OLEH: Ustaz Idris Bin Sulaiman
Terdapat sebahagian kelompok yang mendakwa berpegang kepada prinsip taat kepada pemerintah, tetapi jika diperhalusi, ternyata bahawa apa yang mereka maksudkan dengan pemerintah ialah Yang di-Pertuan Agong sahaja; tidak termasuk Perdana Menteri.
Ini menimbulkan kemusykilan besar. Mengapa?
Ini kerana umum mengetahui bahawa Yang di-Pertuan Agong TIDAK menjalankan kerja-kerja pemerintahan negara; mengeluarkan arahan, ketetapan dan keputusan. Sebaliknya yang melakukan kerja-kerja ini ialah Perdana Menteri.
Perkara ini sejajar dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Berdasarkan hakikat ini, dapat kita simpulkan bahawa golongan yang mendakwa ‘taat kepada pemerintah’, mereka ini tidak lebih sekadar beretorik sahaja; teori tanpa praktikal. Mereka lebih pandai berbicara daripada beramal.
Mengapa? Kerana kita semua tahu bahawa Yang di-Pertuan Agong TIDAK memberi apa-apa arahan kepada rakyat jelata. Maka ketaatan bagaimana yang mereka maksudkan kepada Yang di-Pertuan Agong? Apa yang mereka taat? Dan apa yang mereka lakukan untuk Yang di-Pertuan Agong? Jawapannya, tiada apa-apa.
Adapun Perdana Menteri yang secara jelas menjalankan kerja-kerja pentadbiran negara, memberi arahan itu dan ini, termasuklah menyeru rakyat jelata supaya memberi mandat kepadanya untuk terus mentadbir negara dalam pilihan raya; arahan dan seruan ini mereka tidak endahkan. Mengapa? Kerana Perdana Menteri bukanlah pemerintah yang wajib ditaati di sisi mereka.
Maka akhirnya dakwaan mereka ‘taat kepada pemerintah’ tinggal hanya dakwaan sahaja tanpa hasil atau amalan.
Lihat bagaimana mereka memperlakukan hadis-hadis Nabi sallalahu alaihi wasallam untuk hanya beretorik dan menjadikannya sebagai dakwaan di lisan tanpa amal.
Sikap berhelah seperti ini sangat tidak wajar apabila dengan hujah-hujah Agama mereka menolak ketetapan-ketetapan Agama itu sendiri.
2. Syubhah Perdana Menteri Hanya Wakil Pemerintah
Tambah mengelirukan apabila mereka timbulkan syubhah mengatakan bahawa Perdana Menteri hanyalah wakil pemerintah, dengan erti kata Perdana Menteri bukanlah pemerintah yang sebenar, sebaliknya dia hanyalah wakil Yang di-Pertuan Agong selaku pemerintah negara.
Mereka menggambarkan seolah-olah Perdana Menteri menjalankan kerja-kerja pemerintahan berdasarkan arahan yang diterima daripada Yang di-Pertuan Agong.
Adakah ini benar? Tidak sama sekali.
Perlembagaan Negara secara jelas menyebutkan bahawa Perdana Menteri perlu bertindak menasihati Yang di-Pertuan Agong, manakala Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak MENGIKUT NASIHAT PERDANA MENTERI.
Jelas ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri bukan sekadar wakil pemerintah, sebaliknya dialah pemerintah negara yang sebenarnya; yang menjalankan kerja-kerja pemerintahan dan pentadbiran negara.
3. Menggelar Golongan Bersama Perdana Menteri Sebagai ‘Hizbi’
Hizbi berasal daripada kata dasar ‘hizb’, yang dalam bahasa Arab membawa erti kumpulan, jemaah, puak dan seumpamanya. Dari sudut istilah pula, ‘hizbi’ membawa erti kumpulan yang menisbahkan diri mereka kepada Islam tetapi mereka menyalahi ajaran Islam. Termasuk dalam erti ‘hizbi’ ialah kumpulan yang keluar daripada ketaatan pemerintah Muslim negara. Pendek kata, istilah ‘Hizbi’ adalah satu celaan yang membawa konotasi negatif kepada orangnya.
Setelah mengetepikan Perdana Menteri sebagai pemerintah negara, kelompok ini turut membawa syubhah mengatakan bahawa golongan yang bersama Perdana Menteri, mereka yang taat dan mempertahankannya ialah ‘hizbi’, yakni kelompok yang taasub kepada Perdana Menteri dan partinya, serta memecahbelahkan kesatuan Umat Islam dengan mengada-adakan kelompok-kelompok yang menyalahi ajaran Islam.
Subhanallah. Lihat bagaimana mereka menimbulkan syubhah mengelirukan Umat Islam untuk tidak bersama pemerintah Islam mereka. Sedangkan di Malaysia, Perdana Menteri selaku ketua kerajaan persekutuan adalah pemerintah negara yang wajib ditaati dalam hal makruf, dibantu dan dipertahankan.
Adapun golongan-golongan yang tidak bersama dengan pemerintah negara, mencerca dan berusaha untuk menjatuhkannya, mereka inilah yang layak untuk dikatakan sebagai ‘hizbi’ kerana mereka secara jelas menyalahi nas-nas Agama yang memerintahkan supaya taat kepada pemerintah Muslim dalam hal makruf, dan dilarang menjatuhkannya ataupun memeranginya.
Cuba kita renung, siapakah yang lebih layak dikatakan sebagai ‘hizbi’? Golongan yang bersama pemerintah Muslim negara, yang berusaha keras mempertahankan kerajaan demi kestabilan politik dan keamanan negara, atau golongan yang menentang pemerintah, yang mahu menimbulkan kekacauan dan mahu terus melebarkan jurang perpecahan dalam kalangan Umat Islam?
Ironinya mereka melakukan perkara-perkara mungkar ini dengan alasan nasihat, amar makruf dan nahi mungkar, untuk menaikkan pemerintah yang ‘aslah’ (lebih baik) dan sebagainya.
4. Syubhah Perdana Menteri Tidak Perlu Dipertahankan
Mereka turut menimbulkan syubhah mengatakan bahawa Perdana Menteri tidak perlu dipertahankan. Ini kerana, menurut mereka, Perdana Menteri itu naik ke tampuk kuasa melalui jalan demokrasi, dan demokrasi ialah taghut; menyalahi ajaran Islam.
Hampir sahaja mereka menyerupai golongan Khawarij, yang tidak mahu mengiktiraf pemerintah negara kerana dakwaan-dakwaan seperti ini; kerana Perdana Menteri bukan khalifah, kerana dia tidak dilantik secara syura, kerana dia tidak berhukum dengan syariat Islam, bersifat sekular, membenarkan penjualan arak, melakukan kezaliman, korapsi dan sebagainya.
Walhal, ini sama sekali BUKAN ALASAN YANG DIPERAKUI OLEH SYARAK untuk tidak taat kepada pemerintah Muslim negara.
Syarak menyuruh supaya taat kepada pemerintah negara selagi mana dia MUSLIM dan MENDIRIKAN SOLAT.
Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dalam kitab Sahih mereka, daripada Ubadah bin As-Saamit radhiallahu anhu, katanya:
دَعَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعْنَاهُ، فَكَانَ فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ، فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا، وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا، وَأَنْ لاَ نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ، إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا، عِنْدَكُمْ مِنَ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ.
“Nabi sallalahu alaihi wasallam memanggil kami lalu kami berbaiah kepadanya. Dan antara apa yang kami baiah kan adalah untuk mendengar dan taat, dalam hal yang kami suka dan hal yang kami benci, ketika susah dan ketika senang, dan dalam keadaan kami terpaksa mengetepikan kepentingan diri. Kami juga hendaklah tidak melawan pemerintah; KECUALI jika kamu MELIHAT KEKUFURAN JELAS yang kamu mempunyai buktinya daripada Allah.”
Dalam riwayat Auf bin Malik radhiallahu anhu, ketika Nabi sallalahu alaihi wasallam ditanya tentang apakah pemerintah yang jahat itu tidak boleh diperangi, Baginda bersabda:
لَا، مَا أَقَامُوا فِيكُمُ الصَّلَاةَ
“Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat dalam kalangan kamu.”
(Riwayat Muslim)
Kata Imam As-Syaukani dalam kitabnya Nailul Awtaar ketika membawakan hadis di atas, “Terdapat di sini dalil bahawa para pemerintah tidak boleh diperangi dengan pedang selagi mana mereka solat.”
5. Syubhah ‘Kerajaan Sementara’
Hampir sahaja syubhah-syubhah mereka bertali arus tanpa henti. Satu demi satu mereka bawa sehingga membuatkan seseorang itu hairan mengapa mereka bermati-matian tidak mahu mengakui bahawa Perdana Menteri adalah pemerintah negara yang wajib ditaati dan dikekalkan. Seakan-akan ada sesuatu yang tersirat.
Sedangkan permasalahan taat kepada pemerintah bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami ataupun dipraktikkan. Ia boleh difahami oleh semua orang; golongan bijak pandai dan juga masyarakat awam.
Seperti mana-mana perintah Syarak, ia mudah dan jelas, manakala pelaksanaannya pula bergantung kepada kemampuan.
Menurut mereka, setelah parlimen dibubarkan, maka Perdana Menteri dan kerajaan yang ada adalah bersifat sementara sehinggalah terbentuknya sebuah kerajaan yang baharu selepas pilihan raya.
MasyaAllah. Hampir sahaja seseorang itu terus berkerut-kerut dahinya memikirkan cara pemikiran golongan ini.
Lihat bagaimana sikap mereka. Setelah dijelaskan kepada mereka bahawa Perdana Menteri adalah pemerintah negara, mereka mengemukakan pula alasan bahawa memandangkan kini parlimen telah dibubarkan, maka Perdana Menteri sekarang hanyalah bersifat sementara. Dengan kata lain, tidak perlu untuk rakyat jelata mentaatinya, mahupun mempertahankannya dalam pilihan raya.
Sedaya upaya mereka tidak mahu mengakui bahawa Perdana Menteri adalah pemerintah negara yang wajib dipertahankan dalam pilihan raya.
Sikap sebegini sangat tidak wajar. Sebagai seorang Muslim, kita berkewajipan untuk melaksanakan perintah-perintah Agama dengan sedaya upaya. BUKAN MENGELAK daripada melaksanakannya dengan memberikan alasan itu dan ini.
Sekalipun soal sama ada Perdana Menteri bersifat sementara atau tidak masih boleh dibahaskan, tetapi andaikan benar bahawa beliau memang bersifat sementara, adakah ini satu alasan untuk kita tidak mengiktiraf beliau sebagai pemerintah yang wajib ditaati dan dipertahankan?
Akhirnya semua yang ada di dunia sememangnya bersifat sementara, tiada apa yang akan terus kekal.
Walaupun bersifat sementara (dakwaan ini hakikatnya tidak benar), tetapi apa yang pasti Perdana Menteri masih tetap kekal sebagai pemerintah negara, yang terus menjalankan kerja-kerja pentadbiran negara, seperti sebelum parlimen dibubarkan. Pejabatnya masih ada, potretnya masih tergantung (soal keharusannya adalah satu isu lain), dan andainya berlaku apa-apa kecemasan, arahan dan panduannya jualah yang akan dipatuhi.
Inilah realitinya. Hanya kita sahaja yang tidak mahu mengakuinya. Hampir sahaja kita mempunyai mata tetapi kita memilih untuk tidak melihat, mempunyai telinga tetapi kita memilih untuk tidak mendengar.
Benar kata Syeikh Nasiruddin Al-Albani, “Orang yang mencari kebenaran, satu dalil sudah cukup baginya, adapun orang pengikut hawa nafsu, seribu dalil pun tidak akan cukup.”
Untuk penjelasan lanjut, pembaca boleh rujuk kepada buku Pilihan Raya Malaysia karangan penulis bersama ilmuwan-ilmuwan yang lain.
Wallahualam.
___________________________
Ustaz Idris Sulaiman
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment