Di Manakah Kedudukan Tarannum dalam Ilmu-Ilmu Al-Quran?

OLEH: Ustaz Abu Najla' Fariz Zainal

Al-Imam Jalaluddin As-Suyuti rahimahullah, seorang alim besar ilmu-ilmu Al-Quran, Tafsir, Hadith dan Fiqh telah menulis karya paling penting dan sangat masyhur dalam bidang Ulum Al Quran iaitu Al-Itqan fi Ulum al Quran. Ia menjadi rujukan standard para alim ulama dan sarjana Al Quran seluruh dunia dari dahulu hingga sekarang.

Kajian Qism al-Buhuth wa ad-Dirasat, Al Muntada Al Islami, UAE, mendapati, Al-Imam Jalaluddin As-Suyuti rahimahullah telah menyenaraikan dalam kitabnya Al-Itqan - 5 bahagian utama ilmu berkaitan Al Quran, 19 cabang besar ilmu-ilmu Al Quran, disusuli 57 cabang kecil dan 167 ranting-ranting ilmu-ilmu Al Quran.

Dan ilmu Tarannum/Maqaamaat Sautiyyah TIDAK TERMASUK dalam mana-mana bahagian/cabang besar/kecil/malah ranting-ranting ilmu-ilmu Al-Quran. Ini membawa kefahaman bahawa ada ilmu lain yang seharusnya diutamakan.

Boleh muat turun poster kajian di pautan ini:
http://islamhouse.com/ar/articles/339951/

Profesor Dr. Ibrahim bin Sa'd Ad Dusari hafizahullah, juga pakar Ilmu-ilmu Al Quran mengatakan bacaan berlagu ada dua. Yang dibenarkan adalah irama suara yang tabi'i keluar dari seorang insan ketika membaca Al Quran. Bacaan yang memenuhi hukum tajwid berserta penghayatan makna akan hadir bersamanya irama suara yang sesuai dan bertepatan. Inilah bacaan berlagu yang dikehendaki. Bacaan murattal biasa.

Adapun jenis kedua iaitu bacaan yang dibuat-buat dengan berasaskan ilmu muzik serta berlebih-lebihan dalam mempelajarinya dan berlatih dengannya, sehingga hukum tajwid dikompromi, maka ini adalah terlarang.

Adalah menjadi kesilapan sekiranya kelas-kelas tilawah Al Quran menitikberatkan pembelajaran tarannum, sehingga tujuan kelas adalah untuk bertanding dan meniru gaya pemenang-pemenang musabaqah. Sedangkan yang lebih utama, setelah mempelajari bacaan yang betul dengan tajwid yang baik, harus disusuli dengan hafazan dan pengajian tafsir.

Samahatus Shaikh Al-Allamah Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz rahimahullah malah berfatwa bahawa wajib kita membaca Al-Quran sebagaimana yang dibaca oleh para Sahabat dan Salafus Soleh, dengan tartil (memenuhi hukum tajwid), dengan khusyuk dan memberi kesan kepada hati yang mendengar. Dilarang melagukan bacaan di atas kaedah yang dibina atas asas ilmu muzik dan para penyanyi.

Maka berbalik kepada persoalan di atas iaitu di manakah kedudukan tarannum dalam ilmu-ilmu Al-Qur'an, jika dirujuk kembali kerangka Ulum Al-Qur'an susunan Al-Imam As-Suyuti rahimahullah, jawapannya TIADA.

Wallahua'lam.


___________________________
 Ustaz Abu Najla' Fariz Zainal
_____________________________

Comments