Jawab Sahaja "Aku Tak Tahu"

OLEH: Zulfikar Egar

Ada orang bertanya kepada al-Sya'bi;

"Adakah tuan tidak malu menjawab 'tidak tahu' untuk banyak soalan yang diajuakan kepada tuan?"

Beliau menjawab;

" Ketika ditanya tentang perkara yang tidak diketahui, para malaikat berkata;

"Maha Suci Tuhan, kami tidak mengetahui melainkan apa-apa yang Engkau ajarkan kepada kami. Engkau Yang Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana." 
[Surah Al-Baqarah 2:32]

Begitu juga dengan Ibnu Umar -Radhiyallahu ‘anhuma- .

Di mana apabila Sahabat Nabi ini ditanya tentang sesuatu perkara yang beliau tak tahu.

Maka akan dijawab olehnya: "Aku tak tahu".

Kemudian beliau berkata;

"Adakah kamu mahu jadikan belakang kami sebagai jambatan kamu ke jahannam (neraka), kamu berkata: Ibnu Umar telah bagi fatwa kepada kami!"

Bahkan pernah satu ketika Imam Malik rahimahullah (pengasas Mazhab Maliki) sendiri pun pernah ditanya dengan berpuluh-puluh soalan.

Hanya beberapa soalan sahaja dapat dijawab olehnya.

Bila si penanya soalan berkata;

"Apakah jawapan hendak diberi nanti kepada orang ramai, sebab banyak soalan-soalan itu tak dijawab oleh Imam Malik?"

Lantas dijawab oleh Imam Malik rahimahullah;

"Katakanlah, Imam Malik tidak tahu".

Lihatlah! Para malaikat, sahabat nabi dan imam-imam besar pun. Mereka pun tidak malu mengatakan tidak tahu sekiranya memang tidak tahu akan sesuatu perkara.

Apatah lagi kita ini, yang semestinya banyak lagi perkara yang tidak tahu.

Oleh itu adalah baik untuk setiap dari kita mempunyai kerangka minda "Aku tidak tahu".

Jika tidak. Kita akan merasakan diri sendiri sentiasa betul.

Walaupun kita mungkin tahu dalam sesuatu bidang, tapi bukan bermakna kita sentiasa betul dalam apa jua hal.

Merasakan diri sentiasa betul adalah ciri-ciri yang terdapat pada Iblis. Rujuklah semula kisah Iblis ketika diperintahkan sujud kepada Nabi Adam A.S.

Usahlah kita menjadi Iblis yang kedua.

Wallahualam


___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments