Beza Puasa Wajib dan Puasa Sunat

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Puasa wajib selain puasa Ramadan termasuklah puasa qada, nazar, dan kaffārah sama seperti puasa Ramadan. Berbeza dengan puasa sunat, seseorang yang mula berpuasa wajib tidak boleh membatalkannya tanpa keuzuran. Nas Imam al-Shāfi‘ī dalam al-Umm:

مَنْ دَخَلَ فِي صَوْمٍ وَاجِبٍ عَلَيْهِ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ أَوْ قَضَاءٍ أَوْ صَوْمِ نَذْرٍ أَوْ كَفَّارَةٍ مِنْ وَجْهٍ مِنْ الْوُجُوهِ... لَمْ يَكُنْ لَهُ أَنْ يَخْرُجَ مِنْ صَوْمٍ... مَا كَانَ مُطِيقًا لِلصَّوْمِ... وَإِنْ خَرَجَ مِنْ وَاحِدٍ مِنْهُمَا بِلَا عُذْرٌ مِمَّا وَصَفْت أَوْ مَا أَشْبَهَهُ عَامِدًا، كَانَ مُفْسِدًا آثِمًا عِنْدَنَا، وَاَللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ.
“Orang yang memulakan puasa yang wajib ke atas dirinya berupa puasa Ramadan, qada, puasa nazar, atau kaffārah daripada mana-mana bentuk..., tidak boleh keluar daripada puasa... selagi mampu berpuasa... Sekiranya ia keluar daripada salah satu daripanya (puasa dan solat wajib) tanpa keuzuran atau seumpamanya dengan sengaja, ia merosakkannya dalam keadaan berdosa di sisi kami. Allah taala lebih mengetahui.”

Perkara ini disepakati seluruh aṣḥāb mazhab Shāfi‘ī sehinggalah datang Imām al-Ḥaramayn al-Juwaynī (478 H). Katanya dalam bab tayammum dalam Nihāyah al-Maṭlab, tetapi tentang qada solat secara khusus dan qada ibadat secara umum:

ومن لزمته فائتة غيرُ مضَيَّقة، فشرع فيها، فما قدمته من القياس يقتضي جوازَ الخروج من الفائتة؛ فإنّها على التراخي.
“Sesiapa yang wajib ke atasnya yang terlepas yang ghayr muḍayyaqah (tidak perlu disegerakan), lalu mula melakukannya, maka qiyās yang telah aku bentangkan mengharuskan keluar daripadanya, kerana ia boleh ditangguhkan.”


Walaupun mengakui bahawa pendapat ini bercanggah dengan pendapat aṣḥāb seluruhnya, namun beliau tetap mengutarakannya kerana melihatnya kuat dan bertepatan dengan pendapat dan kaedah mazhab dalam masalah-masalah lain. Katanya:

وهذه فصولٌ رأيتها، فابتديتها، وما عندي أن الأصحاب يسمحون بهذا، ويجوّزون للشارع في فائتةٍ الخروجَ منها، من غير عذرٍ، إذا كانت الفائتة على التراخي ولكن القياس [عندي ما ذكرته] ولو نوقض فيه، ينتثر النظام، ولم يبق للمذهب رابط.
“Inilah pendapat-pendapatku, maka aku menzahirkannya. Tidaklah bagiku bahawa aṣḥāb membenarkan dengan yang demikian ini dan mengharuskan orang yang mula mengerjakan (ibadat) yang terlepas keluar daripadanya tanpa uzur sekiranya ia boleh ditangguhkan, tetapi qiyās di sisi saya apa yang telah saya sebutkan. Jika dirosakkan, maka berantakanlah aturan dan tidak tinggal bagi mazhab sebarang ikatan.”

Pendapat ini kemudiannya diteruskan oleh muridnya, Imam al-Ghazālī (505 H). Katanya dalam al-Wajīz secara khusus tentang puasa qada:

وأما صوم التطوع فلا يلزم بالشروع وكذا القضاء إذا لم يكن علي الفور.
“Adapun puasa sunat, tidak wajib dengan memulakannya. Demikian juga puasa qada jika tidak perlu disegerakan.”

Pendapat ini juga dipilih oleh Imam al-Baghawī (516 H). Katanya dalam al-Tahdhīb tentang masalah ini sekali gus menjelaskan konsep puasa yang wajib disegerakan (muḍayyaq atau ‘alā al-fawr) dan boleh ditangguhkan (muwassa‘ atau ‘alā al-tarākhī):

ولو شرع في قضاء رمضان، أو فيصوم الكفارة فأفطر بعذر، أو بغير عذر بالجماع أوغيره - لا كفارة، إنما تجب الكفارة بالجماع في أداء رمضان؛ لحرمة الوقت. ثم ينظر إن كان قد أفطر بغير عذر، فالقضاء عليه مضيق، وإذا أفطر في القضاء يعصي. وكذلك إذا كانت الكفارة لزمت بسبب غير مباح؛ كالقتل بغير حق، فلا يجوز له الفطر؛ لأن التكفير مضيق عليه. وإن كان أفطر رمضان بعذر؛ كالمرض والسفر، أو في صوم كفارة - لزمته بسبب لم يكن عاصياً فيه؛ فلا يعصي في القضاء. والله أعلم.
“Sekiranya ia mula berpuasa qada Ramadan atau puasa kaffārah lalu berbuka kerana uzur atau bukan kerana uzur dengan berijmak atau lain-lain, tiada kaffārah. Kaffārah hanya wajib dengan jimak ketika berpuasa Ramadan secara tunai kerana kemuliaan waktu. Kemudian dilihat, sekiranya ia berbuka tanpa uzur, maka ia wajib qada secara muḍayyaq, dan apabila ia berbuka semasa qada, ia dikira bermaksiat (berdosa). Demikian juga bilamana ia diwajibkan kaffārah kerana sebab yang tidak harus seperti membunuh tanpa sebab yang benar maka tidak harus baginya berbuka kerana kaffārah muḍayyaq ke atasnya. Sekiranya ia berbuka puasa Ramadan kerana uzur seperti sakit dan bermusafir, atau puasa kaffārah yang wajib ke atasnya dengan sebab yang tidak berpunca daripada perbuatannya bermaksiat (yakni bukan disebabkan kecuaian dirinya), maka ia tidak bermaksiat (dengan berbuka) semasa qada. Wallahualam.”

Selain mereka, al-Qaffāl (417 H) juga dihikayatkan berpendapat demikian, namun saya tidak berjaya menemukan nasnya dalam fatwa beliau. Imam al-Nawawi dalam al-Majmū‘ membantah pendapat tersebut dan mengkritik Imam al-Ghazālī kerana ibaratnya dalam al-Wasīṭ menimbulkan sangkaan bahawa itulah mazhab Shāfi‘ī dan aṣḥāb, walhal ia pendapat peribadi mereka.
Walau bagaimanapun, pendapat ini akhirnya termaktub sebagai pendapat kedua dalam mazhab Shāfi‘ī.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments