dalam ilmu jarḥ wa-ta‘dīl disebutkan, “al-jarḥ al-mufassar muqaddam ‘alā al-ta‘dīl”, maka begitu juga dalam mentarjīḥkan penilaian ulama, yang mencacatkan hadis dengan menyebut ‘illah patut didahulukan daripada yang mensahihkan, apatah lagi yang dikatakan taṣḥīḥ itu hanyalah melalui amalan dan penukilan.

5. Jika sesuatu hadis yang jelas ‘illahnya menjadi sahih atau boleh diamalkan semata-mata kerana sebahagian ulama mengamalkan dan menukilkannya, hadis-hadis dan athar salaf yang mengisbatkan Allah di langit juga dijadikan hujah dan dinukilkan oleh ramai ulama muktabar seperti Imam al-Shāfi‘ī dan al-Ṭaḥāwī, malah disokong dengan banyak nukilan ijmak, tetapi tetap dipertikaikan oleh sesetengah pihak.

6. Dalam ilmu hadis, untuk mensahihkan dan menolak taḍ‘īf mana-mana hadis, seseorang perlu menafikan semua ta‘līl yang dibuat oleh pihak yang melemahkan satu persatu, seperti yang dibuat oleh Ibnu Ḥajar untuk menolak ta‘līl yang dikemukakan oleh Ibnu Ḥazm untuk menolak hadis ma‘āzif. Amalan dan penyebutan para ulama tanpa mengingkarinya mungkin boleh digunakan untuk menguatkan sekurang-kurangnya maknanya, tetapi tidak boleh digunakan sebagai hujah untuk menafikan 'illah.


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments